Pertanian lestari, berteknologi tinggi - Utusan Malaysia

Pertanian lestari, berteknologi tinggi

Paya Sepayang di Rompin antara jelapang padi Pahang  yang berpotensi dan mempunyai tanah yang subur serta infrastruktur yang baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Laporan Khas (Siri 1)

MUKADIMAH

SEBUT sahaja Rompin, pastinya terbayang udang galah pejal, segar dan menyelerakan yang menjadi habitat di sungai-sungai daerah itu.

Lokasi di pesisir pantai menjadikan daerah itu sebagai syurga pemancing dan penggemar makanan laut malah kewujudan ikan layaran membuatkan daerah itu menjadi sebutan dalam peta dunia.

Lebih menarik lagi kawasan penanaman padi di daerah ini melangkah ke platform baharu dengan pertanian lestari dan teknologi baharu yang melibatkan golongan muda.

Seluas 3,578 hektar kawasan penanaman padi dikenal pasti di daerah ini meliputi empat kawasan jelapang iaitu Paya Setajam, Paya Sepayang, Paya Laka, dan Paya Tebu Hitam manakala dua kawasan terletak di luar jelapang iaitu Paya Sg. Meranti dan Jawa Pantai.

Wartawan Utusan Malaysia ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN mengupas potensi kawasan sawah Padi Paya Sepayang yang terletak dalam Jelapang Padi Pahang dan bakal menjadi pusat pengeluaran benih padi pertama di negeri tersebut.

————————————————————————————————————————————————————————————————————————

Tunera, dron, perangkap cahaya, pemantau kaji cuaca merupakan antara amalan penanaman padi di Jelapang padi Paya Sepayang, Rompin dalam membawa anjakan baharu kepada rantaian utama pengeluaran beras negara itu.

Pertanian lestari dan penggunaan teknologi moden yang dapat menarik minat golongan muda merupakan fokus dalam pembangunan jelapang padi Pahang termasuklah di Paya Sepayang.

Pegawai Pertanian Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Rompin, Hasreana Ramli berkata, amalan pertanian lestari yang mampu menyediakan makanan yang selamat serta penggunaan teknologi sepert dron telah dimulakan di Jelapang Padi Paya Sepayang.

 

                                                                Hasreana Ramli

 

Katanya, Paya Sepayang berkeluasan 240 hektar (ha) dengan melibatkan 122 pesawah berdaftar termasuk golongan muda amat berpotensi dibangunkan dalam pelbagai aspek termasuk pelancongan malahan ia dirancang menjadi pusat pengeluaran benih pertama di negeri ini.

“Dalam pertanian lestari kita tekankan pendekatan Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) bermakna kita mempelbagaikan sumber sebaik mungkin dengan mengurangkan penggunaan racun perosak, bukan tidak boleh guna tetapi pilihan itu adalah yang terakhir.

“Maknanya kita akan gunakan bahan berasaskan daripada sumber organik terutamanya, kita hendak memelihara tanah sebab kadang-kadang hasil kita turun pun sebab tanah kita tidak subur disebabkan penggunaan bahan kimia yang berterusan dari tahun ke ke tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Hasreana, keluasan kawasan jelapang padi Rompin ialah kira-kira 3,288 hektar melibatkan Paya Setajam (1,850 ha), Paya Sepayang (280 ha), Paya Laka (713 ha) dan Paya Tebu Hitam seluas 445 ha.

Selain itu, beliau memberitahu, terdapat juga penananam padi di luar kawasan Jelapang iaitu di Paya Sg. Meranti seluas 90 ha dan Jawa Pantai seluas 200 ha.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara kaedah pertanian lestari yang diterapkan ialah penanaman tumbuhan perumah pemangsa yang memakan perosak padi seperti pokok tunera dan ros Jepun di kawasan sawah padi selain pembinaan rumah burung pungguk bagi mengawal tikus.

Selain itu katanya, pemasangan perangkap cahaya berkuasa solar iaitu bertujuan memerangkap serangga perosak bertujuan mengawalnya kerana ia berbahaya kepada padi. Ia juga merupakan antara usaha signifikan dalam pertanian lestari yang dapat membantu petani.

 

Hasreana Ramli menunjukan rumah burung pungguk yang dipasang bagi mengawal tikus di Paya Sepayang.

 

Katanya, alat pengesan serangga perosak berhijrah juga dipasang di kawasan itu manakala pesawah dilengkapkan dengan aplikasi ramalan cuaca bagi mereka merancang aktiviti pertanian dengan lebih efisien.

Teknologi memudahkan

Dalam pada itu, Hasreana Ramli berkata, penggunaan dron dalam aktiviti membaja dan meracun yang yang tidak memerlukan banyak tenaga menyaksikan peralihan pesawah kepada teknologi baharu yang sekali gus menarik minat golongan muda.

Katanya, penggunaan dron juga dilihat diambil kesempatan golongan muda untuk mengambil upah menabur baja dan racun sekaligus menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada mereka.

Sementara itu, katanya, dalam mengatasi masalah tempahan benih padi pihaknya juga mencadangkan supaya kawasan Paya Sepayang sebagai kawasan pengeluaran benih padi pertama di Pahang.

Ujarnya lagi, Paya Sepayang amat berpotensi kerana bukan sahaja mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik malahan terletak di kawasan agak ‘terasing’ menyebabkan ia dapat dibuat zon penampan.

Program IADA Rompin di Paya Sepayang
» Bilangan pesawah: 122 orang
» Menyasarkan penglibatan pelbagai golongan termasuk golongan muda.
» Dirancang menjadi pusat penghasilan benih padi pertama di Pahang.

Konsep pelaksanaan pertanian lestari

» Meminimumkan penggunaan racun.
» Penggunaan baja secara spesifik.
» Penggunaan teknologi seperti dron dan pemantauan cuaca
» Penggunaan tumbuhan perumah pemangsa seperti tunera.
» Penggunaan burung pungguk.
» Penggunaan tenaga solar pada alat perangkap serangga perosak

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya