fbpx

24 September 2020, 3:06 pm

  TERKINI

Kesegaran vs. Pengalaman

Persembahan dari A.Limin ketika Anugerah Lagu Indie 2020 di Bandar Seri Pemaisuri. di ibu negara baru- baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPARUH akhir kedua Anugerah Lagu Indie (ALI) 2020 menyaksikan persaingan antara 12 lagu untuk merebut tempat ke peringkat akhir yang akan diadakan di Spacerubix, Puchong pada 3 Oktober ini.

Yang jelas dilihat, persaingan minggu ini adalah antara karya yang segar dengan persembahan berpengalaman.

Berdasarkan pemerhatian Utusan Malaysia, enam lagu yang bertanding minggu ini mempunyai unsur baharu dan segar manakala enam lagi lagu seakan mengulang formula lama namun mempunyai kekuatan yang sukar digoyah.

Pertarungan generasi

Enam lagu yang mempertaruhkan kesegaran adalah Sang Biru nyanyian Langkasuka; Dursila (Zerophobia dan Leaism); Andai Kau Pergi (Plvindre); Contempt (Night Skies And Visions); I Wish It Was Only You (Servants) dan Gentayangan (A. Limin).

Berbeza dengan enam lagi lagu: Mari Menari (The Impatient Sisters); Kisah Cinta Yang Tak Diduga (The Alif dan Kamelia Syermain); Kangkong N Roll (Kapow); Lagu Paling Kecewa Dalam Dunia (Jemson); Mr. Pollution (Budak Nakal Hujung Simpang) dan Untitled (Mirah dan Petipop), melodinya lebih mesra dan tidak asing pada telinga pendengar.

Peserta yang berpengalaman nampaknya lebih selesa tampil ringkas dan minimal. Pengecualian hanya diberikan kepada The Impatient Sisters yang bukan sahaja tampil dengan pakaian yang menarik, malah menyusun koreografi ringkas untuk menyerlahkan mood gembira dalam lagu Mari Menari.

Peserta lain seperti The Alif, Jemson dan Budak Nakal Hujung Simpang pula tampil sederhana namun kerana pengalaman, persembahan mereka dikira cukup serta bersih daripada kesilapan besar.

Namun barisan peserta berpengalaman ini dicabar hebat muka-muka baharu yang tidak mahu kalah dengan menampilkan persembahan berwarna-warni dan penuh dengan kejutan.

Paling jelas pastilah Zerophobia dan Leaism yang tampil dengan solekan ala Black Metal, sesuai dengan lagu Dursila yang menggambarkan peperangan jiwa manusia melawan bisikan syaitan.

Ada yang menambah, tiada yang mengurang

Terdapat beberapa pilihan tepat yang dilakukan peserta.

Antaranya adalah keputusan berduet bersama Leaism oleh Zerophobia. Secara peribadi, penulis menganggap persembahan Leaism adalah persembahan individual terbaik malam itu.

Plvindre pula membuat keputusan tepat mengundang Raja Nazrin Shah apabila vokalis asal mereka tidak dapat ikut serta atas komitmen kerja di luar negara. Raja Nazrin menambah warna dalam persembahan itu.

Sebaliknya berlaku kepada Kapow apabila pasangan duetnya, Along Zip Zieller tidak dapat memberikan komitmen. Kekuatan vokal Along yang sangat unik tidak dapat ditampung penggantinya, Khairul.

Bagi Jemson pula, keputusan mereka tidak memasukkan vokal iringan Raja Nazrin seperti dalam versi rakaman menyebabkan bahagian korusnya kedengaran tidak lengkap; seperti kehilangan sesuatu. Walau bagaimanapun, penyampaian rangkap akhir lagu itu oleh Myo begitu berkesan dan sedikit-sebanyak menutup kekurangan yang ada.

Servants cipta kejutan

Walaupun mempunyai beberapa masalah dalam persembahan, Servants merangkul gelaran lagu terbaik minggu ini melalui lagu I Wish It Was Only You.

Bantuan pemuzik iringan ternyata menyerlahkan kekuatan lagu tersebut yang sarat dengan emosi.

Ia turut diakui Amirul selaku vokalis bahawa tujuan penggunaan pemuzik iringan membantu mereka menyampaikan emosi dalam lagu tersebut kepada pendengar.

Secara keseluruhannya, I Wish It Was Only You adalah sebuah karya yang segar dan berkualiti. Emosi dalam lagu itu juga disusun dengan sempurna.

BERITA BERKAITAN