Oleh Dr. Ayman al-Akiti
Kitab Dala’il al-Khayrat banyak disebut dalam sejarah Yang Dipertuan Muda Raja Ali Haji. Di dalam kitab Tuhfah al-Nafis telah mengkisahkan baginda selalu melazimi membaca kitab ini dalam suka dan duka. Akan tetapi, banyak bani Melayu yang tidak kenal dengan kitab keramat ini. Bahkan ada yang tidak mampu menyebutnya dengan fasih Da-la-il al-Khay-rat. Oleh itu, marilah berkenalan dengan kitab ini.
Pengarang kitab ini adalah Abu Abdillah Muhammad bin Sulaiman al-Juzuli, dan dikenal di Nusantara sebagai Imam al-Jazuli. Nisbah yang benar bagi ‘al-Jazuli’ adalah al-Juzuli (dengan dibaca baris depan huruf jim-nya) kerana ia berasal dari kabilah Barbar daerah Selatan Maghribi yang bernama Juzulah.
Beliau lahir sekitar tahun 807H di daerah Sous dan berhijrah ke kota Fes yang merupakan kota ilmu ketika itu. Di sana, beliau menetap di Madrasah al-Saffarin belakang Universiti al-Qarawiyyin, universiti tertua di dunia. Di sinilah beliau menghafal kitab-kitab bermazhab Maliki. Beliau juga tidak melepaskan peluang menuntut ilmu di Universiti al-Qarawiyyin yang terletak berdekatan dengan tempat penginapan beliau.
Di Madrasah al-Saffarin inilah beliau mengasingkan diri dan mengarang kitab Dala’il al-Khayrat iaitu sebuah kitab yang mengandungi selawat-selawat pilihan mengikut hari dengan doa-doa tertentu.
Keberkatan kitab ini telah tersohor dari hujung Barat sehinggalah ke hujung Timur Nusantara sejak berabad lamanya. Pada saat ini, ia masih diamalkan oleh umat Islam di setiap belahan dunia, tidak ketinggalan bumi nusantara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand.
Bahkan kitab ini juga telah disyarah oleh banyak ulama seperti: al-Anwar al-Lami’at karangan Abd al-Rahman bin Yusuf al-Fasi (w. 1036H), Syarh Dalail al-Khayrat oleh Muhammad al-Arabi al-Fasi (w. 1052H); Mathali’ al-
Mussarat oleh Muhammad al-Mahdi al-Fasi (w. 1109H), Mathali’ al-Nayirat oleh Mula Ali Qari (w. 1014H) dan lain-lain.
Kitab ini diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris, Perancis, Jawa dan Melayu. Terjemahan Melayu telah diusahakan oleh Syed Ahmad bin Syed Muhammad al-’Aydrus (Tokku Melaka) (w. 1897H) dan diselesaikan pada tahun 1256H/1840M.
Bahkan banyak ulama mengamalkannya secara istiqamah seperti ahli hadis terkemuka Syeikh Rasyid Ahmad Gangohi (w. 1905M), Syeikh Yasin Padang (w. 1990M), Mahfuz al-Tarmasi (w. 1338H), Syeikh Muhammad al-
Arabi al-Fasi al-Fihri (w. 1052H), Syeikh Ahmad al-Maqarri (w. 1041H) dan lain-lain.
Termasuk ulama besar abad ini yang mengamalkan dan berwiridkan kitab ini adalah seperti Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki (w. 2004 M), Prof. Dr. Ali Jumaah, Sheikh Abdullah al-Talidi, Sheikh Hamza Yusuf, Sheikh Abu al-Huda al-Ya’qubi. Maka tidak diragukan lagi keberkatan berselawat bagi umat Islam!
Walau bagaimanapun, ada beberapa kelompok yang memandang serong terhadap kitab selawat ini dengan menuduhnya sebagai bidaah. Walhal Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi Segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); Wahai orang-orang Yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta Ucapkanlah salam sejahtera Dengan penghormatan Yang sepenuhnya. (al-Ahzab: 56)
Maka amat menghairankan kalau ada sangkaan buruk daripada orang yang menolak kitab selawat ini, lebih-lebih lagi banyak sekali ulama besar Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mengamalkannya serta menjadikannya sebagai wazifah (amalan tetap) setiap hari mereka.
KITAB TERSOHOR
Fakta yang tidak boleh diendahkan adalah kitab Dalail al-Khayrat yang tersohor itu bukan hanya mengandung selawat-selawat dan pujian kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Ia juga diisi dengan doa-doa penting bagi pembacanya yang boleh dilazimkan oleh umat Islam.
Contohnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku meminta perlindungan-Mu daripada kefakiran kecuali terhadap Zat-Mu, dan dari kehinaan, kecuali untuk-Mu, dan dari ketakutan, kecuali dari-Mu. Aku memohon pertolongan daripada aku terucap sesuatu yang bohong, atau aku melakukan penipuan yang hina, atau aku tertipu”. Daripada doa ini, dapat memberi isyarat kepada kita, betapa Imam al-Jazuli mengajarkan sikap rendah diri (tawaduk) dan memohon kepada Allah SWT
Imam al-Jazuli juga sempat berkawan dengan seorang ulama besar di zamannya, iaitu Sheikh Ahmad Zarruq (w. 899H) pengarang Qawaid al-Tasawwuf.
Bahkan Sheikh Ahmad Zarruq jugalah yang memperkenalkan kepada Imam al-Jazuli seorang ulama yang rabbani, Sheikh Amghar al-Shaghir. Daripada beliaulah Imam al-Jazuli memilih Tarekat Syaziliyyah sebagai suluk tasaufnya.
Beliau wafat pada waktu Subuh dalam keadaan sujud pertama rakaat kedua, Rabu tarikh 16 Rabiulawal 870H.
Beliau dikebumikan di kota Marakesh dan digelarkan sebagai salah sorang daripada tujuh wali Marakesh yang terkenal dengan nama Sab’ah al-Rijal.
Inilah salah satu tanda orang yang mendapatkan husnu al-khatimah (pengakhiran yang baik) di kalangan muslimin, dan semoga kita semua mendapatkannya insya-Allah, Amin.
PENULIS ialah Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) & Felow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)









