Kemurungan bukan isu terpencil. Hampir setiap hari berita berhubung pesakit mental membunuh darah daging sendiri menghiasi dada akhbar. Sanggupkah kita membiarkan insiden ini berlaku sedangkan rawatan ada untuk membantu pesakit?. Utusan Malaysia berkesempatan menemu bual pelukis, Azrina Rahim, 28, berhubungan pengalamannya bertarung dengan diri, keluarga dan masyarakat berdepan konflik kesihatan mental dihadapinya.
Azrina sewaktu ditemui ceria. Riak wajahnya sedikit pun tidak menggambarkan dirinya bertarung dengan penyakit mental.
“Memang ramai tidak tahu kalau saya tidak menjelaskan. Lebih-lebih lagi saya kini menjadi pelukis,” katanya memula bicara.
Bagi dirinya, lukisan adalah satu-satu senjata buat dirinya memperoleh ketenangan setiap kali berdepan gangguan emosi.
“Saya ralit melukis. Mainan corak, warna dan baunya, membantu saya memperoleh ketenangan bila jiwa kacau. Saya seronok bila dapat menggambarkan apa dirasai dalam naluri, saat emosi tidak stabil, tidak tentu arah. Ia
adalah terapi buat saya,” katanya.
BUKAN SENDIRI
Azrina tidak bersendirian sebaliknya ribuan penduduk dunia bertarung melawan depresi. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 menjangkakan penyakit mental menjadi masalah kesihatan kedua terbesar selepas kardiovaskular.
Kajian sama turut mendapati prevalen kemurungan sebanyak 18.3 peratus. Ia menterjemahkan satu daripada lima remaja mengalami gejala kemurungan, dua daripada lima remaja mengalami keresahan dan satu daripada 10 mengalami stres.
Azrina yang pernah berkhidmat sebagai pereka di salah sebuah syarikat pembinaan di ibu kota, didiagnosis dengan dissociative identity disorder (DID). Ia disusuli dengan bipolar disorder dan borderline personality disorder (BDP).
Pada peringkat awal beliau tidak dapat menerima hakikat. Sebaliknya memilih kaedah penenang.
BANTUAN

“Saya takut dilabelkan sebagai gila. Justeru, saya juga tidak mendapatkan bantuan profesional. Saya tahu kalau saya berjumpa pakar, ramai anggap saya macam itu (gila),” katanya.
Mengenai bantuan daripada keluarga, Azrina berkata, beliau pernah mengadu, tetapi keluarga memikirkan ia ia tidak serius.
“Saya kira kurang pendedahan menyebabkan mereka tidak endah dengan masalah saya, mereka cuma suruh saya jangan tinggal solat,” katanya.
Enggan membiarkan diri tenggelam dalam masalah mental, Azrina mengambil inisiatif pergi ke hospital mendapat rawatan.
“Bila keluarga tahu, mereka mulai memberikan sokongan kepada saya menangani sakit dialami,” katanya mengimbau memori.
Selain rawatan doktor, Azrina turut mempelajari ekspresi artistik sebagai terapi mengurangkan tekanan.
Ia adalah terapi membolehkan individu mengekspresikan diri tanpa perlu mengeluarkan kata-kata seperti melukis.
Berhubung penerimaan masyarakat, katanya salah satu faktor beliau beralih ke cabang seni kerana mahu lari daripada stigma masyarakat yang mengatakan pesakit mental sebagai ganas, tidak siuman dan tidak ada iman.
“Stigma menyebabkan pesakit sukar menerima hakikat, lalu tidak mendapatkan rawatan. Masyarakat sepatutnya mendekati dan berinteraksi dengan mereka sebagai langkah membantu,” katanya.
LAYAN PERASAAN

Mengurangkan tekanan Azrina menyarankan individu tidak terlalu melayan perasaan sewaktu berasa tertekan, sebaliknya segera mengalihkan perhatian dengan melakukan sesuatu aktiviti digemari.
“Saya meluahkan apa yang terbuku di hati dengan melukis. Saya kira kita perlu lakukan apa yang kita suka bila emosi terganggu, seperti menyanyi, menari dan sebagainya,” katanya.
Mengenai kempen kesedaran mental, Azlina menegaskan ia perlukan pendekatan baharu.
“Ada pelbagai faktor pencetus dan faktor itulah perlu kita kenalpasti, kalau kita benar-benar mahu membantu,” katanya serius.
Kempen ubah paradigma
Kempen mengubah paradigma a dianjurkan Azrina bertujuan memberi kesedaran umum mengenai penyakit mental. Selain daripada pameran lukisan karya Azrina, ada sesi zoom bersama pesakit.
Azrina selaku pengasas program berkata, persidangan zoom melibatkan seramai 10 pesakit di depan panel kesihatan antaranya aktivis dan pemimpin korporat diadakan bertujuan membina keyakinan kepada pesakit.
“Saya hanya ingin membantu pesakit yang lain untuk pulih dan berasa yakin pada diri sendiri. Saya tidak mahu mereka melalui kesukaran macam saya. Saya berharap kempen ini berjaya memperbetulkan stigma masyarakat terhadap sakit mental,” katanya.
Azrina tidak mahu penyakit mental dihidapi itu turut dilalui orang lain.
Katanya, orang ramai perlu tahu apa itu penyakit mental kerana tanpa ilmu masyarakat menganggap ia suatu penyakit biasa sedangkan ia sebaliknya.
“Bila kita anggap masalah mental itu masalah individu, justeru kita tidak mahu membantu, sedangkan pesakit yang mendapat rawatan boleh pulih. Tanpa rawatan penyakit dialami akan menjadi semakin teruk,” katanya.










