fbpx

27 Oktober 2020, 7:59 pm

  TERKINI

Individu misteri bikin Syamsul panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika dia sedang berusaha untuk memperbaiki kemelut rumah tangganya dengan isteri, wujud pula ujian lain yang menduga emosi lelaki ini.

Daripada isu difitnah oleh sebuah saluran YouTube bernama Cabik Geronong sehingga yang terbaharu, menerima ancaman membabitkan dirinya dan keluarga, Syamsul Yusof  kusut memikirkan ‘tembakan’ yang datang dari segenap penjuru.

Pun begitu, soal nyawa bukan satu perkara main-main dan kerana itu Syamsul gagal menahan sabar.

“Cuba bayangkan, macam mana saya nak bertenang apabila jadi perkara macam ni? Saya tahu ramai orang di luar sana tak suka tengok saya mengamuk atau marah-marah.

“Saya sendiri pun tak suka. Tapi cuba letakkan diri saya di tempat anda. Tak kanlah perkara membabitkan ugutan macam tu saya perlu berdiam diri dan bersabar juga?

“Satu perkara saya ingatkan pada orang yang sengaja cari pasal hal begini dengan saya. Kalau saya mati tak apa, tetapi jangan sentuh isteri dan anak-anak saya,” tegasnya.

Menyorot kembali, kata Syamsul, dia menerima mesej bertalu-talu daripada seorang individu misteri yang bersembunyi di sebalik akaun palsu bernama velvelblackkl dan kesemua mesej tersebut berbaur ancaman keselamatan buat diri dan keluarganya.

Selain itu, ia juga sarat dengan kata-kata kesat dan disifatkan terlalu melampau sehingga Syamsul nekad mahu mencari individu ini sehingga ke lubang cacing.

“Laporan polis sudah pun dibuat dan apa pun yang terjadi, saya mahu individu ini ditangkap pihak berkuasa dan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Selama ini, sudah cukup saya bersabar dengan kerenah segelintir netizen yang biadab dalam media sosial.

“Kali ini, maaf. Tiada lagi Mr. Nice Guy,” katanya.

Lelaki persis gangster

Dalam pada itu, Syamsul turut berkongsi bahawa isterinya juga pernah diganggu dan cuba ditahan oleh seorang lelaki misteri dalam satu kejadian sekitar bulan lalu.

Dimaklumkan hal itu oleh Sarah, Syamsul bagaimanapun tidak mahu terburu-buru membuat laporan polis dan cuba meyakinkan isterinya bahawa ia bukan satu ancaman dahsyat.

“Tetapi Sarah memang risau semasa itu dan katakan sewaktu kejadian pulang ke rumah, terdapat sebuah kereta bercermin gelap mengekori dan cuba menghalang laluannya.

“Sempat menyelamatkan diri, Sarah maklumkan dia sempat melihat individu itu merupakan seorang lelaki bertubuh besar, memakai gelang tangan dan kelihatan seperti seorang gangster,” katanya.

Menyesal kerana tidak bertindak awal, Syamsul bagaimanapun enggan menuduh mana-mana pihak sengaja mencari masalah dengan dirinya meski meminta agar Sarah dan keluarganya lebih berhati-hati kini.

Tidak pasti apakah dia mempunyai musuh tertentu, Syamsul hairan mengapa ada agenda begini yang seolah-olah mahu menjatuhkan dirinya.

“Selama ini, tak pernah ambil peduli pun kalau ada yang tak suka saya atau tak suka karya-karya saya sebab tahu, ia lumrah dunia seni.

“Tetapi apa yang mereka ini buat memang sudah melampau. Harus diingat, negara kita ada undang-undang.

“Sama ada pemilik YouTube itu ataupun individu yang hantar mesej ugutan ini, kedua-duanya saya akan cari sampai dapat,” katanya.

Puteri Sarah isteri yang baik

SHAMSUL dan Puteri Sarah bersama anak-anak, Syaikul Islam dan Sumayyah yang menjadi penguat bagi dirinya.

 

SEAKAN masih ada yang terbuku di hati,  Syamsul ini saat diminta menjelaskan situasi sebenar yang membadai kehidupan rumah tangganya bersama Puteri Sarah pada waktu ini.

Dia berani membuka bicara. Namun dapat dirasakan, butir katanya itu bagai tidak sepenuhnya diluah dengan rela. Cuma satu yang jelas, dia ikhlas dan benar mahu memperbaiki hubungannya dengan isteri tercinta biarpun harus kuat mencuba.

“Terus-terang saya dan dia kini sedang memperbaiki hubungan dan sebagaimana yang diketahui umum, memang dia pergi ke pejabat agama pada pertengahan bulan lepas tetapi bukan kerana ingin bercerai.

“Mungkin tiada jalan terbaik yang boleh dilakukan dan kerana itu kami merujuk dengan pejabat agama dan menjalani kaunseling sebagai antara proses memperbaiki hubungan,” katanya.

Melihat kepada satu demi satu kejadian buruk menimpa, Syamsul akui dirinya tertekan meski sehabis daya mencari jalan penyelesaian dalam akal rasional.

Kata pengarah filem Munafik ini, alangkah baiknya jika dia dapat meraih ketenangan jiwa pada waktu ini tanpa perlu adanya ‘peperangan’.

“Terlalu banyak perkara saya hadapi dalam satu masa sekarang. Saya tahu, Sarah seorang isteri yang memahami dan akan menyokong saya walau apa pun yang terjadi.

“Paling penting, anak-anak. Tetapi nak selesaikan masalah satu persatu, semua itu harus dibuat dalam keadaan yang tenang dan bukannya ketika hati saya sedang marah atau sakit hati,” katanya.

Tidak menyalahkan Sarah, Syamsul melihat dirinya yang terlalu sibuk dengan kerja antara punca kemelut rumah tangganya dengan isteri berlaku.

Mengaku adakala tidak memahami kehendak diri sendiri, pelakon berusia 36 tahun ini sedar, sikap workaholic bagai menjadi racun buat dirinya.

“Dia seorang isteri yang baik. Saya yang terlalu obses dengan kerja. Entahlah, saya tak tahu apa sudah jadi dengan diri ini.

“Ia macam dah jadi penyakit dan saya bagai terlalu gila dengan kerja. Kalau kata kerja dah siap, sepatutnya berhenti dan relakslah. Kalau kata tak ada duit, alhamdulillah ada sahaja rezeki Allah SWT bagi tapi apa yang saya nak cari lagi?

“Apa yang tak cukup? Tak tahulah. Saya tak pandai buat kerja separuh jalan walau tahu setiap karya dihasilkan jauh daripada sempurna. Memang itulah saya,” katanya.

Harga yang perlu dibayar

Daripada kaca mata seorang bapa, Syamsul tidak menolak hatinya mudah luluh apabila memandang wajah naif kedua-dua anaknya, Syaikul Islam, 3, dan Sumayyah yang kini berusia setahun.

“Saya tahu, dengan apa yang saya miliki hari ini, semuanya datang dengan harga yang harus dibayar.

“Lagi besar nikmat kita dapat, besar jugalah ujian yang diberi. Tapi saya cuba bermuhasabah dan memperbaiki diri.

“Penguat saya adalah anak-anak. Saya sangat kasihankan mereka dan tak mahu anak-anak keliru,” katanya.

 

 

 

BERITA BERKAITAN