KECOMELANNYA memang mampu mencairkan hati setiap manusia yang menatapnya.
Tetapi awas! Di sebalik kecil moleknya seekor Sugar Glider (SG), haiwan marsupial daripada keluarga mamalia ini bijak berdrama tahu!
Menjadikan SG sebagai haiwan peliharaan sejak empat tahun lalu, kongsi Farah Faseeha Ahmad Latifi, 31, mode drama haiwan ini biasanya akan berlaku dalam beberapa keadaan.

Bagi pemilik yang baru dalam dunia penjagaan haiwan ini, tabiat SG yang ‘moody’ adakalanya mampu membuatkan mereka pening kepala.
“SG adalah haiwan yang pandai menzahirkan emosi. Bukan biasa-biasa, mereka ini ada kecenderungan untuk membunuh diri kalau kehendaknya tidak dituruti.
“Contohnya kalau ia cuma hidup seekor atau pun kehilangan pasangan, ia lebih rela bunuh diri daripada hidup dalam kesepian.
“Kedengaran macam lucu bukan? Tetapi inilah sifat si kecil ini,” katanya.
Selain itu, kata Faseeha, SG juga cenderung membunuh diri jika ia berasa tertekan terutama jika tidak mendapat perhatian daripada penjaganya termasuk jika ia terlalu obes.
Disebabkan itu, katanya, jika mahu memelihara haiwan ini adalah lebih baik memeliharanya secara berpasangan bagi mengelak ia berasa sunyi.
“Walaubagaimana pun, sekiranya ia hidup secara berkelompok, penjaga tidak perlu risau berdepan dengan situasi itu kerana SG akan lebih gembira dan aktif bila mempunyai ‘keluarga’.
“Macam saya, kini sudah ada enam ekor SG tetapi tetap perlu diberi perhatian yang mana, saya akan peruntukkan sekurang-kurangnya sejam sehari untuk melayan dan merawat kesemua mereka,”katanya.
Beza dua jantina

Menurut Farah Faseeha lagi, selain tempoh kematangan, karektor SG juga adalah berbeza mengikut jantinanya.
SG jantan biasanya dikatakan lebih cepat matang seawal usia empat bulan namun sukar untuk bersikap mesra di awal perkenalan.
“Tetapi apabila kepercayaan sudah dibina, ia akan menganggap penjaganya bak seorang kawan sejati dan akan menunjukkan kemesraannya.
“Berbanding betina, tempoh matang biasa di usia 10 bulan namun mereka lebih mudah manja walaupun tidak seaktif SG jantan,”katanya.
Dalam pada itu, selain comel, antara sebab Faseeha memelihara SG adalah kerana sifat semula jadi haiwan ini yang aktif di waku malam.
“Mereka ini kelompok haiwan nocturnal (aktif waktu malam) dan kebetulan saya ini seorang yang penakut akan gelap sejak kecil.
“Jadi, bila letak haiwan ini dalam bilik, kalau ada bunyi-bunyi aneh, saya akan fikir oh ia datangnya daripada mereka dan bukannya benda lain,” katanya.
Selain itu, penjagaan dan rawatan SG juga tidak terlalu mahal seperti haiwan lain dan itu adalah bonus buat mereka yang mahu memelihara haiwan ini.











