DALAM menghargai segala bantuan disampaikan kepada masyarakat, ada suara-suara mencadangkan Ebit atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew sebagai calon sesuai berada dalam bidang politik.
Tersenyum berkongsi pendirian dirinya, kata anak kelahiran Pahang ini dia lebih suka dengan apa dilakukannya kini.
“Politik bukan bidang saya. Saya memang bukan orangnya dan terus terang, saya tidak pandai dan tidak reti.
“Saya lebih berminat kerja-kerja dakwah dan kebajikan sekarang ini. Insya-Allah, saya akan teruskan macam ini dan niat saya sampai bila-bila begini,” katanya.
Selesa membawa namanya tanpa terikat dengan mana-mana pihak. Sehingga kini tidak dinafikan ada yang mendekatinya dalam menawarkan pelbagai jawatan dan pangkat.
Teguh dengan kemahuannya untuk bebas memberi bantuan tanpa dibayangi mana-mana pihak, jelas Ebit dia sentiasa bersyukur dengan apa yang dimilikinya kini.
“Sejujurnya, kalau boleh saya mahu kekal begini. Saya gembira dengan hidup sekarang. Saya seperti layang-layang terbang bebas, tak terikat pada ketua. Saya hanya taat pada negara dan undang-undang.
“Kalau dulu mungkin saya berminat sebab pada awal menjadi penceramah motivasi, saya mahu lebih dikenali supaya mudah memberikan motivasi. Tapi sekarang saya rasa tak perlu begitu. Saya bersyukur dengan dimiliki kini.
“Kalau ada apa-apa anugerah mahu diberikan pun, kalau bukan membabitkan politik ataupun mana-mana parti, saya dengan rasa bersyukur, tidak akan tolak. Rezeki baik saya akan ambil,” katanya.

Jejak Ebit Lew
Muncul dengan sebuah program realiti berkonsepkan majalah, Jejak Ebit Lew adalah kesinambungan daripada program Door To Door Ebit Lew di saluran Astro Oasis pernah ditayangkan sebelum ini.
Berkongsi harapan, jelas Ebit selepas media sosial, dia melihat ini adalah antara medium untuknya memberi inspirasi buat mereka di luar sana terus melakukan amal.
“Selama ini saya kongsi di laman sosial saya, Facebook dan Instagram saja. Tapi kali ini saya mahu lebih meluas kerana di luar sana ramai yang perlu dibantu. Boleh dikatakan hampir di setiap negeri ada orang yang susah.
“Jadi bila kami uar-uarkan di program ini, kita dapat tarik pihak yang turut berminat untuk membantu kerana saya tahu orang di Malaysia ini berlumba-lumba mahu membuat kebaikan.
“Bila kita tunjuk contoh baik sebegini, mudah-mudahan lebih ramai dibantu. Sebelum ini ramai sahabat saya tak pernah terlintas nak buat khidmat masyarakat tapi selepas saya berkongsi mereka pun turut sama turun padang.
“Mana tahu selepas saya sudah tiada nanti, ada orang akan meneruskan usaha kebajikan apabila melihat program saya di Astro Prima ini,” katanya Sementara itu program Jejak Ebit Lew bersiaran sepanjang 61 episod pada setiap Isnin, jam 9.00 malam mulai 7 Disember lalu.
Kritikan tak henti amal
MENYANTUNI golongan yang memerlukan dengan cara yang berbeza, sehingga kini nama pendakwah bebas ini cukup dekat di hati rakyat Malaysia.
Lebih hebat bagaimana usahanya membantu mereka yang berada dalam kesukaran juga berlangsung dalam keadaan yang konsisten tanpa mengira bangsa dan agama. Menambah kekaguman, bagaimana bantuan yang diberikan juga banyak menggunakan sumber kewangannya sendiri.
Tidak mempunyai peruntukan khusus dalam berkongsi harta yang dimilikinya untuk membantu di luar sana, Ebit Lew percaya dengan apa yang disukai dirinya juga perlu diberi pada orang lain.
Jelasnya, sikap tamak juga tidak mampu membawa kelebihan memandangkan manusia cukup terbatas dalam pelbagai perkara.
“Bersedekah tidak semestinya dengan duit tetapi melalui hati dan keikhlasan. Apa yang saya suka, saya peruntukkan untuk orang lain juga. Alhamdulillah saya mempunyai perniagaan sendiri dan turut membuka kursus. Saya juga mempunyai butik selain turut menjual buku. Ini antara sumber rezeki saya selama ini.
“Tetapi itulah kata orang duit banyak beli rumah banyak-banyak tetapi kita akan tetap duduk di satu sudut sahaja. Begitu juga beli banyak kereta tetapi dalam satu masa satu sahaja boleh dipakai.
“Sama juga makan. Kalau ada 10 pinggan makanan yang boleh makan hanya satu. Fokusnya saya mahu berkongsi dengan lebih ramai orang di luar sana. Tentang berapa peruntukan saya tidak tahu,” jelasnya.

Bukan sesuatu yang mengejutkan untuk mengenali nama Ebit melalui amal yang dilakukannya selama ini. Malah perkongsian yang dilakukan dirinya melalui laman sosial secara tidak langsung memberi ruang untuk dia turut dikenali sebagai ‘selebriti’.
Namun ada yang tertanya apa logik Ebit sendiri merakam setiap aktiviti amalnya untuk di muat naik ke laman sosial.
“Memang saya sengaja nak tunjuk. Saya mahu wujudkan perasaan kekeluargaan di antara kita. Saya nak beritahu kita semua adalah sebuah keluarga besar.
“Usaha ini sebenarnya adalah untuk membuatkan kita semakin bersatu hati, bila kita semua bersatu hati, rahmat Allah akan turun. Rezeki dan rahmat kita ditarik apabila kita bergaduh di antara satu sama lain.
“Perpecahan ini boleh buat satu masyarakat itu rosak. Jadi nak tarik rahmat bagaimana? Kita kena bantu semua orang tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya yang membuat kerja amal sejak usia 12 tahun.
Enggan terlalu hanyut dengan pujian, jelas Ebit, sebagai manusia dia sentiasa mengambil waktu untuk muhasabah diri. Malah ketika ini juga bukan sesuatu yang mengejutkan untuk Ebit sendiri mengetahui dirinya turut menjadi mangsa kecaman mereka yang mempunyai pandangan yang berbeza dengan dirinya.
“Pada awalnya memang menerima kritikan. Bukanlah semua tetapi ada. Saya juga kadang kala sedih dalam keadaan ini. Tetapi kalau hati sendiri merajuk saya sembahyang dua rakaat dan bangun sebelum subuh. Semuanya akan kembali okay.
“Bagi saya tidak perlu komen negatif. Kecaman ini membuatkan kita berhenti daripada terus untuk melakukan kebaikan.
“Berbanding apa yang dilalui ini masih ramai orang yang memerlukan bantuan di luar sana. Ujian ini tidaklah seberat mana, memandangkan orang seperti ini akan sentiasa wujud,” kongsinya.










