TEMPOH 20 tahun bukanlah masa singkat untuk seorang penulis dan peminat tegar filem Melayu Klasik, Hidir Ali Razali,37, menjejaki waris seniman tersohor era 1960-an Nordin Ahmad di seluruh negara.
Watak-watak lakonan Nordin seperti Damak dalam filem Seri Mersing, Hang Jebat dalam filem Hang Jebat dan Taruna dalam filem Semerah Padi, bukan sahaja terkenal dalam kalangan peminat filem era tersebut malah generasi hari ini.
Sebagai penulis buku Permata Seni Terbilang Nordin Ahmad, Hidir Ali menempuh pelbagai cabaran dan dugaan sehingga buku tersebut berjaya diterbitkan dan sedia untuk dipasarkan. Nordin Ahmad katanya, yang meninggal dunia kerana sakit kuning semasa berada di puncak dalam usia 41 tahun menjadi inspirasi untuk dirinya sebagai anak muda menghasilkan kisah kehebatan Nordin.
Banyak cabaran dan dugaan menguji kesabaran dirinya dalam meneruskan penerbitan buku biografi legenda tersebut sepanjang 20 tahun kebelakangan ini.
Usaha menerbitkan buku setebal 215 muka surat itu bermula pada 1998 yang mana beliau mula mengumpul maklumat hasil pembacaan, rujukan di perpustakaan, muzium dan menemui waris Nordin.
Bila jaringan sosial beliau semakin luas Hidir Ali berkata, beliau mula bertemu dengan ahli keluarga dan penggiat seni yang pernah bekerjasama dengan Nordin Ahmad.
Selain menemubual isteri arwah, Salmah Ibrahim dan anak-anak arwah di Singapura serta abang arwah, Sidik Ahmad di Pulau Pinang beliau juga berpeluang menemubual pelakon veteran seperti Datuk Aziz Sattar dan heroin yang pernah berlakon bersama arwah Nordin seperti Salmah Ahmad dan Latifah Omar.
Hidir Ali berkata, buku coretan tentang perjalanan hidup arwah Nordin Ahmad tersebut bukan sekadar memaparkan jatuh bangun seorang seniman tetapi perlu dijadikan contoh untuk pelakon muda untuk mempertingkatkan mutu lakonan mereka.
Mungkin ramai yang tidak tahu betapa akrabnya hubungan Nordin dan Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee sama ada sebagai sahabat mahupun sebagai rakan penggiat seni, buku ini ada jawapannya.
Sesungguhnya Nordin bukan sembarangan bintang yang pernah mewarnai filem terbitan Malay Film Production di Jalan Ampas dan Cathay Keris di Jalan Buloh Perindu East Coast Road, Singapura.
Jelas Hidir Ali lagi, buku bertajuk Permata Seni Terbilang tersebut menceritakan segala suka duka Nordin sebelum menjadi legenda filem Melayu yang tiada ganti.










