di satu sudut, Joe dan Roy turut menyimpan koleksi cakera padat yang turut menghiasi ruang tamu rumah.MEMILIH untuk menyimpan barang yang lama untuk disusun atur bersama perabot moden, adakalanya boleh membuat pemilik kediaman pusing kepala.
Bak kata orang, hendak ditelan pahit, dibuang sayang. Apatah lagi jika sesetengah perabot atau barang lama itu memiliki nilai estetika dan nostalgia buat si empunyanya.
Seperti Roy Idris, 45, dan rakan serumahnya, Joe Saiful, 51, konsep eklektik dirasakan paling sesuai sebagai hiasan dalaman apartmen yang dihuni sejak 10 tahun lalu.

Menyukai pertembungan era moden dan klasik,ia tidak akan kelihatan janggal jika seseorang itu bijak bereksperimen.
“Bagi saya, jika kediaman itu menerapkan cuma satu konsep sahaja, contohnya moden semata, ia pastinya tampak membosankan.
“Jika pelbagai gaya disuai atur bersama, ruang yang ada tak akan nampak membosankan. Malah dilihat lebih berkarektor, sesuai dengan konsep eklektik yang diinginkan,”katanya.
Bersetuju dengan frasa klasik itu cantik, Roy pandai memadankan beberapa perabot lama milik arwah ibu tercintanya menjadikan ruang apartmen yang terletak di Ampang, Kuala Lumpur itu mewah dalam kesederhanaan.
“Paling nostalgia adalah lampu siling yang dibeli bersama arwah ibu pada tahun 1989.
“Masih saya ingat, umpama cinta pandang pertama, saya sendiri pilih lampu itu semasa menemani arwah ibu di sebuah kedai dan ia sebenarnya sepasang.
“Setelah ibu tiada, saya dan kakak ambil seorang satu sebagai kenangan. Selain itu, beberapa perabot lama milik arwah juga ada saya simpan sebagai kenangan,”katanya.
Ruang rehat dan kerja

Menggalas profesion sebagai juru publisiti artis tanah air, kedua-dua juga bijak bermain dengan ruang yang terhad dengan membina sendiri ruang kerja di dalam kediaman.
Mengambil sedikit ruang dalam sebuah bilik untuk dijadikan lokasi gerak kerja, Roy menggunakan kemahirannya sebagai bekas pereka hiasan dalaman untuk mengubah bermain dengan kreativiti.
“Tidak cuma kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami berdua sejak dulu memang bekerja dari rumah jadi memang memerlukan ruang yang sesuai dan selesa untuk bekerja.
“Ia penting kerana ia membantu kami untuk lebih fokus kerana kami tidak mempunyai pejabat.
“Sebab itulah kediaman yang kemas dan selesa penting agar ia dapat memberi inspirasi sewaktu bekerja di rumah selain dijadikan tempat berehat, ” katanya.
Mengenai pejabat mininya di rumah, kata Roy, ia juga adalah ruang yang bersifat peribadi menerusi simpanan koleksi mainan figura yang disusun kemas di satu sudut.











