Protes anti-migran di Ireland Utara bertukar ganas

Protes anti-migran di Ireland Utara bertukar ganas

SEBUAH bangunan dibakar di kawasan Sandy Row di pusat bandar Belfast, Ireland Utara, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELFAST: Protes terhadap migrain bertukar ganas di Ireland Utara selepas aktivis berhaluan kanan dan individu ternama menyeru orang ramai mengadakan demonstrasi susulan kes serangan pisau melibatkan pendatang Sudan yang tular di media sosial.

Kumpulan penunjuk perasaan, termasuk lelaki bertopeng, membakar kenderaan dan rumah serta menyekat jalan raya di sekitar Belfast beberapa jam selepas jutawan Elon Musk, Tommy Robinson dan individu terkenal lain didakwa menghasut orang ramai untuk berhimpun.

Penunjuk perasaan turut merampas dan membakar sebuah bas Glider di Newtownards Road di timur Belfast, selain membakar beberapa kereta berhampiran Shankill Road dan di Newtownabbey. 

Asap tebal kelihatan memenuhi kawasan berkenaan ketika siren kecemasan berbunyi dan sebuah helikopter polis berlegar di udara.

Ketegangan tercetus beberapa jam selepas polis mendakwa seorang pemohon suaka berusia 30 tahun dari Sudan atas tuduhan cubaan membunuh berkaitan satu serangan di utara Belfast pada malam Isnin, yang menyebabkan lelaki cedera parah serta mencetuskan kecaman meluas.

Suspek dihadap ke Mahkamah Majistret Belfast semalam.

“Beberapa insiden kekacauan berlaku di beberapa lokasi di seluruh Ireland Utara, termasuk kejadian beberapa kenderaan dibakar.

“Kami menggesa semua pihak supaya kekal tenang, bertindak secara bertanggungjawab dan mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh membahayakan diri sendiri atau orang lain,” kata Penolong Ketua Konstabel, Ryan Henderson.

Beliau turut menggesa ‘pihak berpengaruh’ dalam komuniti setempat supaya menggalakkan protes secara aman serta mengekang sebarang tindakan keganasan atau kekacauan.

Ahli politik di Ireland Utara dan seluruh United Kingdom (UK) turut menggesa orang ramai supaya bertenang.

Menteri Pertama Ireland Utara, Michelle O’Neill, mengutuk keganasan tersebut dan memberi amaran mengenai cubaan berbahaya untuk mengeksploitasi serangan itu.

“Kumpulan lelaki bertopeng yang membakar rumah sehingga memaksa ribuan keluarga melarikan diri dari kediaman mereka adalah tindakan yang amat pengecut yang menjijikkan. Ini tiada kaitan dengan semangat komuniti. Ia adalah perbuataan samseng semata-mata,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Bantahan berskala kecil turut berlaku di Antrim, Bangor dan Ballymena, manakala dua buah kereta dibakar di Newtownabbey.

Di London, kira-kira 60 penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Parlimen dengan mendakwa polis sebagai ‘pengkhianat’ dan cuba memprovokasi anggota polis secara individu. Sebahagian mereka melaungkan slogan anti-imigran serta menyebut mengenai pembunuhan Henry Nowak dan serangan tikaman di Belfast.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN