Penat jadi pelakon – Siti Saleha - Utusan Malaysia

Penat jadi pelakon – Siti Saleha

SITI SALEHA masih berkira-kira untuk kembali ke set pengambaran 7 Hari Mencintaimu 3 yang mencatat 12 juta tontonan. – UTUSAN/MOHD. IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bergelar anak seni memerlukan komitmen yang tinggi. Bukan hanya jiwa menjadi taruhan namun, kudrat juga harus seiring kuat. Kerja harus disusun elok, supaya tidak tersalah mencatur.

Mengakui kerjaya sebagai pelakon itu penat, bagi Siti Saleha, bekerja lebih 12 jam malah tidak kenal siang dan malam itu lumrah. Namun itu adalah harga untuk menjadikan impian dan minat satu realiti.

Sebab itu, dia agak memilih soal naskhah terutama yang memerlukan dia untuk beri komitmen yang sangat tinggi. Tidak mahu terlalu mengejar nama, Siti Saleha kini berhati-hati memilih tawaran.

“Memang penat jadi pelakon. Kita akan terkejar-kejar untuk selesaikan kerja. Kadang-kadang kerja lebih 12 jam. Fizikal dan mental kita akan mula rasa penat, tak larat dan kadang-kadang melemahkan diri sendiri.

“Sebab itu saya jarang ambil tawaran untuk drama bersiri. Mungkin kalau penggambarannya tidak lama dan tersusun, jadi boleh dipertimbangkan. Kalau sehingga lewat malam, mungkin tidak.

“Saya jenis tak suka pulang lewat ke rumah. Sebab itu kalau dapat tawaran, saya kena fikir masak-masak. Takut tak boleh bagi komitmen,” jelas isteri kepada Ahmad Lutfi Azhar ini.

Masih berkira-kira untuk kembali ke set penggambaran 7 Hari Mencintaimu 3, drama yang mencatat tontonan 12 juta untuk musim kedua itu memerlukan masa dan kudrat yang tinggi sementelah jumlah episod yang bukan sedikit.

“Saya tak tahu boleh beri komitmen atau tidak untuk drama tersebut. Saya tahu ini satu drama yang cukup popular dan ramai peminat yang suka dengan watak Mia, namun kena fikir dahulu.

“Suami menyerahkan soal kerjaya sepenuhnya kepada saya. Asalkan saya tahu batas dan pandai membahagi masa, dia okay sahaja. Lagipun saya sendiri sudah memperlahankan kerjaya sebagai pelakon,” katanya.

Berbicara soal merancang keluarga, Siti Saleha tetap dengan jawapan yang sama tatkala soalan tentang anak menjadi topik. Dia serahkan soal itu kepada tuhan. Dia tidak merancang dan terbuka jika ada rezeki.

“Saya dan suami tidak mahu terlalu memikirkan soal rezeki anak ini. Doakan yang baik-baik. Insya-Allah, sampai masa nanti, Allah akan beri rezeki itu,” katanya.

Mengakui turut terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda dunia, Siti Saleha meluahkan rasa rindu terhadap keluarganya yang kini berada di United Kingdom (UK).

“Alhamdulillah, kehidupan seperti biasa. Memang ada impak pendemik ini, namun setakat ini kami masih okay. Cuma dari segi mental, saya rindu dengan keluarga yang kini berada di UK.

“Sudah dua tahun saya tidak bertemu emak, kakak dan adik. Jadi, mental kena kuat. Nasib baik kita boleh buat panggilan video, terubat sedikit rindu dalam hati,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya