Memiliki 20,000 buku bukan angka yang sedikit. Bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Ia memang benar dalam menterjemahkan kecintaan Muhd. Firdaus Abdullah, 56, terhadap buku.
Sebelum membuka kedai Tanjung Town Book Store, di Jalan Agryll, Geogretown, Pulau Pinang, Muhd. Firdaus terlebih dahulu menjual koleksi buku lamanya di kaki lima termasuk di pasar Rope Walk, Lorong Kulit sejak 1992.
“Minat mengumpul bahan bacaan bermula sejak di bangku sekolah. Tetapi waktu itu bahannya banyak berkisar kepada unsur agama.
“Menginjak dewasa, koleksi buku saya semakin bertambah. Ada yang beli sendiri dan tidak kurang pemberian dari rakan yang tahu minat saya terhadap buku,” katanya mengimbau kenangan.
Jumlah bahan bacaan yang banyak mendorongnya membuka kedai buku.
“Lama-kelamaan, koleksi buku yang banyak ini tidak lagi mampu saya simpan di rumah. Sebaliknya saya menyewa sebuah setor untuk menyimpan buku,” katanya.
Idea membuka kedai buku tercetus apabila setor disewa semakin sendat dan tidak lagi dapat menampung jumlahnya yang kian banyak.
Menariknya, kata Muhd. Firdaus kedai buku itu turut menerima sumbangan daripada pelancong dan koleksi syarikat atau kedai-kedai buku yang mahu melupuskan bahan bacaan mereka.
Khazanah bangsa
Dalam banyak khazanah tersimpan di Tanjung Town Book Store, bahan bacaan yang disifatkan paling bernilai adalah buku dokumentasi berkenaan masyarakat pribumi Sarawak.
Menurut Muhd Firdaus, buku berkenaan adalah bahan kajian pengkaji antarabangsa, diterbitkan pada 1957.
Apa yang menjadikan buku ini sangat istimewa dan mahal harganya kerana ia mengandungi gambar-gambar lama masyarakat pribumi Sarawak serta fakta sejarah kehidupan mereka.
“Gambar-gambar dan informasi masyarakat silam seperti ini sukar diperoleh dan maklumat mengenainya sering menjadi buruan para pengkaji sejarah,” katanya.
Turut ada dalam koleksi beliau ialah akhbar Warta Negara cetakan 2 Jun 1954.
“Keluaran khas itu mengenai majlis kemahkotaan Ratu England, Queen Elizabeth ke-11 dengan Tanah Melayu ketika itu masih di bawah pentadbiran British.
“Istimewanya, meskipun keluaran khas itu bersempena permasyhuran Queen Elizabeth ke-11, namun kandungan enam muka surat akhbar itu menceritakan perihal Tanah Melayu termasuk peranan Raja-raja Melayu ketika itu,” katanya rancak bercerita mengenai ‘harta’ dimiliki itu.
Majalah tahunan The Straits Times dari tahun 1955 hingga 1988 turut dimilikinya. Majalah tersebut menjadi rebutan dalam kalangan pengumpulnya, hingga beliau pernah ditawarkan RM300 senaskah lantaran keunikan iklan pelbagai jenama produk disiarkan di dalam naskah itu.
Majalah lama
Mmiliki 500 judul majalah yang pernah popular suatu ketika dulu seperti URTV, Varia Pop dan Wanita bermula terbitan sekitar 1970-an, bukti kecintaan Muhd. Firdaus terhadap bahan bacaan.
Ditanya sama ada perniagaan terjejas berikutan persaingan e-buku, beliau optimis buku lama, memiliki peminat tersendiri.
Selain peminat buku dan pengumpul bahan bacaan lama, kedainya juga menjadi tumpuan para penyelidik dan pengkaji sejarah mendapatkan buku-buku lama.
“Perniagaan ini saya usahakan bukan semata-mata untuk mencari keuntungan, tetapi lebih kepada ingin berkongsi minat membaca dan mengumpul koleksi bahan bacaan lama dengan masyarakat,” katanya.
Enggan ketinggalan dalam persaingan buku atas talian, Muhd. Firdaus turut menjual bukunya di platform termasuk di e-Bay. Harga ditawarkan bergantung kepada kriteria tertentu seperti tahun terbitan, bilangan cetakan dan populariti.