SEJAK di bangku sekolah minat seorang pemuda berusia lewat 30-an terhadap dunia perfileman Melayu di era Studio Jalan Ampas dan Syarikat Cathay-Keris tidak pernah padam.
Apa yang pelik dalam usia yang muda Timbalan Presiden Kelab Filem dan Muzik Melayu Klasik (KFMMK), Hidir Ali Razali cukup bersemangat bercerita mengenai sejarah perkembangan filem Melayu dari era Studio Jalan Ampas yang menjadi lokasi filem terbitan Malay Film Production (MFP) dihasilkan.
Hidir Ali berkata, jiwanya sarat dengan kecintaan terhadap filem Melayu sejak pertama kali beliau menonton Tayangan Gambar filem tersebut di RTM.
“Saya merupakan peminat termuda Kelab Peminat P. Ramlee pada usia 15 tahun. Dari situ saya menanam minat kepada filem Melayu terutama melibatkan karya Tan Sri P. Ramlee.
“Siapa yang tidak kenal Seniman Agung memang bukan orang Malaysia. Filem beliau bukan sahaja menyentuh tentang orang Melayu malahan bangsa-bangsa lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Seksyen 17, Shah Alam, baru-baru ini.
Sejak usia 15 tahun Hidir Ali mengumpul maklumat tentang filem Melayu sama ada dalam bentuk majalah lama, video, keratan akhbar malahan beliau sendiri merupakan penulis buku tentang Seniman Noordin Ahmad.

Katanya, selain P. Ramlee, Nordin Ahmad dan lain-lain pelakon lama seperti Mariani, Datin Rosnani Jamil, Latifah Omar, Datuk Maria Menado turut menjadi idola beliau.
“Saya telah menemui waris-waris Nordin Ahmad dalam usaha mewujudkan satu buku tentang seniman yang penuh penghayatan dalam menzahirkan watak yang dikehendaki oleh pengarah filem itu.
“Watak sebagai Damak dan Hang Jebat menyebabkan semua peminat filem Melayu mengingati beliau. Seolah-olah kedua watak hidup di dalam dirinya,” ujarnya.
Mengulas mengenai bahan-bahan perfileman Melayu lama yang disimpan dalam koleksinya, beliau berkata terdapat 1,500 gambar melibatkan dunia filem Melayu lama yang dikumpul sejak 20 tahun lalu.
Selain itu, beliau turut memiliki koleksi buku tentang filem yang disifatkan sebagai barang edisi terhad dan diburu peminat bahan tersebut.
“Sebagai contoh saya memiliki buku tulisan Sasterawan Negara, Abdullah Hussain pada tahun 1966 bertajuk Gagak Di Rimba. Kisah biografi P. Ramlee yang ditulis dan diendos oleh Seniman Agung negara kita itu.
“Walaupun allahyarham Seniman Agung, P. Ramlee sudah meninggal dunia pada 29 Mei 1973 namun kisah hidupnya terus diperkatakan. Sebagai peminat dan pengkaji filem saya bertanya sendiri kepada waris dan sahabat karib beliau bagi memastikan tidak timbul persepsi yang menyakitkan hati peminat tegar lama dan baru seniman tersebut,” katanya.
Jelas Hidir Ali lagi, bintang filem Melayu seperti P. Ramlee dan Nordin Ahmad bukan sahaja menghidupkan watak mereka di dalam filem tetapi juga memberi cetusan semangat untuk bangsa kita memperjuangkan hak sebagaimana watak mereka di dalam filem.

Katanya lagi, terdapat pelbagai genre filem lakonan dua seniman hebat itu dan atas dasar minat mendalam beliau sanggup mengabadikannya dalam kaset video yang dirakam semasa ia ditayangkan setiap Jumaat malam Sabtu di TV1 hampir tiga dekad lalu.
“Zaman itu zaman video dan panggung wayang, belum ada lagi YouTube dan rakaman digital. Pada masa itu Video Cakera Padat (VCD) dan Video Cakera Digital (DVD) masih belum wujud lagi.
“Generasi WeChat dan media sosial bertuah kerana mereka boleh menonton filem dengan stesen tv berbayar dan melalui penstriman dalam talian. Semua di hujung jari sahaja, yang penting ada data,” katanya.
Mengulas tentang filem era pasca Malay Film Production dan Cathay-Keris di Singapura katanya, zaman Studio Merdeka di Hulu Kelang, filem-filem arahan P. Ramlee dan lain-lain pengarah berbeza dari pelbagai aspek.
“Setiap zaman ada perkembangan semasa sosio-ekonomi dan sosio-politik yang berbeza maka filem pun perlu kekal relevan dengan isu semasa.
“Dari zaman Osman Gumanti menjadi hero dalam filem Melayu hingga zaman ini kita ada hero seperti Datuk Rosyam Nor dan terkini Remy Ishak kesemua mereka ada pesona masing-masing. Filem mereka mempunyai tema berlainan tetapi apa yang menyebabkan peminat jatuh cinta kepada mereka adalah kerana bakat dan penghayatan watak yang diberikan,” katanya.
Justeru katanya, seorang peminat filem kadang kala terbawa-bawa imej hero mahupun heroin filem dalam kehidupan hariannya dan dirinya tidak terkecuali.
Perkara itu bukanlah pelik, kerana sudah menjadi sifat manusiawi itu sendiri, tak kenal maka tak cinta apabila cinta sudah di jiwa maka minat terhadap dunia perfileman Melayu lama bersemadi selamanya.










