“SETIAP hari, pesawat dari Indonesia akan terbangkan ketam nipah hidup ke Malaysia.
“Kami akan ambil di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum agihkan ke cawangan-cawangan.”
Demikian kata pengurus operasi restoran Shell Out, Bryan Goh, 36 kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini. Selain ketam hidup, mereka turut mengimport crawfish atau udang karang air tawar dari Australia.
“Setiap hari, kami menggunakan kira-kira 200 kilogram makanan laut untuk setiap cawangan Shell Out,” jelasnya.

CETUSAN ILHAM AMERIKA SYARIKAT
Shell Out nama yang tidak asing dalam kalangan penggemar makanan laut.
Dihidang secara ‘lambak’ di atas meja, variasi makanan laut yang disadur aneka sos memberi peluang restoran berkonsep santai ini merintis jalan kepada perkembangan restoran jenis itu di tanah air.
Diusahakan oleh Bryan serta rakannya Derick Yap, Bryan berkata, restoran berkonsepkan “cutlery free” ini tercetus hasil inspirasi Derick.
“Beliau menetap lama di Amerika Syarikat. Di sana, ada restoran mirip konsep sebegini. Jadi apabila kembali ke tanah air, saya dan Derick berbincang, kami gabungkan konsep itu dengan budaya Malaysia. Masyarakat di sini gemar makan menggunakan tangan. Timbul idea menghidangkan makanan laut di atas meja dan pelanggan boleh menikmatinya menggunakan tangan,” katanya.
Mula beroperasi sejak 2013 di Kota Damansara, Shell Out kini mempunyai lapan cawangan di Lembah Klang.

DISADUR SOS ISTIMEWA
“Selain ketam nipah dan crawfish hidup, kami turut menawarkan udang, sotong kurita, lala serta scallop gergasi. Menu paling mendapat sambutan sudah pasti hidangan kombo makanan laut kami. Ia terdiri dari empat jenis kombo, masing-masing dengan keunikan tersendiri,” katanya.
Katanya, setiap sub-hidangan dalam set kombo disadur dengan sos berbeza.
“Kami ada lima sos, termasuk shell bang, lemon pepper, butter garlic, lada hitam serta curry-curry.
“Hidangan berasaskan udang dan sayuran sesuai dengan sos butter garlic, manakala ketam nipah pula padan dengan sos laku keras kami, shell bang,” katanya.

MENJILAT JARI
Kehadiran kami disambut dengan tidak kurang 10 menu berbeza. Ini termasuk aneka makanan laut, jejari keledek digoreng rangup serta kepak ayam goreng. Ketam nipahnya bertekstur lembut.
Isinya manis dan pejal, dan tidak menghairankan memandangkan ia didatangkan hidup-hidup dari negara Garuda.
Begitu juga dengan crawfish. Saat kepala udang karang itu ditanggalkan dari badan, meleleh jus pekat, lantas menaikkan nafsu gastronomi ke tahap maksimum. Isinya pejal, mirip rasa udang galah tempatan.
Tidak ketinggalan, menu scallop gergasi yang disadur sos butter garlic. Selain itu, meja kami turut dipenuhi menu sampingan yang tidak kurang menyengat.
Jejari keledek yang digoreng rangup, saat ia digigit, terus sahaja memberi rasa seakan-akan ada pesta makanan dalam mulut. Kepak ayamnya juga tidak terkalahkan. Saduran tepung goreng yang rangup, yang dipadankan dengan rempah rahsia, memberi kepuasan kepada hidangan popular itu.
Ringkas kata, Shell Out tempat terbaik menyantap makanan yang segar dan enak bersama rakan dan taulan! Pasti menjilat jari!










