Sambung nyawa bantu tangani diabetes, tingkat kesuburan - Utusan Malaysia

Sambung nyawa bantu tangani diabetes, tingkat kesuburan

Produk Gynulin berasaskan herba sambung nyawa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dulu kita makan sebagai ulam tetapi selepas melalui penyelidikan , jadilah ia minuman kesihatan.

Kata-kata ini mungkin kerap kita dengar ketika industri herba tempatan yang kini dikatakan bernilai RM2 bilion. Melihat kepada pasaran herba tempatan yang begitu tinggi, tidak mustahil banyak syarikat ingin merebut peluang menceburi bidang tersebut menerusi usaha pengkomersialan dan pengeluaran besar-besaran produk berasaskan tanaman tersebut.

Walau bagaimanapun, usaha-usaha pengkomersialan tersebut perlu bermula daripada penyelidikan. Ia bagi meneroka dan mencari khasiat sesuatu herba sebagai bukti saintifik tentang apa yang didakwa sebagai memberi manfaat kepada kesihatan jika diambil mengikut dos yang betul.

Ini yang dilakukan oleh penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila membangunkan formulasi berasaskan herba sambung nyawa (Gynura procumbens), Gynulin yang mempunyai dua fungsi utama iaitu mengatasi masalah ketidaksuburan dan paras gula yang tinggi dalam kalangan pesakit diabetis.

Penyelidikan tersebut yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mahanem Mat Noor, dibantu oleh beberapa pakar lain dan disokong dengan dana penyelidikan sebanyak RM350,000.

 

                                            DR. Mahanem Mat Noor

 

Dr. Mahanem berkata, penyelidikan tersebut bermula pada 2008 apabila beliau berkongsi haiwan penyelidikan dengan seorang pensyarah lain di Fakulti Sains dan Teknologi, UKM iaitu Prof. Madya Dr. Halimah Abdullah Sani yang menjalankan kajian kesan herba sambung nyawa ke atas penyakit diabetes.

“Di universiti, kami mengamalkan penyelidikan dengan berkongsi bahan penyelidikan, ilmu, pengalaman dan kepakaran.

“Demi memanfaatkan hasil penyelidikan yang maksimum, kami menjalankan penyelidikan bersama iaitu saya mengambil organ pembiakan sementara Dr. Halimah mengambil sampel darah haiwan yang dikaji.

“Hasil penyelidikan tersebut, jelas menunjukkan herba sambung nyawa ternyata mampu memperbaiki kesuburan di samping mengembalikan paras glukos yang normal,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian kepada Utusan Malaysia dalam majlis pelancaran produk Gynulin dan menandatangani perjanjian pelesenan di antara UKM Technology Sdn. Bhd. dan MZ Herbs & Resources di kampus UKM, Bangi baru-baru ini.

Dalam majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof. Datuk Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad mewakili UKM manakala MZ Herbs & Resources diwakili oleh Pengarah Urusannya, Muhammad Zahid Zaharudin.

Kumpulan penyelidikan Dr. Mahanem mengkaji pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah ketidaksuburan khususnya dalam kalangan lelaki.

Antara faktor tersebut adalah gaya hidup (merokok), pemakanan yang kurang sihat (perisa makanan berlebihan) dan penyakit NCD (non-communicable disease) seperti hiper­tensi dan dia­betes.

Dianggarkan kira-kira 90 peratus kalangan pesakit diabetes mengalami masalah ketidaksuburan. Yang lebih membimbang, peratusan diabetes semakin meningkat kepada 18 peratus pada 2019 berbanding 11 peratus pada 2015 dan umur pesakit tersebut adalah dalam kalangan mereka yang berumur seawal 18 tahun iaitu tahap umur yang produktif.

Justeru, ancaman faktor ketidaksuburan ini mencetuskan idea untuk mendalami penyelidikan berkaitan kesuburan dan diabetes.

Dengan kepakaran dan minat yang mendalam dalam kajian kesihatan reproduksi serta menyedari kekayaan flora dan fauna di negara ini, menjadi pendorong beliau melakukan kajian yang mendalam terhadap potensi khazanah alam untuk manfaat kesihatan masyarakat khususnya yang berkaitan dengan kesuburan.

Oleh itu, dalam penyelidikan ini, potensi herba sambung nyawa telah diteroka menggunakan haiwan model yang diaruh dengan penyakit diabetes.

“Perlu diketahui juga bahawa penyakit diabetes turut mengurangkan libido atau keupayaan seksual pesakit.

“Ternyata ekstrak sambung nyawa bukan sahaja mampu meningkatkan kesuburan dan menstabilkan paras glukosa dalam darah bahkan juga mengembalikan libido dalam kalangan diabetik,” ujarnya.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, kajian prapengkomersialan bermula pada 2014 bagi menghasilkan bukti saintifik yang lebih mendalam berkaitan sambung nyawa yang memberi manfaat kepada kesihatan reproduksi dan diabetes.

Pasukan yang beliau ketuai itu melibatkan penyelidik bersama, pensyarah kanan daripada Institut Biologi Sistem (Inbiosis) UKM, Dr. Wan Mohd Aizat Wan Kamaruddin dan pelajar doktor falsafah, Khaidatul Akmar Kamaruzzaman.

Kajian tersebut menggunakan tikus sebagai model dan hasil menunjukkan terdapat kesan positif apabila menggunakan ekstrak tersebut.

Dr. Mahanem berkata, kekayaan alam semula jadi seperti herba yang dimiliki negara ini seharusnya diterokai.

Menerusi pendekatan etnobotani iaitu kajian ilmu tradisional dan adat resam masyarakat tentang kegunaan atau manfaat kesihatan sesuatu tumbuhan, beliau yakin ada herba tempatan yang istimewa dalam menambah baik kesihatan reproduktif rakyat di negara ini.

Katanya, kajian tersebut diteruskan bagi mengenal pasti kemungkinan herba sambung nyawa membawa kesan sampingan kepada hati dan ginjal. Kajian histologi dan analisis kefungsian hati dan ginjal membuktikan ia selamat digunakan.

Dr. Mahanem memberitahu, beliau menilai dan menskrin banyak jenis herba antaranya termasuklah peria katak, hempedu bumi serta beberapa herba lain tetapi sambung nyawa didapati mempunyai kesan positif untuk masalah diabetes, ketidaksuburan dan kemerosotan libido atau kecenderungan kepada seks.

Beliau menjelaskan, hempedu bumi juga mempunyai kesan positif dalam mengawal diabetes tetapi menjejaskan kesuburan kerana bersifat spermatoksik.

Keputusan kajian fundamental dan translational yang memberangsangkan itu mendorong kumpulan penyelidikan untuk terus mendalami kajian di peringkat molekular. Ia bagi memahami kaedah bagaimana faktor kesuburan serta kestabilan paras gula dicapai melalui rawatan ekstrak sambung nyawa.

Bersama Dr. Wan Mohd Aizat dan Khaidatul Akmar, mereka mendapati data proteomik sperma menunjukkan berlaku peningkatan protein yang memainkan peranan dalam kesuburan serta mekanisme tindakan seperti insulin.
Dalam pada itu, dana inovasi UKM telah disalurkan bagi membantu dalam fasa prapengkomersialan dengan menghasilkan 423 botol. Penjualan tersebut dengan harga promosi bertujuan mendapatkan maklum balas pengguna.

Meskipun banyak minuman botanikal campuran herba terpilih yang didakwa mempunyai khasiat, kelebihan produk Gynulin berbanding produk lain adalah minuman tersebut diformulasikan berasaskan data saintifik yang konsisten sejak 10 tahun lalu dengan melibatkan kajian fundamental dan translational.

Dengan kejayaan itu, beliau boleh berbangga dengan pengkomersialan produk hasil daripada penyelidikan herba tentang masalah diabetes dan ketidaksuburan. Gynulin dipatenkan pada 2017 dan memperoleh tanda dagangan untuk jenama pada tahun lalu.

Dr. Mahanem berkata, sela­ku penasihat saintifik beliau dan pengurusan syarikat merancang untuk menghasilkan produk Gynuin dalam bentuk kapsul.

UKM sasar 30 produk komersial 2020

                             DR. Ir. Abdul Wahab Mohammad

 

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof. Datuk Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad berkata, di bawah Pelan Strategik UKM 2019-2021 yang berkonsepkan House of Quality, universiti tersebut menggariskan lima teras utama iaitu penyelidikan, akademik, antarabangsa, bakat dan kewangan.

Dalam mencapai elemen penting di bawah teras 1, iaitu penyelidikan, UKM telah mewujudkan strategi untuk memperkasa penyelidikan berimpak dan terkehadapan dengan menggerakkan kajian pelbagai disiplin dalam bidang sains dan sains sosial.

Usaha tersebut melibatkan Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (Inovasi@UKM) yang menyasarkan 30 produk pengkomersialan tahun ini.

Justeru, dengan pelancaran Gynulin itu, beliau berharap, lebih ramai penyelidik memberi sokongan dan komitmen bagi meningkatkan kesedaran terhadap peranan menghasilkan produk berinovasi tinggi dan kompetitif dalam pasaran.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Urusan MZ Herbs & Resources, Muhammad Zahid Zaharudin menerusi perjanjian pelesenan tersebut, pihaknya menyasarkan untuk mengeluarkan kira-kira 10,000 botol Gynulin sebulan.

Syarikatnya yang ditubuhkan pada 2018 memfokus kepada perniagaan berasaskan herba.

Kata beliau, melihat kejayaan UKM itu, pihaknya yakin ia sebagai satu peluang untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan.

“(Kita dimaklumkan) sebanyak 3.5 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes, di sinilah timbul idea untuk saya buat produk, berasaskan kepada keyakinan terhadap kepakaran saintis tempatan.

“Mereka mempunyai pengalaman yang lama dalam bidang herba ini untuk kita (manfaatkan) supaya dapat bekerjasama, “ ujarnya.

Beliau berkata, bagi memudahkan pemasaran, syarikatnya menggunakan mekanisme platform secara dalam talian dan luar talian serta pemasaran digital.

Kelebihan Gynulin

Boleh menseimbangkan paras glukosa
Meningkat kesuburan melalui peningkatan kualiti sperma dan hormon reproduksi
Meningkatkan kemampuan seksual

Anugerah
Anugerah Malaysia Commercialisation Year 2019
Anugerah Inovator Baharu
Pingat emas Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX)
Pingat emas, Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (Pecipta) 17,
Pingat emas Si2te 18,
Pingat emas IP CHALLENGE 17
Pemenang Anugerah Khas KASS Best Invention Award (ITEX 2018)
Anugerah Khas Juri (IP

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN