Masjid seni bina Cina gamit pelancong - Utusan Malaysia

Masjid seni bina Cina gamit pelancong

Keunikan seni bina menjadi tarikan pelancong mengunjungi Masjid Cina Negeri Melaka di Paya Rumput. – Utusan/Rasul Azli Samad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PINTU gerbang serta struktur bangunannya bertiang merah dan berbumbung hijau, sementara seni bina dan ukiran pula umpama berada di perkarangan sebuah istana lama yang menempatkan kediaman Maharaja China.

Malah, jika tidak perasan ada juga yang mungkin beranggapan ia sebagai tokong kerana sulur bayung atau ukiran pada cucur atapnya berbentuk lentikan seperti rumah ibadat masyarakat Buddha itu.

Namun, itulah keistimewaan Masjid Cina Negeri Melaka (Al-Muttaqin) yang menonjolkan seni bina dan ukiran seperti di negara tembok besar tersebut seperti diimpikan Persatuan Tionghua Muslim Melaka dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).

Malah, lebih unik masjid yang mampu memuatkan kapasiti sehingga 2,000 jemaah pada satu-satu masa itu memiliki ‘tiga kembarnya’ iaitu masjid-masjid di Beijing, Shanghai dan Xian di China.

Terletak berdekatan Stadium Hang Jebat di sini, masjid yang dibina pada tahun 2012 sebelum siap sepenuhnya dua tahun kemudian menelan kos sebanyak RM7.5 juta dan dibangunkan di atas tanah seluas 0.4 hektar.

Imam Satu Masjid Cina Negeri Melaka (Al-Muttaqin), Murad Ahmat berkata, ketika awal-awal pembukaan masjid itu, pihaknya menerima pelbagai maklum balas daripada pengunjung tempatan dan luar negara yang mulanya menyangka ia adalah rumah ibadat bukan Islam.

“Sebaik mendekati struktur bangunan masjid unik ini, pelancong tertanya-tanya dan hairan mengenai reka bentuknya seperti yang ada di China, namun selepas penerangan diberikan ia diterima baik semua orang.

“Tujuan utama seni bina ini ialah untuk menjelaskan kepada masyarakat berbilang kaum negara ini bahawa Islam tidak pernah menghalang budaya mana-mana kaum selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.

RUANG solat di Masjid Cina Negeri Melaka, Paya Rumput. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD

Menurut Murad, terdapat kejadian yang disifatkan beliau lucu apabila terdapat seorang lelaki berbangsa Cina yang memasuki perkarangan masjid untuk membakar wang kertas sembahyang mereka kerana menyangka ia tokong.

“Seorang pengawal keselamatan menyedari perkara itu dan dia menegur lelaki tersebut sebelum lelaki itu memohon maaf kerana tidak tahu dia berada di masjid,” ujarnya.

Tambah beliau, selain penerangan diberikan kepada orang ramai, dua menara yang dibina di hadapan masjid tersebut juga bertujuan membezakan struktur masjid tersebut dengan rumah ibadat lain.

Malah, uniknya pada setiap menara tersebut terdapat lima lapisan bumbung yang dibina dan membawa simbol tersendiri.

“Pada menara pertama, lima lapisan bumbung itu sebagai simbolik kepada lima Rukun Islam yang wajib menjadi kepercayaan orang Islam.

“Pada menara kedua pula, binaan lapisan bumbung tersebut melambangkan solat lima waktu yang menjadi pegangan wajib kita sebagai orang Islam.

“Malah, lentikan ukiran pada sulur bayung itu juga sebenarnya jika kita amati ia seolah-olah jari telunjuk ketika mengangkat tahiyat semasa solat,” katanya.

Selain ruang solat utama, Masjid Cina Al-Muttaqin turut dilengkapi bilik tetamu kenamaan, pejabat pentadbiran, bilik mesyuarat, selain kemudahan seperti tandas dan tempat wuduk yang selesa kepada jemaah serta parkir yang luas.

Malah, masjid tersebut yang berada di atas bukit tidak menggunakan pendingin hawa dan hanya dilengkapi dua kipas gergasi serta beberapa kipas dinding.

“Bagi menjamin keselesaan jemaah dan kesucian masjid juga, kami meminta pengunjung yang berpakaian kurang sopan supaya memakai jubah yang disediakan sebagai tanda hormat sepanjang berada di sini.

“Selain itu, Masjid Cina Negeri Melaka ini turut menjadi pilihan sebagai tempat saudara baharu untuk melafazkan kalimah syahadah yang biasanya kelas bimbingan kepada mereka diadakan pada hujung minggu,” ujarnya.

Diiktiraf tandas terbersih peringkat ASEAN

Antara kemudahan Pustaka Mini yang disediakan di Masjid Cina Negeri Melaka, Paya Rumput.

MASJID Cina Negeri Melaka (Al-Muttaqin) bukan sahaja sebagai tempat ibadat yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Malah, kebersihan tandasnya telah melayakkan masjid tersebut diiktiraf antara rumah ibadat yang terbaik bagi tahun 2019 hingga 2021 untuk peringkat ASEAN.

Imam Satu Masjid Cina Negeri Melaka (Al-Muttaqin), Murad Ahmat berkata, pengiktirafan itu penting kerana kebersihan merupakan asas utama pada sesebuah rumah ibadat terutamanya masjid.

“Jika kita lihat tandas sentiasa kemas dan bersih, sudah tentu kawasan persekitaran masjid juga bersih terutamanya ruang solat jadi pengiktirafan ini menaikkan semangat warga masjid untuk terus menjaga kebersihan,” katanya.

Sementara itu, masjid tersebut turut menyediakan pelbagai kemudahan lain untuk menarik kehadiran orang ramai ke masjid tersebut selain daripada menunaikan solat.

Ujar Murad, antara kemudahan yang disediakan kepada orang ramai ialah perpustakaan mini di sebelah kiri pintu masjid.

KEUNIKAN seni bina menjadi tarikan pelancong mengunjungi Masjid Cina Negeri Melaka di Paya Rumput. – UTUSAN /RASUL AZLI SAMAD

Menurutnya, bilik bacaan yang boleh menempatkan seramai 30 orang dalam satu masa itu diwujudkan sejak masjid berkenaan siap pada April 2014 dan kini terdapat pelbagai bahan bacaan termasuk tafsir al-Quran, buku keagamaan dan majalah.

“Kebanyakan bahan bacaan ini disumbangkan orang ramai selain sumbangan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan turut terdapat buku dalam bahasa Cina. Kebiasaan kemudahan itu diguna pakai oleh pelajar sekolah dan terdapat juga bilik mesyuarat yang boleh digunakan.

“Bilik bacaan ini dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dan sekurang-kurangnya anak-anak kecil yang tidak bersolat akan menggunakan kemudahan itu sementara menunggu ibu bapa mereka menunaikan solat,” katanya.

Murad berkata, pihaknya turut menyediakan ruangan menyumbang barang keperluan dapur yang dinamakan Infaq Rezeki untuk diberikan secara percuma kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, almari yang menempatkan pelbagai jenis bahan asas makanan seperti minyak dan tepung tidak pernah kosong sejak hasil inisiatif pengurusan masjid diperkenalkan tiga tahun lalu.

“Kita memberi kebenaran kepada mereka yang memerlukan untuk mengambil tiga barang makanan bagi membolehkan orang lain dapat turut merasai rezeki itu bersama-sama,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN