Raksa dalam kosmetik tingkat risiko sakit saraf - Utusan Malaysia

Raksa dalam kosmetik tingkat risiko sakit saraf

Pembuangan epidermis menyebabkan dedahan lapisan dermis. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Dr. Mohd. Hasni  Ja’afar

Kulit, organ terbesar tubuh yang paling terdedah kepada pelbagai bahan cemar dalam keadaan sedar mahupun tidak sedar.

Penyerapan bahan kimia melalui sistem kulit bergantung kepada beberapa aspek seperti faktor lifofilik dan kepadatan salur kapilari darah pada permukaan kulit (seperti terdapat pada kawasan seperti bibir, kelopak mata dan kulit wajah).

Penipisan atau pembu­angan lapisan kulit luar epidermis dengan menggunakan pelarut berasid boleh menyebabkan lapisan keratin diasingkan terlalu awal menyebabkan dedahan lapisan kulit dalam dermis yang banyak mengandungi kapilari darah boleh berlaku malah penyerapan terus bahan kimia tersebut berpotensi untuk terjadi.

Mengikut laporan di Asia Tenggara Beauty Expo, jumlah jualan produk kecantikan meningkat melibatkan remaja dalam lingkungan umur 18 hingga 27 tahun dan wanita berusia dalam lingkungan antara 40 hingga 60 tahun merupakan pelanggan utama untuk produk kecantikan ini.

Hampir setiap tahun media melaporkan rampasan produk kecantikan oleh pihak berkuasa terutamanya Kementeriaan Kesihatan  dan banyak produk kecantikan telah dibatalkan pendaftarannya dengan kementerian kerana isu campur palsu.

Pada tahun 2019, sebanyak 37 produk dihentikan pendaf­ta­rannya oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara kementerian berkenaan manakala pada tahun 2018 pula, hasil daripada pemerik­saan produk kecan­tikan, sebanyak 27 atau 1.3 peratus daripada 2,023 produk telah diambil tindakan.

Walaupun peratusan yang tidak menepati piawai dibenarkan adalah rendah, tetapi tindakan perlu dikenakan kerana berlakunya risiko kesihatan jangka panjang pada pengguna akibat terdedah kepada racun berjadual seperti logam berat (raksa), pelarut (hidrokuinon, tretinoin), dan antibiotik (kloramfenikol).

RAKSA

Raksa adalah logam berat yang terkenal dengan sejarahnya di Jepun yang menyebabkan penyakit Minamata pada tahun 1956. Ia diperlukan untuk merencatkan sel melanin yang memberikan warna kegelapan pada kulit manusia.

Dengan jumlah kepadatan sel melanin yang rendah, kulit akan nampak lebih cerah, namun sebenarnya bahaya kerana mudah terdedah kepada sinaran ultra ungu matahari yang boleh menyebabkan kanser kulit.

Raksa yang mengalir dalam darah akhirnya akan terkumpul dalam organ seperti buah pinggang, saraf otak, hati, tulang dan sebagainya.

Menurut Agensi Perlindungan Persekitaran Amerika Syarikat, saraf otak menerima hampir 10 peratus dari serapan yang berlaku. Mekanisma kerosakan saraf otak akibat bahan kimia raksa dipercayai dikaitkan dengan penghasilan reactive oxygen species (ROS) yang beracun menyebabkan kemerosotan saraf.

Kesan raksa pada kumpulan sulfildril dalam tubulin saraf akan merencat pertumbuhan mikrotubul yang penting dalam perkembangan sistem saraf tunjang manusia.

Banyak kajian luar negara menunjukkan dedahan kronik yang tinggi mencetuskan perubahan pada sistem saraf tunjang manusia dan berpotensi menyebabkan keresahan, keletihan, perubahan tingkah laku, tangan ketar, sakit

kepala, masalah pendengaran dan kognitif, susah bercakap, hilang kordinasi tubuh, dan kemurungan.

Kajian Mount Sinai (2005) oleh Leonardo Trasande mendapati, responden kanak-kanak dengan paras raksa darah umbilikal yang tinggi mengalami kehilangan Intelligent Quotient (IQ) sehingga 24 mata.

 

Penulis ialah Pakar Kesihatan Persekitaran dan Toksikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya