PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) memperkenalkan Kad Kredit-i Awwal yang menawarkan akses kepada pembiayaan secara lebih telus, mampu milik dan berhemah berlandaskan prinsip syariah.
Pelancaran itu mencerminkan komitmen berterusan Bank Muamalat dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang benar-benar memenuhi keperluan rakyat, khususnya ketika kos sara hidup terus meningkat dan ketidaktentuan ekonomi global masih memberi kesan kepada isi rumah serta perniagaan.
Kad Kredit-i Awwal dibangunkan berteraskan konsep pembiayaan bertanggungjawab dengan menawarkan kadar keuntungan serendah 14 peratus setahun, di samping tiada yuran tahunan, tiada caj tersembunyi dan mengguna pakai konsep keuntungan tidak berganda.
Sebagai perbankan Islam penuh, Kad Kredit-i Awwal turut menawarkan ciri-ciri yang menggalakkan pengurusan kewangan secara berhemah, sekali gus membantu pelanggan mengelakkan komitmen hutang yang berlebihan.
Sebagai nilai tambah, Bank Muamalat turut menawarkan perlindungan Takaful secara percuma bagi baki tertunggak, menjadikannya antara kad kredit-i yang menawarkan perlindungan kewangan tambahan kepada pelanggan tanpa kos tambahan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khairul Kamarudin berkata, pengenalan Kad Kredit-i Awwal merupakan sebahagian daripada aspirasi bank untuk memperluas akses kepada pembiayaan yang lebih adil, telus dan bertanggungjawab.
“Dalam keadaan ekonomi yang masih dipengaruhi pelbagai cabaran global, rakyat memerlukan lebih daripada sekadar akses kepada kredit. Mereka memerlukan penyelesaian kewangan yang membantu mereka mengurus perbelanjaan secara lebih bijak tanpa menambah tekanan kewangan.
“Kad Kredit-i Awwal dibangunkan berasaskan prinsip bahawa kemudahan kredit seharusnya menjadi alat untuk memperkukuh kesejahteraan kewangan, bukannya mendorong kepada keberhutangan yang berlebihan.
“Sebagai sebuah bank Islam sepenuhnya, kami percaya setiap produk perlu memberi nilai sebenar kepada pelanggan, selaras dengan prinsip keadilan, ketelusan dan tanggungjawab yang menjadi teras kewangan Islam,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, berbeza dengan kebanyakan kad kredit yang memberi penekanan kepada ganjaran gaya hidup dan keistimewaan eksklusif, Kad Kredit-i Awwal memberi fokus kepada perkara yang lebih penting kepada pelanggan, iaitu kos pembiayaan yang lebih rendah, struktur caj yang mudah difahami serta ciri-ciri yang menggalakkan pengurusan kewangan secara berhemat.
Selain menawarkan kadar keuntungan yang kompetitif, pelanggan tidak akan dikenakan sebarang keuntungan sekiranya keseluruhan baki tertunggak dijelaskan sebelum tarikh akhir pembayaran, selaras dengan konsep keuntungan tidak berganda yang diamalkan oleh Bank Muamalat. – UTUSAN










