WANITA besi ini memang terlihat manja dan comel. Lagaknya seperti kanak-kanak. Dia satu dalam sejuta. Namun, sarang tebuan jangan sesekali dijolok, takut bengkak satu badan.
Berbicara dengan penyanyi bersuara emas, Aishah, banyak yang dikongsi. Sementelah, kami berbual seperti rakan walaupun 24 tahun perbezaan umur. Mungkin sikapnya yang ramah memudahkan kami untuk berkongsi cerita.
Penampilan dalam program hiburan baru-baru ini mencetuskan buah mulut peminat. Rata-rata memuji tubuh badannya yang semakin kurus berbanding kemunculannya dalam program Gegar Vaganza tiga tahun lalu.
Lalu perbualan terarah kepada bagaimana dia berjaya menurunkan berat badan. Biarpun sebelum ini dia mengakui menjalani pembedahan pintasan usus sekitar dua tahun lalu, dia tetap menjalani kehidupan sihat.

Enggan terus dihantui sakit di bahagian kaki malah, risau andai hadirnya penyakit-penyakit kronik lain, dia nekad menjaga kesihatan. Mengambil berat isu pemakanan dan bersenam menjadi rutin hariannya.
“Bukan nak kurus pun tetapi saya nak sihat. Kita kena jaga kualiti hidup. Memang ajal maut di tangan Tuhan tetapi, saya perlu berusaha untuk kekal sihat. Tak mahu susahkan anak-anak.
“Sementara saya ada kudrat dan rezeki, saya buat pembedahan pintasan usus. Selepas itu, kena jaga makan dan bersenam. Tak boleh ambil ringan isu berat badan dan kesihatan. Kita bukan makin muda.
“Alhamdulillah, setakat ini saya dah berjaya turunkan 33 kilogram (kg). Baju-baju lama yang besar-besar itu semua tak boleh pakai. Mungkin saya boleh buka kedai prelove kot selepas ini,” katanya diselangi gelak tawa.
Kelangsungan hidup
Diaju soalan, bagaimana dia dan keluarga mengharungi hidup di kala pandemik melanda, Aishah memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Tuhan. Rezekinya masih ada untuk kelangsungan hidup.
Bekerja dalam dunia seni memang tiada pendapatan tetap. Itu lumrah. Maka pemain industri perlu bijak mencari peluang, meraih rezeki yang ada di luar sana. Mahu tak mahu, usaha perlu dilipat ganda.
“Memang kita semua terkejut dengan wabak Covid-19 ini. Apatah lagi bagi mereka yang bekerja tanpa pendapatan tetap. Malah, rakan-rakan saya yang berniaga juga turut terkesan.
“Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa. Apa yang penting adalah usaha kita untuk meneruskan hidup. Alhamdulillah, saya dan keluarga masih bertahan dengan punca rezeki yang ada.
“Saya pun ada tulis lirik, jadi duit royalti itu ada. Malah, produk kraftangan saya juga mendapat sambutan ramai. Sampai tak menang tangan. Yelah, produk hasil tangan ini perlu masa lama untuk siap. Kita bukan mesin,” selorohnya.
Pengalaman Tok Kat lagi luas’
Kemunculannya sebagai juri jemputan Gegar Vaganza musim ketujuh baru-baru ini mencetuskan kekecohan. Ramai yang memuji cara Aishah memberi komen. Malah, ada yang membanding-bandingnya dengan juri tetap, Datuk Khatijah Ibrahim.
Tidak mahu bersetuju dengan mana-mana pendapat, jelas Aishah, dia menghormati Khatijah sebagai senior dalam dunia muzik. Malah, pengalaman luas penyanyi lagu Ku Pendam Sebuah Duka itu melayakkan dia berada di kerusi juri tetap.
“Itu pendapat masing-masing. Kita tak boleh buat apa. Tok Kat (Khatijah) sudah menyanyi jauh lebih lama daripada saya. Dia sudah merentas beberapa generasi. Jadi saya rasa kita tak perlu pertikai kehebatan dia.
“Saya ini pun belum tentu dapat bertahan lama seperti dia. Tetap popular dan dikenali sehingga kini. Jadi dia berada di satu posisi hebat yang mungkin tidak semua rasa.
“Dia mempunyai cara penjurian sendiri. Begitu juga Datuk Ramli M. S. Saya juga ada cara sendiri. Tak mahulah kita banding-bandingkan. Apa kata kita hormat pendapat orang lain walaupun mungkin kita tidak setuju,” katanya.
Tetap menghormati pendapat semua pihak, Aishah mengakui, pengalamannya sebagai peserta program tersebut memberi dia ruang untuk berkongsi ‘cerita dalam kain’ yang mungkin tidak ramai tahu.
Pengalamannya melalui minggu-minggu penuh tekanan banyak memberi dia ruang untuk berkongsi dengan para peserta musim baharu. Apatah lagi, setiap juri punya karakter masing-masing.
“Saya pernah jadi peserta dan berjaya jadi juara. Jadi, gemuruh, tekanan dan penat itu yang lalui sahaja tahu. Jadi saya pernah berada di dalam situasi sama, mungkin di situ keserasian dalam penjurian itu ada.
“Dulu, hari-hari saya tanya suami, bila nak habis Gegar Vaganza (semasa bertanding) ini. Tak larat rasanya. Penat sangat tau,” selorohnya.










