Petua mencari maahad tahfiz terbaik - Utusan Malaysia

Petua mencari maahad tahfiz terbaik

PELAJAR tahfiz perlu sentiasa mengulang bacaan untuk mengelak daripada terlupa. – Gambar Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

oleh Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad

Saya selalu ditanya tentang maahad tahfiz terbaik? Soalan sebegini perlu kepada huraian untuk difahami betul-betul supaya pilihan yang dibuat adalah betul dan hasilnya pelajar dapat ingat dan jaga Quran.

Kejayaan sesuatu maahad tahfiz bergantung kepada tiga perkara utama.

Pertama, murid yang mampu menghafaz al-Quran dengan baik. Ada bakat dan kemahuan menghafaz yang boleh diasuh.

Kedua, guru yang mendidik mempunyai ilmu pedagogi tahfiz yang cukup dan ketiga ialah metod yang digunakan adalah baik dan mudah diikuti.

Jika ketiga-tiga perkara ini ada dalam sesebuah maahad tahfiz maka hasilnya pelajar di maahad tahfiz tersebut akan beroleh kejayaan.

Guru tahfiz mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan pelajarnya menghafal dengan baik dan menjaga hafazan.

Dalam mencapai matlamat tersebut guru hendaklah selalu menambah ilmu cara mendidik pelajar tahfiz. Lebih-lebih lagi pada zaman teknologi tanpa sempadan.

Ini bermakna guru tahfiz bukan sekadar mendengar hafazan pelajar sahaja tetapi lebih daripada itu lagi.

Mereka mampu memberi motivasi kepada pelajarnya untuk terus menghafal.

Permasalahan utama yang berlaku kepada penghafaz al-Quran ialah lupa apa yang dihafal atau tidak mampu membaca hafazan yang lama.

Umpamanya jika di tahun kedua pengajian, juzuk yang dihafal adalah juzuk enam hingga juzuk 12. Tumpuan diberi kepada hafalan tanpa mengulang hafalan yang lepas.

Di sinilah sebenarnya peranan guru yang perlu memberi nasihat, menerangkan jadual hafalan dan ulangan untuk pelajar menjaga semua hafalan.

Gabungan pendidikan tahfiz dengan akademik adalah satu usaha yang berani. Jika dijalankan dengan baik akan menampakkan hasil yang memberangsangkan di masa hadapan.

Namun realitinya pelajar menghadapi banyak cabaran terutamanya faktor masa.

Setiap subjek memerlukan masa yang banyak untuk pelajar menguasai dan memahaminya. Begitu juga dengan al-Quran yang memerlukan masa tiga hingga lima jam sehari.

Dalam perkara ini guru tahfiz memainkan peranan untuk mengawasi pelajar dalam memanfaatkan masa yang diperuntukkan.

Pada awal pengajian, pelajar perlu mencari pengalaman untuk menyesuaikan rentak hafalan.

Selepas beberapa juzuk, pelajar mula mendapat rentak cara hafal al-Quran.

Ketika itu setiap halaman boleh dihafal dalam jangka masa yang singkat, boleh jadi sekitar 15 hingga 30 minit.

Di saat ini pelajar mula seronok menghafal tetapi ramai yang leka untuk menjaga hafazan lama.

Menghafal tanpa mengulang ibarat menebas hutan kemudian dibiarkan tanpa pengawasan menyebabkan pokok yang baru tumbuh lebih banyak daripada yang pertama.

Ini boleh diatasi jika pembahagian waktu menghafal dan mengulang dilakukan sejak awal tahun dengan pantauan guru.

Peranan guru tahfiz amat besar dalam memastikan kelangsungan hafazan dan memastikan komitmen pelajar terhadap al-Quran terus kekal.

Ia bukan hanya dalam kelas atau sekadar tasmik tetapi amat baik jika hubungan dengan pelajar ini terus berlaku walaupun di luar kelas atau sudah tamat pengajian bagi memberi tips untuk pelajar terus menjaga hafalan.

Ilmu tidak pernah terhenti lebih-lebih lagi pada zaman teknologi dan juga zaman ancaman penyakit seperti Covid-19 ketika ini.

Justeru, amat baik jika guru tahfiz menambah ilmu, bertukar pendapat dan pengalaman dalam dunia hafazan bagi melahirkan hafiz berkualiti.

Justeru ibu bapa perlu membuat kajian terhadap institusi tahfiz sebelum menghantar anak ke pusat tahfiz.

Nasihat Sheikh Muhammad Ibn Abu al-Hasan kepada penghafal al-Quran:
» Jika kamu mahu hafal lima ayat setiap hari.
» Maka setiap bulan kamu sudah menghafal 150 ayat.
» Kamu perlu ulang hafalan tanpa jemu dan tulis sebahagian makna.
» Selalulah ulang hafalan bersama kawan pada waktu perjumpaan dan saling menasihati.
» Bacalah melalui telefon bimbit walaupun satu ayat lebih baik daripada melihat perkara sia-sia.
» Jadikan hafalan kamu sebagai wirid di waktu qiam kerana waktu malam terdapat banyak kelebihan yang Allah kurniakan.
» Bacalah juga dalam setiap solat, baca dan bersyukur kepada Tuhan mu yang mempunyai kuasa yang amat luas.
» Lihatlah kepada ayat al-Quran, sesungguhnya ia boleh memahat di fikiran.
» Jagalah hati kamu sedaya mungkin daripada hawa nafsu supaya hati bercahaya dengan al-Quran.
» Jagalah ayat mutasyabihat yang mempunyai keserupaan pada lafaz kerana ia menolong untuk ingat dengan lebih baik.

Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad, Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, USIM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya