Hairul Nizam Mat Husain
(Siri 2)
Perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan sebahagian isteri baginda selepas itu adalah disebabkan faktor politik bagi mengelakkan permusuhan, menautkan hati musuh kepada keindahan Islam dan dapat menyebabkan pembebasan tawanan perang.
Perkahwinan baginda dengan Saidatina Juwayriyah binti al-Harith yang bapanya adalah penghulu suku al-Mustoliq yang merupakan salah satu suku daripada kekeluargaan Khuza’ah adalah didasari faktor politik.
Selepas perang antara umat Islam dan suku al-Mustoliq tamat dengan kemenangan diraih oleh umat Islam, Saidatina Juwayriyah ketika itu termasuk salah seorang tawanan perang. Lalu beliau telah dikahwini oleh Rasulullah SAW pada tahun 6 Hijrah.
Semestinya perkahwinan ini membuka hati orang suku al-Mustoliq untuk mengenali keindahan peribadi Nabi SAW yang sama sekali tidak menghina puteri ketua suku mereka sebaliknya baginda telah menjulang tinggi status wanita tersebut sehingga dipanggil sebagai Ummul Mukminin iaitu ibu bagi seluruh orang mukmin.
Perkahwinan Nabi SAW dengan Saidatina Ummu Habibah atau nama asalnya Romlah iaitu puteri Saidina Abu Sufyah telah melembutkan permusuhan beliau yang ketika itu masih belum memeluk Islam terhadap Nabi SAW dan agama Islam. Ini akhirnya membawa kepada pengislaman Saidina Abu Sufyan.
Saidatina Sofiyyah binti Huyayy bin Akhtob yang berbangsa Yahudi pada asalnya adalah salah seorang tawanan perang selepas perang antara umat Islam dan Yahudi di Khaibar dimenangi oleh umat Islam. Nabi SAW telah membebaskan Saidatina Sofiyyah lalu baginda mengahwininya pada 7 Hijrah.
Adapun isteri baginda iaitu Saidatina Maymunah binti al-Harith dikahwini oleh Nabi SAW pada tahun 7 Hijrah.
Bekas Rektor Universiti al-Azhar, al-Sheikh Prof. Dr. Umar Hasyim berkata, antara hikmah poligami Nabi SAW adalah agar isteri baginda dapat menyampaikan hukum-hakam terutama berkaitan hal ehwal kewanitaan.
Dengan ini, hal itu dapat disampaikan kepada golongan wanita dengan mudah, selesa dan tanpa rasa malu.
Ini kerana perbezaan jantina antara guru dan murid boleh menyebabkan hukum-hakam yang berkaitan dengan hal-hal kewanitaan disampaikan secara kekok dan tidak selesa.
Daripada sudut yang lain, Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir turut menjelaskan Bible yang menjadi pegangan masyarakat Kristian jelas menyatakan bahawa para rasul sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW juga berpoligami. Ini menunjukkan poligami bukanlah satu perkara yang baharu. Bilangan para isteri bagi sebahagian para Rasul terdahulu menurut Bible adalah seperti berikut:
1) Nabi Ibrahim memiliki tiga isteri iaitu Saroh, Hajar dan Qaturoh. Baginda juga memiliki seorang hamba perempuan.
2) Nabi Ya’qub memiliki dua isteri dan dua hamba perempuan dalam satu masa.
3) Nabi Daud memiliki sembilan isteri.
4) Nabi Sulaiman mempunyai 700 isteri dan 300 hamba perempuan.
Faktor Nafsu?
Menurut Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir, poligami Rasulullah SAW hanya bermula setelah baginda berusia 53 tahun. Maka secara logiknya, adakah seorang lelaki hanya mula bersyahwat dengan wanita pada usia begini? Adakah ada lelaki yang berkahwin dengan janda yang kematian suami dan ibu-ibu yang memiliki anak-anak yatim atas faktor nafsu?!
Menurut almarhum Prof. Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Butiyy, kalaulah Nabi Muhammad SAW berkahwin atas faktor nafsu, sepatutnya baginda mula berpoligami semasa hayat Saidatina Khadijah. Bahkan sepatutnya baginda tidak mengahwini mana-mana wanita yang lebih berusia daripada baginda.
Menurut beliau: “Namun (Nabi) Muhammad SAW telah melepasi fasa zaman ini tanpa baginda berfikir memadukan Khadijah. Kalaulah baginda ingin, pasti baginda akan mendapat calon isteri dan hamba perempuan yang banyak dalam keadaan berpoligami tidak menyalahi norma masyarakat ketika itu.
“Namun baginda mengahwini Saidatina Khadijah sedangkan beliau adalah janda dan umur beliau hampir sekali ganda umur baginda”.
Isu Perkahwinan Nabi SAW dengan Aisyah.
Umum mengetahui bahawa Nabi SAW mengahwini Saidatina Aisyah ketika beliau berusia enam tahun dan baginda mula hidup bersama Saidatina Aisyah di bawah satu bumbung ketika beliau berusia sembilan tahun. Isu perkahwinan muda ini menyebabkan ada pihak berpendapat perkahwinan ini adalah satu gejala pedofilia.
Dr. Umar Hasyim ketika mengulas isu ini menegaskan, perkahwinan ini secara asasnya adalah perintah Allah SWT ke atas rasul-Nya. Apabila ia arahan Allah, pasti Nabi SAW akan menjunjung tinggi titah tersebut.
Selain itu Dr. Umar Hasyim menjelaskan, antara hikmah perkahwinan ini adalah supaya Saidatina Aisyah yang memiliki kepintaran dan kecerdasan akal yang luar biasa dapat mempelajari langsung daripada Rasulullah SAW selok-belok agama Islam khususnya hukum-hakam berkaitan hal ehwal kewanitaan dan kekeluargaan.
Ini akhirnya terbukti selepas kewafatan baginda SAW apabila Saidatina Aisyah menjadi antara pakar rujuk utama hal-hal berkaitan hukum-hakam dalam bidang periwayatan hadis.
Bekas Mufti Mesir, Sheikh Prof. Dr. Ali Jum’ah pula mempunyai pandangan yang berbeza. Menurut beliau, Rasulullah SAW sebenarnya berkahwin dengan Saidatina Aisyah tanpa hubungan intim sewaktu beliau berusia 15 tahun dan hidup bersama sebagai suami isteri semasa beliau berusia 18 tahun dan bukannya sembilan tahun.
Ini berdasarkan kajian perbandingan antara umur Saidatina Aisyah dan umur kakak beliau iaitu Saidatina Asma binti Abu Bakr al-Siddiq.
Menurut Dr. Ali Jum’ah lagi, ucapan Saidatina Aisyah yang berbunyi: “Saya telah dikahwini oleh Rasulullah SAW ketika saya berusia enam tahun dan baginda telah bersama dengan saya sewaktu saya berusia sembilan tahun” sebenarnya merujuk kepada umur setelah beliau baligh dan bukannya umur setelah beliau lahir.
Ini bermaksud umur Saidatina Aisyah semasa berkahwin dengan Nabi SAW adalah 15 tahun (enam tahun setelah baligh + sembilan tahun sebelum baligh) manakala beliau mula hidup sebagai suami isteri bersama baginda ketika berusia 18 tahun (sembilan tahun setelah baligh + sembilan tahun sebelum baligh).
Hairul Nizam Mat Husain ialah Syeikh Ruwaq Jawi, Pusat Pengajian Ruwaq Jawi Kaherah.










