Bukit Merah destinasi pendakian unik, menarik - Utusan Malaysia

Bukit Merah destinasi pendakian unik, menarik

BUKIT Merah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAIKAN berada di dunia berbeza. Bermula dari ladang sawit kepada hutan belukar kemudian rimbunan buluh dan bertukar pula kepada kawasan hutan pokok merah.

Itulah antara pengalaman berharga dan bermakna yang dapat dirasai pengunjung ke Bukit Merah atau Bukit Buloh yang menjadi satu produk pelancongan baharu di Jerantut, Pahang sekali gus nilai tambah kepada eko-pelancongan Taman Negara Kuala Tahan.

Keunikan sebenar Bukit Merah adalah kewujudan pokok gelam merah atau nama saintifiknya melaleuca cajuputi iaitu sejenis tumbuhan berwarna merah dan menarik.

AHMAD Nazri Shahbudin, 40, teruja mendaki Bukit Merah di Jerantut.

Penyelaras Pelancaran Bukit Merah yang juga aktivis alam sekitar, Mohd. Sabri Abdullah berkata, bukit setinggi 371 meter itu mempunyai lebih 20 batang pokok gelam merah.Ia berada di kawasan puncak bukit di mana memakan masa 45 minit hingga sejam pendakian.

“Pokok gelam tumbuh sejak sekian lama di kawasan itu merupakan satu keunikan alam semulajadi di Padang Piol dan ia amat berharga selain mampu menarik minat pengunjung.

“Jadi selain menjadi produk baharu unik di daerah ini, ia juga menjadi nilai tambah kepada eko-pelancongan Taman Negara Kuala Tahan. Pelancong boleh ke sini sama ada sebelum atau selepas ke Taman Negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mohd Sabri, pengurusan Bukit Merah berkenaan akan diberikan kepada komuniti setempat yang akan menghidupkan pelbagai aktiviti seterusnya menjana pendapatan kepada mereka.

Katanya, dengan lokasi yang terletak ditengah-tengah antara bandar Jerantut dan Taman Negara, ia pastinya akan menjadi lokasi pilihan pelancong berkunjung ke daerah ini.

TERUJA PANORAMA INDAH
Seorang pendaki dan peminat aktiviti lasak, Ahmad Nazri Shahbudin, 40, berkata, dia amat teruja apabila dapat melihat keunikan dan keindahan panorama Bukit Merah yang begitu menawan dan tidak terdapat di tempat lain.

“Saya tidak pernah nampak pokok merah ini ditempat lain, pendakian di sini juga amat menarik bagai satu pengambaraan dengan ada pelbagai peringkat perjalanan pendakian ditemui bermula dari sawit, hutan belukar, rimbunan buluh dan seterusnya pokok merah.

“Saya dan rakan-rakan tidak sabar untuk kembali lagi ke sini pada masa akan datang saya yakin ia akan menarik minat pendaki dari dalam dan luar negara,” katanya. Beliau berasal dari Kuala Lipis, Pahang.

Dalam pada itu, Pemandu Pelancong khas pemerhatian burung Taman Negara, Abdul Jalil Abdul Rahman yakin produk terbaharu itu akan mencipta fenomena baharu menarik minat pelancong dalam dan luar negara.

Beliau yang juga pengasas Bird Group Taman Negara (BGTN) berkata, selain pokok-pokok merah kawasan berkenaan juga boleh dijadikan kawasan pemerhatian burung dalam misi mencari kewujudan burung unik.

“Saya yakin kawasan ini pastinya menarik minat pengunjung kerana ia dipenuhi pokok gelam merah. Walaupun sudah lama menjadi pemandu pelancong inilah kali pertama saya jumpa satu tempat yang mempunyai banyak pokok gelam merah.

“Jadi BGTN akan turut serta melakukan pemerhatian burung-burung di kawasan itu yang berkemungkinan wujudnya spesies unik mampu menarik lagi minat pelancong dan pencinta flora dan fauna,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Kuala Tahan berkata, kewujudan produk baharu pelancongan ini perlu diambil peluang oleh golongan belia di kawasan Padang Piol di sini.

Tambah Abdul Jalil, beliau telah berbincang dengan Kolej Komuniti Jerantut bagi mengadakan kursus bersesuaian kepada belia berminat untuk melibatkan diri dan eko-pelancongan di situ.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, pihaknya akan membantu membangunkan produk baharu pelancongan Jerantut itu termasuklah dalam membangunkan infrastruktur awam seperti tandas dan sebagainya.

Beliau memberitahu, Bukit Merah berada dalam Rizab Jabatan Perhutanan itu dicadangkan diwartakan sebagai kawasan pelancongan baharu negeri Pahang.

“Buat masa ini apa boleh lakukan adalah membina kemudahan seperti tandas di tanah milik kerajaan negeri di bawah bukit untuk keselesaan pengunjung,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN