LAPORAN KHAS
Penyelidik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) baru-baru ini berjaya membuktikan bahawa daun ketum mempunyai khasiat dan mempunyai nilai perubatan yang selama ini sering dianggap memberi kesan negatif mereka yang mengambilnya.
Kejayaan mereka sebenarnya bukan baharu. Akhbar ini pada awal tahun lalu melaporkan tentang kejayaan penyelidik FRIM menemukan khasiat positif ketum untuk membantu dalam bidang perubatan.
Walau bagaimanapun, penyelidikan yang masih di peringkat awal itu memerlukan kajian lanjutan untuk pembuktian menerusi ujian klinikal dan efikasi yang memerlukan analisis terhadap manusia.
Kajian lanjut diteruskan oleh sekumpulan enam penyelidik FRIM dan baru-baru ini mengukir kejayaan baharu apabila mendapati kajian mereka memberi kesan perlindungan-organ hati atau hepar dan perlindungan-organ buah pinggang.

Penyelidikan yang diketuai oleh Abd. Rashid Li menunjukkan sebatian flavonoid dan sebatian saponin daripada ekstrak air daun ketum atau nama saintifiknya, Mitragyna speciosa terhadap kesan toksik yang disebabkan oleh sebatian ubatan komersial yang diberi pada dos berlebihan kepada tikus-tikus uji kaji menunjukkan hasil positif.
“Inovasi ini merupakan kajian lanjutan daripada kajian ketum sebelum ini. Fraksi ekstrak ini yang terdiri daripada antara 60 peratus hingga 70 peratus jumlah kandungan sebatian flavonoid glikosida dan 14 peratus hingga 16 peratus jumlah kandungan sebatian saponin.
“Pada dos efektif ia (ekstrak)sangat berpotensi untuk melindungi atau bertindak sebagai perisai bagi organ-organ hati dan buah pinggang tikus-tikus ujian daripada dirosakkan oleh radikal-radikal bebas dan bahan-bahan toksin hasil aruhan atau pemberian ubatan komersial seperti paracetamol dan furosemide pada dos yang tinggi kepada tikus-tikus tersebut berbanding dengan kumpulan-kumpulan kawalan yang lain, “ katanya kepada Utusan Malaysia.
Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, ekstrak berkenaan mengandungi sebatian flavonoid glikosida dan sebatian saponin. Kedua-dua sebatian tersebut mengandungi sifat antiradang dan antioksida.
Katanya, sebatian-sebatian tersebut akan meneutralkan dan menyingkirkan bahan-bahan radikal bebas yang terbentuk dengan banyak di dalam tubuh akibat tindak balas atau kesan metabolisme ubat-ubatan yang diambil secara berlebihan. Sebatian-sebatian ini juga berfungsi mengurangkan kesan inflamasi pada organ-organ tersebut yang disebabkan oleh radikal-radikal bebas.
Justeru kejayaan tersebut kata beliau dapat membantu mengatasi masalah berkaitan kegagalan fungsi organ-organ hati dan buah pinggang yang telah dilaporkan semakin hari semakin banyak.
“Oleh itu, inovasi ini dibangunkan bagi membantu golongan-golongan ini dan juga golongan yang berisiko,” ujarnya sambil memberitahu bahan yang digunakan adalah daun ketum urat hijau dan menggunakan teknik refluks serta pelarut organik.
Selain beliau, turut terlibat dalam penyelidikan tersebut adalah Nor Hidayatul Khamariah Zainul Abidin (Ketua Projek), Dr. Mohd. Kamal Nik Hasan (Ketua Projek Bersama), Mohd. Radzi Ahmad (Pembantu Penyelidik) dan dua pembantu penyelidik iaitu Muhammad Khair Mohd. Ayob dan Azman Mohamed.
Kata Mohd. Kamal, teknologi tersebut sudah sedia untuk dikomersialkan jika ada sokongan daripada mana-mana pihak sama ada kerajaan dan swasta bagi melonggarkan Akta Racun 1952 serta peruntukan dana bagi menubuhkan fasiliti penghasilan ekstrak air ketum terpiawai berskala industri serta terkawal.










