Badan akauntan profesional, The Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) menganugerahkan ICAEW Advantage Award kepada dua pelajar Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Pencapaian itu melayakkan pelajar Sarjana Muda Perakaunan, Muhammad Rafi Abdul Razak dan Nurul Azyyati Amalin Razali menerima wang tunai RM1,000 dan sijil.
Muhammad Rafi dalam reaksinya mengakui teruja tetapi bersyukur dengan hadiah kemenangan yang disifatkan sebagai satu pengiktirafan cukup bermakna.
“Saya terharu kerana menerima anugerah paling besar nilainya sepanjang berada di UUM, apatah lagi memperolehinya daripada badan profesional antarabangsa,” katanya.
Bijak mengimbangi tuntutan akademik dan kokurikulum, Muhammad Rafi bergiat aktif di kampus dengan menyertai pelbagai program dan memegang jawatan dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Perasaan gembira itu turut dikongsi Nurul Azyyati. Ia menyuntik motivasi buatnya agar lebih bersemangat untuk belajar dalam apa keadaan sekalipun.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak khususnya ibu bapa yang banyak mendorong dan menyokongnya sepanjang tempoh pengajian terutama ketika negara berdepan pandemik,” katanya.
Sementara itu, dalam majlis perhargaan yang diadakan secara dalam talian, Dekan TISSA, Prof. Madya Dr. Rose Shamsiah Samsudin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pelajar berkenaan.
Katanya usaha itu diharap menjadi dorongan dan inspirasi kepada pelajar untuk melangkah lebih jauh dalam bidang akademik.
“Pelajar perakaunan di TISSA-UUM boleh menduduki program profesional perakaunan seperti ICAEW, seiring dengan pengajian ijazah perakaunan mereka.
“Program sarjana muda perakaunan di TISSA-UUM juga mendapat pengiktirafan badan profesional perakaunan ini,” katanya.










