Jangan pandang ringan terseliuh - Utusan Malaysia

Jangan pandang ringan terseliuh

Dr. Mohamed Hafizudin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

The Dallas Morning News dalam rencana berjudul Ankle Sprains May Affect You For Life, menyebut bahawa terseliuh adalah satu keadaan yang harus diberi perhatian.

Ini kerana dalam beberapa kajian saintifik, individu bahkan haiwan yang terseliuh khususnya pada buku lali, berpotensi mengalami kesan buruk jangka panjang terutama membabitkan pergerakan.

APA ITU TERSELIUH?

Pakar Otopedik dan Traumatologi, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohamed Hafizudin Abdullah Sani berkata, penyakit terseliuh atau tergeliat adalah terma yang digunakan jika seseorang mengalami kecederaan pada sendi, ligamen atau tendon.

“Ligamen adalah struktur yang menyambungkan suatu tulang kepada tulang lain manakala tendon pula menyambungkan otot pada tulang.

“Kedua-dua struktur ini mempunyai had regangan yang terhad untuk memastikan pergerakan badan dan sendi dalam keadaan yang stabil dan dinamik,” katanya.

Dalam konteks terseliuh, beliau berkata, kecederaan ini biasanya disebabkan oleh kecederaan bersukan.

“Ini berlaku apabila sendi atau otot bergerak lebih daripada tahap keupayaan sesuatu sendi itu untuk bekerja.

“Terseliuh juga boleh disebabkan oleh kemalangan. Kecederaan ini boleh menyebabkan sakit dan bengkak pada sendi dan ligamen disebabkan oleh perenggangan atau lebih ekstrem lagi koyak pada bahagian ligamen dan tendon,” jelasnya.

BAHAGIAN MANA BOLEH TERSELIUH?

Menurut Mohamed Hafizudin, kecederaan terseliuh ini boleh berlaku pada mana-mana bahagian sendi.
“Pun begitu, majoriti kecederaan kerap berlaku pada sendi buku lali dan lutut. Pergelangan tangan dan bahu juga antara sendi yang boleh terseliuh terutama akibat jatuh atau kemalangan.
Katanya, 30 peratus dari kecederaan sukan melibatkan terseliuh buku lali.

BILA PERLU JUMPA DOKTOR?

Jika ada simptom berikut, perlu segera bertemu doktor:
 Bengkak
 Sakit pada sendi
 Lebam
 Sakit pada pergelangan
buku lali jika ditekan
 Tidak boleh
berjalan,
berdiri
atau menampung diri sendiri
 Kedengaran bunyi `pop’ pada bahagian sendi akibat
ligamen
tendon koyak atau kepatahan tulang

KAEDAH RAWATAN RICE

Mohamed Hafizudin berkata, kaedah RICE antara cara merawat penyakit terseliuh RICE merujuk kepada ‘Rest’, ‘Ice’, ‘Compression’ dan ‘Elevate’

Rehat atau ‘rest’ bermaksud, kurangkan pergerakan terutama pada sendi yang cedera. Kemudian, lekapkan air batu untuk kurangkan rasa sakit. Ia juga boleh kecutkan salur darah, sekali gus kurangkan bengkak dan keradangan.

“Pesakit juga boleh tambah tekanan atau ‘compression’, dengan cara membaluti kawasan yang terseliuh (bandaging). Ini boleh kurangkan bengkak serta elak sendi menjadi sembab.

“Pada masa sama, pesakit disarankan agar menaikkan sendi (elevate). Ini bermaksud, meninggikan atau menaikkan sendi dari bahagian badan lain boleh mengurangkan bengkak dan sakit. Ini elok dilakukan dalam tempoh 24 jam pertama selepas kecederaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN