Tinjauan Kesihatan dan Morbiti Kebangsaan mendedahkan kadar kelaziman diabetes dalam kalangan dewasa 18 tahun dan ke atas meningkat daripada 13.4 peratus pada 2015 kepada 18.3 peratus pada 2019.
Pakar Runding Kardiologi di Institut Jantung Negara, Datuk Seri Dr. Azhari Rosman berkata, dalam kebanyakan kes penyakit kardiovaskular, 80 peratus daripada pesakit merupakan penghidap diabetes.
“Yang menjadi kegusaran adalah semakin ramai pesakit muda disahkan menghidap diabetes dan penyakit kardiovaskular,” katanya dalam bengkel kesedaran dan komplikasi diabetes bersama media anjuran Novo Nordisk di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir Pakar Perunding Endokrinologi, Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr. Chan Siew Pheng dan Timbalan Presiden yang juga Pengurus Besar Novo Nordisk, Malaysia, Singapura dan Brunei, Richard Abela.
Dianggarkan 3.9 juta rakyat Malaysia disahkan menghidap diabetes jenis 2.
Faktor peningkatan diabetes adalah pelbagai tetapi punca utama ialah kebanyakan orang Malaysia mempunyai berat badan berlebihan disebabkan gaya hidup tidak sihat.
PENCEGAHAN AWAL
Dr. Azhari, berkata walaupun diabetes boleh dikawal, tetapi pencegahan sejak usia muda adalah perlu.
“Ia wujud tanpa kita disedari. Malangnya ia boleh mengurangkan jangka hayat individu sebanyak 12 tahun.
“Rakyat Malaysia patut diberi pingat keberanian kerana tidak takut dengan penyakit. Mereka lebih sanggup untuk tidak tahu apa-apa daripada membuat pemeriksaan kesihatan. Janganlah bila sudah terhantuk baru tengadah,” katanya.
Realitinya, menjalani gaya hidup lebih sihat, bersenam secara teratur selain memantau tahap glukosa darah dan pengambilan ubat sesuai antara langkah terbaik buat individu mencegah penyakit.
“Masyarakat perlu lebih bertanggungjawab, pada masa sama tahu mengenai kardiovaskular dan diabetes memiliki implikasi meragut nyawa.
“Pencegahan harus dilakukan pada usia muda sejak di bangku sekolah, bukan sudah berusia,” katanya.
Pengurusan diabetes lemah boleh mengakibatkan kadar gula dalam darah tinggi. Keadaan itu boleh menyebabkan penumpuan plak pada salur darah, sekaligus meningkatkan risiko kerosakan salur yang membawa darah ke jantung dan dari jantung.
Ia mengakibatkan jantung kekurangan oksigen dan nutrien, seterusnya menyebabkan serangan jantung dan kematian.
Sementara syarikat kesihatan dunia, Novo Nordisk turut menampilkan inovasi rawatan baharu iaitu kelas ubat suntikan GLP-1 RA.
Ia dijangka bakal mengubah paradigma pengurusan diabetes bagi menangani beban penyakit yang semakin meningkat.
Ia berupaya membantu mengurangkan paras glukosa darah, mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan kegemukan.










