Pelajari kaedah teroka potensi diri - Utusan Malaysia

Pelajari kaedah teroka potensi diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ringkasan buku motivasi tulisan Haizan Runsah ini barangkali menyentak hati ribuan masyarakat negara ini yang sedang menghadapi kesukaran hidup.

Diberhentikan kerja atau mungkin perniagaan terjejas akibat pandemik Covid -19.

Penulis memberikan kata-kata semangat mengenai diri sendiri yang kita anggap biasa, sebenarnya luar biasa.

Kita berkebolehan meneroka kelebihan diri tatkala dilanda kesulitan. Lebih-lebih pada waktu sekarang.

Buku berlatar belakang tahun 1970-an hingga 2000 ini mengisahkan kehidupan penulis dalam perjuangan hingga menjadi siapa dirinya kali ini.

Guru motivasi ini memaparkan kisah hidupnya dengan watak utama Ijan di kampung kelahiran Kampung Bukit Cheraka, Jeram Kuala Selangor, hinggalah berjaya menempatkan diri di menara gading.

Menariknya mengenai buku kecil ini kerana ia tulis dalam bahasa santai, mudah difahami. Bagi generasi seangkatan Ijan, sudah pasti tidak sukar menterjemahkan cabaran dihadapi dengan kehidupan anak kampung dalam kemudahan prasarana terhad.

Program televisyen seperti Woody Woodpacker dan Ultraman serta mainan petang basikal BMX menjadi hiburan zaman kecilnya, bukan gajet.

Saya tertanya-tanya juga bagaimana Haizan yang tidak dikenali tetapi mampu menghasilkan buku sendiri?

Melayari blog budakluarbiasa.com barulah pencarian itu ditemui. Haizan individu bersemangat dan bercita-cita tinggi, merealisasikan impian menulis buku sendiri menerusi terbitan sendiri.

Biarpun hanya insan biasa tetapi semangat dimiliki demi membangunkan anak bangsa cukup menyerlahkan dia sebenarnya seorang hero.

Seperti katanya dalam buku ini, jangan pernah berhenti berusaha dan yakin kepada diri sendiri.

“Berkat doa dan semangat tidak putus asa menyebabkan keajaiban demi keajaiban muncul ketika mengharungi pelbagai cabaran hidup,” kata Haizan.

Buku setebal 136 muka surat ini harus dimiliki dan dibaca oleh ramai orang dalam mencari kekuatan diri yang mungkin sudah luntur tanpa kita ketahui apa puncanya.

Ia boleh dibeli melalui platform dalam talian pada harga RM30 (termasuk penghantaran).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×