Risau tarian canggung hilang - Utusan Malaysia

Risau tarian canggung hilang

Pak Wan menunjukkan teknik tarian canggung di rumahnya di Taman Sri Intan, Repoh, Kangar, Perlis baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tarian canggung antara kebudayaan yang cukup terkenal di Perlis.

Tarian yang diperkenal ketika zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu sekitar awal 1940-an, mula dipersembahkan oleh dua beradik, Che Lian dan Che Intan sebelum berkembang ke seluruh Perlis.

Wan Che Mat Wan Mat,78, atau Pak Wan antara individu bertanggungjawab memperkenalkan tarian itu ke seluruh negara termasuk ke peringkat antarabangsa selama kira-kira 30 tahun, bermula 1968 sebelum bersara tiga dekad kemudian.

Pak Wan juga antara pereka tarian canggung pada zaman kegemilangannya, banyak membuat persembahan selain mengajar penari-penari pelapis di sekolah-sekolah dan jabatan-jabatan kerajaan

“Ketika bersama persatuan-persatuan belia dahulu, saya pernah membuat persembahan hampir di seluruh negara.

“Malah, kami juga membawa tarian canggung ke negara luar seperti Indonesia dan Thailand.

“Daripada situ, orang luar mula mengenali tarian Canggung,” katanya ketika ditemui di Taman Sri Intan, Repoh baru-baru ini.

Selain mengajar tarian canggung, bekas kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Perlis itu juga mengajar tarian lain seperti tarian inang, zapin, joget dan asli.

“Saya tidak pasti mengenai masa depan tarian berkenaan, namun tarian canggung pada masa ini sudah banyak dimodenkan, saya risau keasliannya akan hilang,” katanya.

Pak Wan yang juga aktif berlakon berkata, ramai guru tarian itu sudah meninggal dunia dan hanya beberapa orang sahaja masih hidup untuk mengembangkan seni warisan itu.

Antara drama yang dilakonkannya ialah Keris Hitam Bersepuh Emas dengan watak tok penghulu.

Sepanjang usahanya mengembangkan tarian itu, Pak Wan akui tidak pernah menerima sebarang pengiktirafan daripada mana-mana pihak.

“Menjadi kelaziman apabila kita masih hidup ini kurang dihargai, apabila tutup mata nanti sebarang pengiktirafan sudah tidak berguna lagi,” katanya yang kini banyak berehat rumah.

Meluah kebimbangannya, Pak Wan berkata, kesenian tersebut dilihat semakin jarang dipersembahkan khususnya dalam program-program yang diadakan di Perlis.

Kata Pak Wan, dia bimbang jika tarian canggung itu tidak dikembangkan atau dipertahankan, maka akan hilang lagi budaya di negeri Perlis ditelan arus moden.

Katanya, anak-anak muda pada masa ini kebanyakan sudah tidak mengenali tarian canggung yang cukup popular dahulu dan menjadi kebanggaan rakyat negeri ini.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab memainkan peranan memperkenalkan tarian ini kepada golongan muda agar kesenian ini tidak pupus kelak.

“Malah, di setiap program yang diadakan di negeri ini atau seluruh negara diselitkan persembahan tersebut. Biar generasi kini tahu mengenai kewujudan tarian canggung ini,” katanya.

Dalam masa sama, dia juga berharap tarian tersebut diperluaskan di sekolah-sekolah seperti dahulu.

INFO
» Tarian canggung merupakan tarian identiti Perlis.
» Mula diperkenalkan ketika zaman pendudukan Jepun sekitar tahun 1941.
» Mula dipersembahkan oleh dua orang penari adik-beradik, Che Lian dan Che Intan, dalam satu pesta hiburan bagi tentera Jepun dan orang ramai yang diadakan di bandar Kangar.
» Sejak itu, tarian canggung berkembang ke seluruh Perlis.
» Asal usul tarian canggung adalah menerusi tarian rambong atau makyung laut yang telah ditokok tambah oleh masyarakat Perlis sehinggalah dikenali sebagai tarian canggung.
» Tarian canggung dipersembahkan ketika musim menuai, di majlis-majlis perkahwinan dan keramaian.
» Pantun yang dinyanyikan oleh penari canggung lebih berbentuk mengusik dan berjenaka. Kebiasaannya, pantun yang dihasilkan adalah berkisarkan pertanian khususnya melibatkan kerja-kerja penanaman sawah padi.
» Tarian ini melibatkan dua hingga lapan orang masing-masing berpasangan akan menyanyi secara berbalas pantun mengikut rentak dan irama lagu sambil menari canggung.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya