Sifat manusia dalam al-Quran - Utusan Malaysia

Sifat manusia dalam al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad

Manusia adalah makhluk yang terbaik ciptaanya jika beriman kepada Allah swt dan beramal soleh. Proses kejadian Adam a.s disebut dalam al-Quran dengan jelas. Begitu juga dengan kejadian manusia selepasnya. Bahkan al-Quran juga menyebut tentang kehidupan lengkap manusia dari alam janin, semasa lahir, mengurus kehidupan, meninggal dunia dan seterusnya pengakhiran manusia di alam akhirat.

Mendalami perjalanan hidup manusia ini amat penting dalam mengEsakan Allah SWT. Yang menariknya beberapa ayat al-Quran menceritakan di permulaan ayat tentang kejadian manusia akan diakhiri dengan kematian dan hari kebangkitan.

Sebagai contoh ayat 5 surah al-Haj ada menyatakan proses kejadian manusia peringkat demi peringkat sehingga mati. Di akhirnya disebut bumi yang kering kontang lalu hujan dan mulalah tumbuh-tumbuhan hidup.

Situasi ini adalah gambaran jelas manusia akan dibangkitkan pada hari akhirat. Justeru al-Quran menyebut kehidupan lengkap manusia dari mula hingga akhir.

Semasa manusia lahir ke dunia satu benda pun mereka tidak tahu. Lalu Allah anugerahkan pendengaran, penglihatan dan akal untuk mereka bersyukur kepada Allah SWT.

Tiga anugerah tersebut adalah aset utama manusia menguruskan kehidupan sama ada taat kepada Allah atau sebaliknya. Ketiga-tiga perkara tersebut bukan pemberian biasa atau pemberian ‘percuma’ tetapi akan ditanya di hari akhirat bagaimanakah ia digunakan.

Salah guna pemberian Allah yang tidak ternilai itu dengan kufur kepada Allah atau syirik adalah punca kepada balasan yang amat menakutkan. Cuba bayangkan diumpamakan orang yang tidak menggunakan akal secara betul atau mengikut syarak, pandangan tidak dihalakan kepada perkara yang benar, pendengaran tidak mendengar ayat-ayat Allah mereka itu seumpama binatang ternakan bahkan lebih sesat dan mereka adalah penghuni neraka.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka jahanam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (al-A’raf: 179)

SIFAT MANUSIA

Allah SWT menyebut sifat manusia dalam al-Quran dengan dua sifat iaitu sifat baik dan sifat tercela. Sifat baik yang disebut dalam Quran ialah ilmu. Allah SWT mengajar manusia ilmu yang mereka tidak tahu (al-‘Alaq: 5).

Selain itu manusia ditugaskan menjadi khalifah di bumi ini menerajui seluruh makhluk. Ia adalah kemuliaan bagi manusia. Dan ingatlah ketika Tuhan kamu berkata kepada malaikat sesungguhnya aku mahu jadikan khalifah di bumi. (al-Baqarah: 30)

Sifat tercela manusia yang dinyatakan dalam al-Quran ialah tergopoh-gapah apabila terkena musibah dan bakhil kedekut apabila menerima nikmat (M’arij: 19-21) serta berputus asa ketika mengalami musibah. Apabila dapat nikmat mereka gembira dan apabila musibah melanda mereka berputus asa daripada rahmat Allah SWT.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa. (al-Rum: 36).

Manusia juga bersikap lemah. Dan telah diciptakan manusia dalam keadaan lemah (al-Nisa’: 28). Suka berbantah dalam perkara kebenaran. Manusialah yang paling banyak berbantah-bantahan (al-Kahf: 54). Selain itu disebut juga dengan sifat hasad, tidak reda, sifat pelupa, zalim dan jahil.

Hikmah menyebut sifat manusia dalam AL-Quran.

Semua sifat manusia yang tercela yang disebut dalam al-Quran ada ubat dan cara mengatasinya. Hikmah Allah SWT menyebutnya dalam al-Quran adalah untuk manusia menjauhi sifat tersebut. Jangan sekali-kali patuh dan tunduk dengan sifat yang tercela atau melakukannya kerana jika dilakukan ia akan menjadi tabiat yang sukar ditinggalkan.

Jalan terbaik adalah berazam bersungguh-sungguh meninggalkannya. Solat adalah tiang agama dan fungsinya juga menjauhi perkara mungkar dan terkeji. Bergembiralah mereka yang tidak melakukan sifat yang tercela dan setiap harinya dipenuhi dengan melakukan sifat terpuji.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, USIM.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya