MENYIMPAN hasrat untuk bergelar seorang penyanyi sejak kecil. Siapa sangka pada usia 20 tahun kini dia namanya menjadi sebutan apabila lagunya dipilih menjadi runut bunyi untuk sebuah drama.
Mengakui terharu dengan peluang yang diberikan, bagi bakat muda Aliff atau nama sebenarnya Nor Aliff Iskandar Norazmi ada yang perlu dibuktikan dirinya.
“Perit adalah single kedua saya, hasil kerjasama dengan penulis lirik, Iman Imran. Tentunya bila dapat peluang untuk dijadikan runut bunyi drama Perempuan Tanpa Dosa, saya jangka ini adalah peluang terbaik untuk kerjaya nyanyian saya melangkah lebih jauh.
“Sebelum Perit saya juga pernah muncul dengan single pertama saya berjudul Bahagia Kembali, tetapi tidak mendapat sambutan. Sebab itu saya sangat menghargai peluang dan kepercayaan yang diberikan,” kata penyanyi yang berasal dari Kelantan ini.
Bercakap mengenai single keduanya ini, kata Aliff, Perit dicipta berdasarkan berdasarkan kepada novel Perempuan Tanpa Dosa hasil karya Fatinilam Sari Ahmad. Tambahnya, apa yang cuba disampaikan melalui lagu ini adalah bagaimana perasaan seorang lelaki yang kalah dalam berkata-kata.
“Lagu ini memang dicipta berdasarkan jalan cerita drama berkenaan, mengisahkan mengenai karakter yang terperangkap dalam satu situasi untuk tidak mampu meluahkan perasaannya melalui kata-kata sehingga memberi impak kepada emosinya sendiri.
“Perit adalah luahan rasa sakit yang tersimpan sejak sekian lama akibat pengalaman dan kenangan masa lalu. Jadi, saya luahkan kesemua perasaan itu ke dalam lagu ini,” katanya yang kini mempunyai hampir 20 koleksi karya yang sudah disiapkan.
Tidak mahu hampakan keluarga
Dalam kesibukan diri mencari ruang untuk bergelar anak seni. Ketika ini juga Aliff sebenarnya masih bergelar seorang penuntut di Institut Perguruan Kampus Ilmu Khas di Cheras dalam bidang muzik.
Berkongsi harapan untuk bergelar seorang guru suatu hari nanti, dia yakin perkongsian ilmu adalah fokus utama dirinya.
“Sejak dari kecil memang saya mahu jadi seorang penyanyi. Tetapi dalam masa yang sama keluarga juga mahu saya berjaya dalam bidang berbeza, sebab itu saya ambil jurusan muzik.
“Saya tidak melihat ada masalah untuk saya seiringkan minat dan kerjaya sebagai seorang bakal guru suatu hari nanti. Fokusnya masih dalam bidang yang sama.
“Cuma ada yang bertanya jika selepas tamat belajar nanti saya akan dihantar ke Sabah atau Sarawak, bagi saya tidak timbul isu. Memang impian saya juga mahu ke dua negeri ini, cuma saya akan tetap pastikan langkah saya dalam bidang seni diteruskan,” katanya.










