Tentang post-rock yang penuh magis: Jalan cerita MIM - Utusan Malaysia

Tentang post-rock yang penuh magis: Jalan cerita MIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POST-ROCK satu genre yang sangat asing di Malaysia walaupun sudah banyak kugiran memainkannya. Mungkin jika ditanya tentang muzik tanpa lirik dan vokal, ramai rakyat Malaysia akan menganggapnya muzik instrumental.

Post-rock, dalam banyak keadaan memang instrumental. Banyak lagu post-rock tidak menggunakan lirik dan vokal tetapi bukan semuanya begitu.

Jika mahu saya letakkan definisi muzik post-rock, saya menyerah kalah awal. Bagi saya, genre itu adalah sejenis muzik yang tiada sempadan takrif. Ia boleh jadi apa saja.

Yang saya pasti, post-rock ada magis. Pengalaman kali pertama mendengar post-rock mengingatkan saya kepada kali pertama membaca kisah Raja Suran dalam buku Sulalatus Salatin.

Riwayat Raja Suran yang dari darat turun ke dasar laut itu penuh magis dan melanggar segala batas logik yang kita pelajari dalam kelas Sains; tetapi indah dan menakjubkan. Begitu juga post-rock. Pelbagai aturan konvensional sebuah lagu dilanggar dan ia indah dan menakjubkan.

Mungkin sebab itu, Aisya begitu bersemangat ketika menceritakan pandangannya tentang post-rock.

Aisya adalah pemain synthesizer kugiran MIM, kugiran berusia lima tahun yang baru-baru ini mengagumkan ramai orang ketika membuat persembahan dalam separuh akhir Anugerah Lagu Indie (ALI).

Kata Aisya, dia sendiri awalnya tidak dapat memahami post-rock. Dia sudah terbiasa dengan bentuk lagu konvensional, khususnya genre indie rock.

Namun, semakin dia mendalami muzik itu, semakin dapat memahami apa yang ada dalam muzik yang serba abstrak dan kompleks itu.

“Post-rock adalah tentang merasai segalanya. Ia sebuah jalan cerita.

“Kalau ada orang tanya post-rock itu apa, nak mudah saya jawab: manusia dan alam,” kata Aisya.

MIM dianggotai Aisya bersama tiga lagi anggota, iaitu Kamil (bass), Has (gitar) dan Abby (dram).

Mereka menyampaikan lagu Kodokushi ketika persembahan penutup separuh akhir ketiga ALI2020. Ternyata ia menarik tumpuan ramai dengan gaya permainan aneh; Has menggesek gitar elektriknya dengan busur cello dan mengetuk tali gitar untuk menghasilkan bunyi cungapan nafas.

Kodokushi secara literal bermaksud mati berseorangan. Fenomena yang kerap berlaku di Jepun melibatkan warga emas di sana. Has menulis lagu tersebut selepas menonton dokumentari tentangnya dan cuba menyampaikan bandungan rasa yang pelbagai melalui permainan instrumen yang unik.

“Aku bayangkan diri sedih mati seorang. Fikirkan mak ayah kita bila dah tua, atau jadi pada aku sendiri bila dah tua nanti. Mestilah sedih. Jadi benda pertama aku cuba buat adalah hasilkan bunyi nafas dengan gitar. Macam nafas terakhir, cungapkan udara.

“Dari situ, aku hasilkan satu struktur dalam masa satu malam. Sangat sekejap. Hantar pada ahli lain dan mereka suka,” kata Has.

Berkongsi perjalanan karier mereka, Kamil dan Abby dapat melihat penerimaan pendengar muzik Malaysia terhadap post-rock semakin baik.

“Dulu orang agak skeptik, tak faham apa yang kami main. Kami pernah main gig yang memang tak ada orang. Perubahan dari dulu sampai sekarang, dapat rasa bezanya,” kata Abby.

Bagi Kamil, perubahan terhadap penerimaan pendengar juga jelas selepas persembahan mereka di ALI2020 sehingga ada yang mahukan MIM memenangi pertandingan itu, walaupun mereka tidak bertanding.

“Paling hebat sekali, selepas persembahan itu ada lima orang beli EP kami,” katanya.

Bagi saya, menjadi pendengar post-rock itu sendiri sudah mencabar kerana membawa kita ke satu ruang kosong tanpa apa-apa pedoman. Penggunaan vokal dan lirik yang sangat minimal memaksa kita mentafsir sendiri mesej yang ingin disampaikan. Kita terpaksa membaca bahasa gitar, dram, bass dan segala bunyi yang digunakan.

Jadi, pastilah cabaran yang lebih besar buat pemuzik yang bermain genre post-rock itu sendiri yang perlu benar-benar menghayati dan menghubungkan diri dengan alat muzik mereka. Itu sahaja cara untuk memastikan post-rock mereka menjadi; bergabung dengan instrumen sehingga instrumen mampu berbicara dan menyampaikan rasa.

Pada tahap ini, barulah anda akan faham jawapan ringkas daripada Aisya bahawa post-rock itu adalah tentang manusia dan alam. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×