Teknologi dron tarik golongan muda jadi pesawah moden - Utusan Malaysia

Teknologi dron tarik golongan muda jadi pesawah moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Laporan khas (Bahagian akhir)

Siapa kata golongan muda tidak berminat masuk dalam selut dan berada di bawah terik matahari di sawah padi. Penglibatan golongan muda dalam aktiviti pertanian padi di Paya Sepayang, Rompin di Pahang membuktikan fenomena baharu kecenderungan mereka dalam bidang itu.

Malah minat dan potensi yang ada dalam aktiviti penanaman padi membuatkan kaum wanita termasuk ibu tunggal terlibat secara sepenuh masa dalam pertanian yang mencabar fizikal itu.

Bagi Zulmizan Zaini, 42, dia tidak menyesal membuat keputusan pulang ke kampung dan mula bersawah kira-kira 20 tahun lalu ketika baru berusia 22 tahun.

Katanya, selepas menerima cabaran arwah ayahnya untuk mengusahakan sawah padi dia bertekad untuk terus belajar menjadi seorang pesawah sepenuh masa.

“Dulu saya pernah kerja di Kuala Lumpur dan arwah ayah saya suruh balik mengusahakan tanah sawah atau dia akan menjualnya, saya bersyukur keputusan ini dapat menjamin masa depan saya.

“Saya tidak berfikir panjang dan mengambil keputusan turun ke lumpur sawah walaupun mula-mula dahulu agak kekok tetapi kini saya begitu berminat sehinggakan setiap hari mesti ada bau lumpur di badan baru saya berpuas hati,” katanya yang mengusahakan 4.8 hektar (12 ekar) tanah sawah di Paya Sepayang.

Menurutnya, pelbagai cabaran yang dilalui termasuklah apabila padi tidak menjadi akibat diserang penyakit tidak pernah mematahkan semangatnya malahan membuatkan dia mahu terus belajar dan berusaha mendapatkan hasil padi yang baik.

Seorang lagi pemuda, Ahmad Sabri Mohd. Rafi, 28, berkata dia membuat keputusan menjadi pesawah selepas melihat industri pertanian makanan itu mempunyai masa depan yang cerah.

Katanya, dia yang mula mengusahakan tanah sejak berumur 20 tahun juga tidak pernah menyesal tidak mengikut rakan-rakan ke bandar bagi bekerja dan mencari keseronokan ketika umur masih muda.

Tambahnya, pelbagai infrastruktur yang disediakan ditambah dengan teknologi baharu seperti dron dan penggunaan satelit bagi memantau cuaca juga sebenarnya memberikan satu fenomena baru yang menarik buat pesawah muda sepertinya.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Halijah Dahlan, 61, berkata dia tidak berasa janggal turun ke sawah bersama-sama dengan golongan lelaki untuk mengusahakan sawah padi seluas 7.2 hektar.

Malah ibu kepada seorang anak perempuan itu berkata, dia berbangga dan tidak berasa terbeban untuk mengusahakan sawah yang menjadi sumber pendapatannya daripada dahulu sehingga ke hari ini.

“Saya telah turun sawah dari tahun 70-an lagi dan ia telah menjadi darah daging saya malah anak saya juga menyokong usaha saya dan turut membeli tanah sawah yang diusahakan saya.

“Kalau hendak cari saya datanglah ke sawah, hari-hari saya ke sawah daripada pagi dan balik pukul 3 petang sebelum kembali semula ke sawah selepas asar untuk meneruskan kerja sawah yang tidak pernah habis,” katanya.

Menurutnya, meskipun kudratnya tidak segagah tenaga lelaki dia tidak pernah mengeluh apabila terpaksa memegang cangkul dan menggalas tong racun kerana minat yang mendalam dalam ativiti pertanian itu.

Ujarnya, penat lelah sepanjang hari membanting tulang akan terubat dan berasa puas apabila melihat kekuningan padi yang dituai setiap pengakhiran musim.

Dron lebih efisien, efektif

Menggunaan dron dalam aktiviti meracun dan membaja padi pada masa ini semakin meluas dan mendapat perhatian pesawah khususnya dalam kalangan golongan muda.

Malah teknologi terkini itu berjaya mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada golongan muda yang menjadikannya sebagai sumber pendapatan dengan mengambil upah meracun atau membaca menggunakan dron.

Bagi Muhamad Rizal Adam, 27, dia mengambil keputusan nekad berhenti kerja sebagai kerani Pejabat Pos dan beralih kepada kerjaya ‘mengendalikan dron’ yang dilihat amat berpotensi dan mendapat perhatian pesawah kerana lebih efektif dan menjimatkan masa.

Beliau berkata, selain mengambil upah dia juga menjadi ejen jualan dron yang kini mendapat tempahan daripada pesawah yang berminat dengan teknologi berkenaan di sekitar daerah ini.

“Alhamdulillah, tindakan saya berhenti kerja dan membeli dron meracun dengan harga kira-kira RM37,000 awal tahun ini adalah tepat dan berbaloi kerana kaedah meracun menggunakan dron mendapat permintaan yang tinggi.

“Antara lokasi saya mengambil upah pada masa ini termasuklah di Sawah Paya Sepayang dan Paya Setajam. Malah saya baharu mendapat tawaran kontrak meracun melibatkan 150 ekar (60.7 hektar) tanah sawah di Paya Setajam,” katanya ketika ditemui di Rompin baru-baru ini.

Menurut Muhamad Rizal, selain mendapat upah meracun menggunakan dron yang berterusan dia juga menerima banyak tempahan daripada pesawah muda yang ingin membeli dron.

 

Sahal Amer Hamzah memberikan penerangan dan demonstrasi mengenai dron yang menarik pesawah Paya Sepayang di Rompin, Pahang

 

Dalam pada itu, Pegawai Syarikat pemasaran dron, Sanyeong Agricultural Sdn. Bhd., Sahal Amer Hamzah berkata, penggunaan dron amat efektif dan mempunyai banyak kelebihan seperti mampu mengurangkan tenaga kerja dan meningkatkan produktiviti.

Beliau memberitahu, pada masa ini permintaan dron amat memberangsangkan sama ada daripada agensi pertanian seperti Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) atau daripada individu persendirian.

Katanya, penggunaan dron yang mampu melakukan kerja meracun dan membaja melibatkan kawasan yang luas dalam sehari dengan mengambil masa menyembur racun atau baja dalam tempoh kira-kira 3.3 minit bagi keluasan sehektar tanah dapat menjimatkan masa.

Sahal yang juga konsultan kepada (IADA) Rompin berkata, penggunaan dron juga dapat memastikan kawasan semburan adalah sekata kerana dron merekodkan kawasan semburan yang akan dimulakan semula dengan tepat selepas racun semburan habis.

“Dari segi keberkesanan kipas dron akan bantu supaya racun sampai ke bawah dengan baik berbanding kaedah tradisional kadang-kadang racun semburan hanya melayang dekat atas yang berkemungkinan batang padi di bawah tidak kena racun.

“Seterusnya dari segi kesihatan penggunaan dron amat baik sebab kalau secara tradisional pesawah perlu turun ke sawah dan sisa racun boleh terkena kulit malah ada sesetengah pesawah tidak mengambil langkah keselamatan dengan tidak memakai penutup hidung yang boleh membahayakan kesihatan dalam jangka pendek dan panjang,”ujarnya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya