
“Seni halus ini sifatnya berevolusi. Pada peringkat awal, kami merakamkan fizikal satu-satu benda.
“Kemudian, rakaman itu mencapai makam lebih tinggi, yang mana kami mula merakam ‘rasa’ pula. Hakikatnya, rakaman ‘rasa’ itulah yang dianggap sebagai abstract expressionism.”
Demikian penerangan penggiat seni abstrak tanah air tersohor, Azian Hashim, 47, kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Tertanya-tanya, apakah falsafah di sebalik penerangan penuh madah itu?
Jangan risau, ia bukanlah terlalu deep sehingga sukar dihadam.

SENI ABSTRAK SENJATA KUMPULAN KIRI?
Ensiklopedia Britannica mentakrifkan ekspresi abstrak (abstract expressionism) sebagai satu pergerakan lukisan di Amerika Syarikat sekitar 1950-an. Kata ensiklopedia itu: “Ia menekankan ekspresi emosi bersifat bebas, spontan, dan peribadi.
“Seni ini lazimnya mengeksploitasi karakter fizikal sesuatu benda, atas alasan ingin mengetengahkan kualiti ekspresifnya,” menurut ensiklopedia itu.
Pada masa sama, seorang penyelidik, Jane Kallir menulis dalam majalah Culture Matters, mengulas lanjut falsafah seni ini.
Dakwanya, pergerakan seni bertunjangkan kebebasan ekspresi ini, disyaki bertitik tolak daripada pergerakan komunisme sekitar 1930-an yang bertujuan merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap kumpulan bangsawan.
Dalam rencananya bertajuk A weapon In The Class Struggle: American Artists and The Communist Party Kallir berkata, susulan sifat bangsawan (aristokrat) yang suka kepada seni bersifat realis yang cantik, pegun serta mempunyai format tetap, maka pihak komunis waktu itu melancarkan pergerakan ‘anti-art’, merujuk kepada seni abstrak bagi menentang pergerakan seni kumpulan bangsawan.
Kemudian, kolumnis BBC Alastair Sooke melanjutkan kajian ke atas cabang seni abstrak ini. Dapatannya didokumen dalam rencana berjudul Was Modern Art a Weapon of the CIA?
Dalam rencana itu, beliau berhujah bahawa seni moden ini termasuk abstract expressionism turut dijadikan senjata propaganda pihak tertentu, bertujuan mempengaruhi budaya politik Amerika Syarikat pasca Perang Dingin.
Jadi, apa kaitan bertembungan dua cabang seni ini, abstrak menentang realistik dengan sosok minggu ini?
RUMAH SENI KALANAKO
Dalam konteks tanah air, Azian yang juga pensyarah sambilan mengabaikan berdebatan antara dua cabang seni ini.
Sebaliknya, pengiat seni abstrak tersohor di Kelantan ini, menggunakannya untuk membangunkan industri kesenian tanah air, khususnya di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
“Semuanya bermula dengan Rumah Seni Kalanako. Ia akronim untuk Kampung Pengkalan Nangka, Kota Bharu, Kelantan.
“Pada 1998, saya berhasrat mengangkat industri seni ke tahap selayaknya. Ini kerana, waktu itu bidang ini masih dilihat taboo.
“Ini kerana masyarakat sering pandang serong. Mereka sering berkata kepada si anak yang menceburi bidang ini, bolehkah seni membayar gaji? Saya kira, itu satu kepercayaan taboo yang harus dipecahkan,” katanya ketika ditemui di Kajang.
SENI HALUS, ABSTRAK PERGERAKAN BERILMU
Dia menjelaskan, dalam konteks tanah air, seni halus serta abstrak adalah pergerakan didukung para ilmuwan.
“Maksud di sini, ia dipelopori oleh ilmu. Ia sarat dengan kajian, rujukan ilmiah, maka timbullah ilham bahawa setiap perlakuan (dalam menghasilkan karya) pastilah bersebab,” katanya penuh berfalsafah.
Berpegang kepada prinsip dan falsafah itu, beliau menubuhkan Rumah Seni Kalanako, yang bertujuan sebagai pusat ilmu penggiat seni di Kelantan.
“Kami tidak bezakan apakah cabang seni seseorang penggiat itu. Yang penting, Rumah Seni Kalanako ini jadi pusat pertemuan, perbicangan dan percambahan ilmu dalam bidang ini.
“Selain itu, ini juga jadi pusat utama menyebarkan kefahaman terhadap bidang seni, dan ramai ahli kami kini berjaya dalam bidang seni masing-masing,” katanya.
Azian memberi contoh, ada antara penggiat yang bernaung di bawah Rumah Seni Kalanako, kini menjadi Pengarah Seni di beberapa syarikat multi nasional malah ramai juga menjadi pensyarah serta melebarkan sayap sehingga ke luar negara. – MINGGUAN MALAYSIA











