Dulu takut, kini bela 30 ular - Utusan Malaysia

Dulu takut, kini bela 30 ular

Nur Dayanaezzati Mohd. Hisam bergambar dengan koleksi “Ular Sawa Bola”.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMILIH minat atau hobi dengan menjaga haiwan peliharaan, sudah pasti ia tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita hari ini.

Namun yang membezakan kelainan pencinta haiwan ini adalah jenis-jenis haiwan yang dipeliharanya.

Bagi Nur Dayanaezzati Mohd. Hisam, dia menjadikan haiwan berdarah sejuk sebagai haiwan peliharaan kerana minat, walaupun hobi itu dianggap pelik segelintir pihak.

Wanita berusia 26 tahun itu sendiri tidak menyangka yang dirinya boleh menjadikan ular sebagai haiwan kesayangan selepas ‘jatuh hati’ melihat rakan membelanya.

“Pertama kali tengok, saya akan lari sebab takut tetapi apabila dapat pegang sekali, terus minat itu datang dengan sendiri ibarat sentuhan elektrik. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya mula membela Dexter, ular jenis Ular Sawa Bola.

“Sejak itu, saya membela seekor demi seekor dengan membelinya di kedai yang berdaftar dengan Jabatan Perhilitan sehingga mempunyai 30 ekor ular pelbagai jenis,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Mesra disapa Yana, katanya, sebelum memelihara ular, beliau pernah memelihara kucing dan sugar glider.

“Memang ada yang menganggap minat saya ini pelik dan luar biasa. Saya tidak boleh menutup mulut orang luar yang bercakap mengenai hobi pelik ini tetapi saya tidak menyalahkan sesiapa pun kerana masing-masing ada pendapat tersendiri,” katanya.

Mengenai kos penjagaan haiwan itu, katanya, ia terlalu tinggi malah tidak serumit berbanding membela kucing atau haiwan peliharaan lain kerana ular tidak memerlukan makanan pada setiap hari atau sepanjang masa.

KOLEKSI

Sejak lebih sembilan tahun lalu, hingga kini Yana memiliki lebih 10 jenis ular antaranya Ular Sawa Bola, Ular Jagung dan Ular Sawa Burma.

Dalam banyak jenis, Yana paling menyayangi Teja dan Panglima.

“Teja adalah jenis Pearl Granite Burmese Python. Besarnya boleh mencecah seberat 30 kilogram (kg) dengan panjang hampir tiga meter. Panglima iaitu jenis Albino Burmese Python berwarna kekuningan.

“Teja ular betina yang kini berusia setahun manakala Panglima, ular jantan berumur tiga tahun. Kedua-dua ular ini paling saya sayang dan tidak akan menjualnya.

“Saya membeli Teja dengan harga RM1,200 di kedai haiwan yang berdaftar Jabatan Perhilitan pada 2018,” katanya.

Kesemua jenis ular yang dibela ini dalam lingkungan umur enam bulan hingga lima tahun katanya yang berkhidmat sebagai Pengarah Operasi Ultimate Petting Zoo & Animal Show di Shah Alam.

Kata Yana, beliau tidak menjual ular dimiliki itu, namun semasa berpindah rumah dulu, dia pernah menjual ular ini pada harga RM300 hingga RM500 seekor.

 

PANGLIMA ‘si albino’ antara ular kesayangan Nur Dayanaezzati.

 

SUAMI BERI SOKONGAN

Suami, Muhd. Shafiq Yusoff, 32, dan ahli keluarga tidak pernah menghalangnya membela haiwan berkenaan. Malah ibunya juga kian minat dengan ular.

“Kadang-kadang ibu menyuruh saya membawa pulang ke kampung di Raub untuk bermain tetapi akur dengan undang-undang yang tidak boleh membawa haiwan berlesen keluar tanpa pengetahuan Jabatan Perhilitan,” katanya.

Lebih menarik kata Yana, suaminya kini turut berjinak-jinak dengan ular.

“Dulu, hanya saya seorang memberi makan kepada ular-ular ini. Sejak berkahwin tahun lalu, suami turut membantu memberi makan ular mengikut jadual,” katanya.

Yana dan suami akan memberi makan ular-ular peliharaan berkenaan, seekor tikus putih seminggu atau dua minggu sekali atau kadang-kadang memberi makan sebulan sekali sahaja, mengikut saiz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×