BERDEPAN pandemik Covid-19 bagaikan tiada penghujung ini, ramai mencari inisiatif sendiri mengelakkan diri dan keluarga daripada dijangkiti.
Terbaharu, jenama Dr Clo tampil dengan inovasi alat steril mudah alih serbaguna.
Ia direka bentuk untuk memberi pelindungan daripada jangkitan bawaan udara dengan mewujudkan perisai bakteria dan virus.
Alat berkenaan disahkan berkesan oleh makmal KR Biotech Co. Ltd di bawah Institut Kawalan Penyakit Berjangkit Universiti Konkuk dari Korea Selatan.
Ia berupaya menghapuskan sehingga 99.9 peratus virus Covid-19.
Inovasi dipelopori syarikat NON Corporation Ltd Korea Selatan itu didapati mencapai kadar pengurangan virus sehingga 99.93 peratus dalam tempoh rawatan antara 30 saat hingga dua minit.
Pengarah Eksekutif Non Corporation, Leela Lee berkata, inovasi itu terhasil atas kesedaran pentingnya memiliki udara segar dan bersih terutamanya ketika berhadapan virus.
“Produk inovasi ini bertujuan menyediakan persekitaran bersih dan segar. Selain mahukan udara segar, penemuan ini adalah satu mercu jaya penting, sekali gus membantu mengesahkan keberkesanan alat pensterilan. Ia sesuai untuk kegunaan di rumah, pejabat dan di tempat-tempat lain seperti kemudahan penjagaan kesihatan,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Turut hadir Pengarah Dr. Clo Malaysia, Ng Lyp Hau.
Perlindungan kuman
Produk berkenaan dipatenkan bukan sebagai satu alat perubatan sebaliknya memberikan pelindungan daripada virus dan bakteria. Setiap satu alat pensterilan boleh bertahan sehingga 50 hari bagi sekali penggunaan.
Sementara itu, Ng berkata, alat berkenaan adalah satu-satunya produk Klorin Dioksida berasaskan cecair di dunia didaftarkan dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).
“Klorin dioksida bertindak sebagai agen utama untuk mensteril, membersihkan dan menghapuskan virus dan patogen dalam masa beberapa saat. Ia selamat digunakan dan dibawa ke mana sahaja,” katanya.
Dr Clo menampilkan inovasi alat steril mudah alih serbaguna yang direka bentuk untuk memberikan pelindungan daripada jangkitan bawaan udara dengan mewujudkan perisai pelindungan daripada bakteria dan virus.










