BUKAN mudah untuk sebuah syarikat bertahan lalu menempa nama dalam industri fesyen. Lebih-lebih lagi dalam dunia berduka akibat pandemik Covid-19. Namun tuah berpihak kepada jenama terkenal, Fashion Valet (FV).
Dalam kesukaran itu, ia berjaya meraikan ulang tahun ke-10 syarikat dengan menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada Imam Response & Relief Team (IMARET) sebagai usaha memerangi penularan wabak Covid-19.
Pengasas FV, Datin Vivy Sofinas Yusof berkata, memberi kembali kepada masyarakat adalah mustahak kerana jenama itu berkembang atas sokongan dan kepercayaan pelanggan.

“Walaupun 2020 menjadi tahun mencabar, namun tanpa sokongan daripada pelanggan, rakan kongsi dan pekerja, jenama ini tidak mampu bertahan seperti hari ini. Terima kasih saya ucapkan kepada semua,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Mengimbas kembali pencapaian syarikat, Vivy yang juga Pengasas Kumpulan dUCK memberitahu, ketika FV baru sahaja bermula, semuanya perlu dilakukan sendiri daripada pengambilan stok, penggambaran, pembungkusan dan mengurus perkhidmatan pelanggan dengan hanya mempunyai tiga pekerja ketika itu.

“Namun, hari ini saya berbangga, kini kami mempunyai lebih daripada 180 pekerja yang menjadi sebahagian tulang belakang kejayaan FV. Dalam 10 tahun akan datang, kami akan terus memberi komitmen terbaik kepada pelanggan setia FV malah akan terus mengembangkan platform ini dalam meneraju industri fesyen sopan di seluruh dunia,” katanya.









