Rasulullah SAW: Keturunan terbaik - Utusan Malaysia

Rasulullah SAW: Keturunan terbaik

TENTERA Abrahah pernah menyerang dan mahu meruntuhkan Kaabah tetapi digagalkan oleh ‘tentera’ burung Ababil utusan Allah SWT.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Prof. Madya Dr. Khairul  Anuar Mohamad

Dalam satu perdebatan antara agama Islam dengan nasara, pihak nasara menegaskan nama Nabi Muhammad SAW disebut dalam al-Quran hanya sebanyak lima kali. Sedangkan nama Isa Ibn Maryam disebut dalam al-Quran sebanyak 25 kali. Pendebat Islam ketika itu ialah Sheikh Ahmed Deedat.

Beliau menjawab dengan menempelak ukuran kebenaran yang digunakan dengan bilangan angka yang banyak disebut dalam al-Quran dengan menegaskan, jika itu menjadi ukuran kebenaran sudah tentu syaitan lebih benar kerana ia disebut lebih 70 kali.

Sempena kedatangan bulan Rabiulawal 1442 hijrah yang terkenal dengan bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW marilah sama-sama kita membuat sedikit kajian tentang baginda SAW dalam al-Quran. Lima kali diulang sebut dalam al-Quran dibahagikan iaitu empat kali nama Muhammad dan sekali dengan Ahmad.

Namun jika dicampur dengan kalimah rasul, nabi dan ganti nama yang ada kaitan dengan Nabi SAW, keseluruhannya disebut 2,672 tempat di 1,203 ayat.

Ayat terbanyak terkandung ganti nama berkaitan Nabi Muhammad SAW sebanyak 13 kali iaitu: Oleh kerana yang demikian maka serulah kepada mereka wahai Muhammad kepada berugama dengan betul serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepada-mu dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaiknya katakanlah: “aku beriman kepada segala kitab yang diturunkan oleh Allah dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami dengan kamu kerana kebenaran telah jelas nyata. Allah akan menghimpunkan kita bersama pada hari kiamat dan kepadaNyalah tempat kembali semuanya untuk dihakimi dan diberi balasan. (Syura: 15)

Jika diteliti lima kali nama Nabi SAW dalam al-Quran iaitu Ahmad dan Muhammad, kita akan dapati ia adalah satu kehidupan Nabi SAW yang lengkap. Bermula dengan khabar kelahiran Nabi SAW sehinggalah yang terakhirnya berkaitan wafat Nabi SAW.

Kelahiran Nabi SAW

Kelahiran Nabi SAW telah diumumkan oleh Nabi Isa a.s. Beliau telah memperingatkan kepada Bani Israel tentang kelahiran itu agar mereka beriman kepada Nabi SAW.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan ingatlah peristiwa ketika Nabi Isa Ibn Maryam berkata: Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran kitab yang diturunkan sebelumku iaitu kitab Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama Ahmad”. Maka tatkala ia datang kepada mereka membawa keterangan yang jelas nyata mereka berkata: “ini ialah sihir yang jelas nyata”. (Saf: 6)

Pengumuman kelahiran Nabi SAW dibuat lebih 500 tahun sebelum kelahiran baginda. Dan mereka mengkaji seluruh tanda kenabian sehingga mereka mengenali nabi sebagaimana mereka kenali anak mereka sendiri. Namun apabila semua tanda tersebut didapati ada pada Nabi SAW mereka kufur dan tidak beriman.

KETURUNAN NABI SAW

Sheikh Ramadhan al-Buthi dalam kitabnya Fiqh al-Sirah telah menjelaskan keturunan Nabi SAW. Muhammad Ibn Abdullah Ibn Abdul Mutalib Ibn Hasyim Ibn Abd Manaf Ibn Qusai Ibn Kilab Ibn Murrah Ibn Ka’ab Ibn Luai Ibn Ghalib Ibn Fihr Ibn Malik Ibn al-Nadr Ibn Kinanah Ibn Khuzaimah Ibn Mudrikah Ibn Ilyas Ibn Mudhar Ibn Nizar Ibn Mu’ad Ibn Adnan. Dan Adnan ini adalah anak Nabi Ismail a.s Ibn Nabi Ibrahim a.s. Allah SWT memilih Nabi SAW daripada sebaik-baik keturunan.

Keturunan yang baik dan sifat mereka juga terpuji. Abdul Mutalib iaitu datuk Nabi SAW adalah pemimpin penduduk Mekah. Semasa Abrahah datang dengan bala tentera bergajah untuk meruntuhkan Kaabah, Abdul Mutalib berunding dengan Abrahah dan menyatakan dengan tegas bahawa Kaabah ada ‘Tuan’ yang menjaganya.

Abrahah telah diserang dengan sekumpulan burung yang melontar biji batu yang kecil tetapi kesannya mereka menjadi seperti daun yang dimakan ulat sebagaimana dalam surah al-Fil. Dan pada zaman Abdul Muttalib ini jugalah telaga zamzam yang tertimbus sejak beberapa lama telah dijumpai semula.

Hasyim, ayah kepada Abdul Mutalib ialah perintis kepada pelayaran perniagaan yang disebut dalam surah Quraisy. Adalah adat masyarakat Mekah ketika itu jika sesuatu rumah tidak mempunyai makanan maka ketua keluarga membawa semua ahli keluarganya ke satu tempat dan membiarkan begitu sehingga semua mati kelaparan.

Amalan tersebut dinamakan ‘Itifar. Perkara ini berlaku kepada sebuah keluarga Bani Makhzum dan mereka mahu lakukan ‘Itifar. Ceita ini sampai kepada Hasyim Ibn Abd Manaf dan beliau telah membuat ucapan yang masyhur dengan berkata:  “Sesungguhnya kamu telah lakukan perkara yang merendahkan maruah sedangkan bangsa arab adalah mulia dan kamu adalah penduduk tanah yang Allah haramkan. Seluruh manusia adalah pengikut kamu.

Kemudian Hasyim Ibn Abd Manaf mengumpul golongan bapa dan lakukan dua pelayaran perniagaan. Keuntungan dibahagikan kepada keluarga dan orang fakir sehinggalah yang fakir menjadi orang yang berharta”.

Kesimpulannya, keturunan Nabi SAW adalah yang terbaik dan akhlak mereka juga adalah terpuji. Sebahagian mereka adalah ketua kepada kaum dan menolong menyelamatkan mereka daripada kesusahan.

Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad, Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, USIM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×