ISU keselamatan makanan merupakan antara perkara sering diberi perhatian bagi memastikan kelestarian sumber makanan yang menjadi keperluan utama rakyat.
Selaras dengan itu, Institut Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) tampil dengan empat produk inovasi bioteknologi berfungsi mengesan sisa antibiotik, biotoksin, bahan kimia dan bakteria dalam hasil pertanian.
Produk dibawah inovasi MARDI sense ialah Antibiotic Sensor Kit, Algae Bloom Biotoxin Sensor Kit, Malachite Green Sensor Kit dan Foodborne Pathogen Test Kit yang dicipta berasaskan teknologi biosensor dan lateral flow.
Inovasi ini bukan sahaja dapat meningkatkan keselamatan dan kualiti produk pertanian, malah mesra pengguna. Ia turut mudah digunakan di lapangan selain mampu menjimatkan kos serta masa.
TEKNOLOGI
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, teknologi dibangunkan selama lima tahun itu boleh dimanfaatkan bukan sahaja di negara ini, malah negara lain yang mengutamakan keselamatan makanan.
“Pemantauan dan penilaian aktiviti kawalan keselamatan makanan bagi mencegah, mengesan dan menguruskan risiko penyakit bawaan makanan ini dapat dipermudahkan dengan adanya teknologi pengesanan pantas pencemaran bakteria melalui inovasi MARDI.
“Ini membuktikan MARDI sentiasa ke hadapan dalam menghasilkan inovasi terkini melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan, sesuai dengan tagline ‘Dari Makmal ke Meja Hidangan’. Produk dihasilkan MARDI digunapakai secara meluas oleh golongan sasar,” katanya dalam majlis pelancaran baru-baru ini.
KIT INOVASI
» Antibiotic Sensor Kit dihasilkan bagi pengesanan sisa antibiotik dalam produk ternakan dan akuakultur.
» Malachite Green Sensor Kit mengesan malachite green yang merupakan bahan kimia berbahaya dalam industri akuakultur. Kit ini dibangunkan bagi aktiviti pemantauan oleh agensi penguat kuasa dalam kolam ternakan ikan air tawar komersil atau pintu masuk negara.
» Algae Bloom Sensor Kit mengesan mikroalga dan biotoksin berbahaya dan boleh menjejaskan industri perikanan serta menyebabkan keracunan pada kerang-kerangan.
» Foodborne Pathogen Test Kit mengesan bakteria pencemar makanan seperti E.coli, Salmonella dan Listeria dengan pantas. Kit ini mampu mengesan tiga jenis bakteria pada satu strip dalam tempoh 24 hingga 48 jam berbanding kaedah kultur konvensional yang memakan masa tiga hingga enam hari. Kaedah pengesanan pantas ini secara tidak langsung dapat memperkasakan sektor dagangan terutamanya keselamatan makanan.










