Program Pemasaran, Pembayaran, Penghantaran dan Percuma (4P) bertujuan membantu penjaja dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasarkan perniagaan dan produk mereka menerusi perkhidmatan pembayaran dalam talian.
Ketua Pegawai Eksekutif, Bestpay Solutions Sdn. Bhd. (BESTPay), Razwan Ikmal Rusli berkata, menerusi perkhidmatan pembayaran dalam talian dan pemasaran digital aplikasi itu, ia berupaya membantu peniaga memasarkan perniagaan dan produk mereka.
Katanya, sebanyak 100 kuota perniagaan secara percuma disediakan kepada PKS yang antara lain melibatkan penyeliaan pemasaran dan pembayaran atas talian.
“Program 4P yang dibangunkan BESTPay ini adalah sebagai keprihatinan kami dengan situasi semua perniagaan terkesan ketika ini susulan penularan pandemik Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi baru-baru ini.
BESTPay, sebuah syarikat bumiputera dibangunkan pada 2019.
Perniagaan e-dagang dan teknologi maklumat menjadi kekuatan syarikat itu.
Razwan berkata, dalam memantapkan program berkenaan, pihaknya bekerjasama dengan platform pemasaran produk dan jenama tempatan, IKSmart dalam memudahkan pembeli, mendapatkan barang basah dan kering menerusi penghantaran terus ke rumah.
“Kami turut menjalin kerjasama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam membantu peminjam membuat pembayaran lebih pantas dan mudah,” katanya.
Beliau menjelaskan, antara pencapaian terbaik BESTPay ialah jalinan kerjasama dengan sebuah syarikat penjagaan rambut, Dico Haircare bagi menguruskan pembayaran atas talian dan menyelenggara laman web mereka.
“Kami membantu memastikan urusan belian dan data pembeli dijaga dengan selamat. Dalam masa lima bulan, ia menyaksikan Dico Haircare berjaya mengumpul 15,000 data pembeli,” katanya.










