
Tidak semua penghibur mampu bertahan lama, apatah lagi untuk kekal relevan sehingga puluhan tahun. Rahsia sentiasa konsisten dan bijak menawan peminat juga kunci utama, namun bukan mudah melaksanakannya, apatah lagi bila usia semakin meningkat dan populariti juga semakin menurun.
Namun bagi figura empunya nama Nashrudin Elias atau Datuk Nash, 60, keupayaan dan pengalamannya beraksi di pentas menghiburkan penonton tidak perlu dipertikaikan lagi. Beliau sentiasa membuktikan ‘orang lama’ sepertinya masih mampu menakluk industri walaupun jarang muncul dengan karya-karya terbaharu.
Nash berjaya meletakkan penanda aras buat dirinya apabila kemampuannya menyanyi secara berkumpulan dan solo diterima peminat. Jadi, tidak hairanlah penghibur serba boleh ini mampu bertahan lama serta laris dengan undangan pentas.
Bersama Mingguan Malaysia, Nash, berkongsi cerita tentang penglibatan awalnya dalam bidang seni serta luahan kekecewaannya mengenai industri muzik tempatan hari ini.

“Ketika berusia 18 tahun saya jadi penyanyi untuk kumpulan Easy Loving. Waktu itu kami hanya perform di rumah kenduri kahwin sehinggalah saya, arwah Man Dayak dan Samad ambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur. Waktu itu kami fikir mungkin cita-cita untuk jadi artis akan bertambah cerah.
“Sampai di KL kami pun tubuhkan kumpulan Step Closer dan bermain di kelab di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Di situlah kami berjumpa Man Kidal dan Ali Bakar yang seterusnya mempelawa kami sertai Battle Of The Band dengan menggunakan nama Lefthanded yang pada awalnya kumpulan ini diterajui Man Kidal.
“Lefthanded antara band awal yang merakamkan album kompilasi Battle Of The Band bersama Bloodshed, Ella & The Boys, Rahim Maarof Whitsteel dan SYJ.

Memang tidak diduga kemunculan Battle of The Band merubah senario muzik tanah air. Waktu itu sambutan cukup luar biasa sehinggakan majoriti anak-anak muda menyokong dan menjadikan irama rock ini sebahagian daripada muzik pilihan mereka,” katanya.
Menurut pelantun lagu Ku Di Halaman Rindu ini, pada asalnya beliau bukanlah individu yang berjiwa rock, namun oleh kerana minatnya serta diberi kepercayaan untuk menjadi tunjang dalam kumpulannya, dia cuba melakukan yang terbaik, tambahan pula apabila peminat sudah menerima Lefthanded sebagai pelopor kumpulan rock ketika itu.
“Ketika itu Lefthanded dianggotai oleh Nash (Vokal), Man Kidal (Gitar), Samad (Gitar), Yan (Bass) & Man Dayak (Dram). Penghijrahan anggota sesebuah kumpulan rock pada waktu itu juga fenomena biasa.
“Pada 1985, Yan dan Man Kidal pula keluar menganggotai Search dan sempat merakamkan album Search pertama berjudul Cinta Buatan Malaysia.
“Namun jodoh bersama Search tidak kekal lama apabila Hillary Ang dan Nasir kembali kepada Search. Yan dan Man Kidal pula kembali semula ke pangkuan Lefthanded dan meneruskan kebangkitan dengan album pertama berjudul Keadilan yang sekali gus melonjakkan kumpulan ini di persada muzik rock tanah air,” katanya.
Ketika proses pembikinan album kedua, Seruan pada 1987, Lefthanded menambah anggota menjadi enam orang dan Isa daripada kumpulan Lizard dibawa masuk sebagai pemain keybord.
Kematangan kumpulan ini semakin lama semakin terserlah menerusi album ketiga Evolusi yang diterbitkan pada 1989. Raja Rock, Ramli Sarip ialah individu yang bertanggungjawab dalam setiap penghasilan album mereka ketika itu.
Sekian lama bersama Lefthanded, Nash akhirnya membuat keputusan mengundurkan diri. Pada 1992, beliau muncul dengan album solo pertamanya bertajuk Nash. Tidak disangka lagu Pada Syurga Di Wajahmu sekali lagi meledakkan nama penyanyi ini.
“Bagi saya anggota kumpulan keluar masuk adalah lumrah dan perkara biasa. Cuba kita lihat kumpulan rock di Malaysia ini, semua anggotanya pun bersilih ganti.
“Karya itu luas. Contohnya seperti saya. Kalau saya tidak keluar daripada Lefthanded mana mungkin ada album solo? Tak mungkin lagu-lagu seperti Pada Syurga Di Wajahmu, Zahir tak terucap akan wujud. Jadi semua itu ada hikmahnya,” jelasnya panjang lebar.
Pada Syurga Di Wajahmu terus mengangkat nama Nash, sehinggakan lagu tersebut dinobatkan sebagai pemenang Juara Lagu 1992.
Walaupun berjaya mengangkat nama sebagai penyanyi solo, namun bagi peminat rock keaslian vokalis ini tetap bersama Lefthanded, walaupun kumpulan itu pernah menggunakan khidmat Ramli Sarip dan Arab sebagai penyanyi.
Pada 1998, Nash Kembali ke pangkuan Lefthanded dan menghasilkan dua buah album iaitu Dimensi Karu dan Syurga & Neraka.
Nash Kembali membawa Lefthanded ke mercu kegemilangan apabila Konsert Lefthanded, ‘Live at Planet Hollywood 2006’ mendapat kejayaan cemerlang sehinggakan rakaman konsert tersebut mampu untuk dijual dalam bentuk album.











