Fattah sedang belajar jadi bapa - Utusan Malaysia

Fattah sedang belajar jadi bapa

Pasangan selebriti popular, Fattah Amin dan Fazura menanti detik bahagia bergelar ibu dan bapa selepas hampir empat tahun mendirikan rumah tangga. – Utusan/MOHD. IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tinggal sepurnama sebelum memikul tanggungjawab sebagai bapa, suami kepada pelakon, Nur Fazura ini giat mempelajari pelbagai ilmu dan rajin bertanya dengan keluarga serta rakan sekeliling tentang selok belok kebapaan.

Fattah Amin sedar, persediaan dari segi fizikal dan mental harus diberi keutamaan. Dia sedar tanggungjawab dan peranan sebagai bapa menuntut masa serta kerja keras untuk kelangsungan mereka satu keluarga.

“Apabila tanya kawan-kawan, rata-rata nasihat mereka selamat berjaga malam. Mahu tergelak sebenarnya tetapi itu adalah realiti. Nasib baiklah kerjaya sebagai pelakon memang kerja tak tentu masa, jadi senang.

“Alhamdulillah, saya dikelilingi keluarga yang sangat membantu malah isteri, Fazura sendiri tidak pernah menyusahkan malah menolong lagi. Bersyukur apabila Allah hadirkan mereka yang baik dalam hidup saya.

“Selepas kelahiran pun, saya akan fokus kepada keluarga tetapi dalam masa yang sama, tetap menerima tawaran dan sebenarnya, ada beberapa kerja tertunggak yang harus diselesaikan. Rezeki anak itu,” kata pelakon Hero Seorang Cinderella ini.

Ditanya adakah dia pernah melalui insiden mencuit hati sepanjang menjaga isteri hamil. Fattah tergelak kecil. Dia teringat insiden Fazura menangis hanya kerana tidak suka sos mayonis yang ada di dalam sandwic yang dibelinya.

“Memang kelakar bila ingat tetapi itulah ragam wanita hamil. Sebagai suami, tanggungjawab saya untuk memastikan segala keperluannya sentiasa mencukupi. Tak boleh mengeluh kerana sebagai suami, kita perlu hargai pengorbanan isteri.

“Fazura pun tidak ada mengidam yang pelik-pelik. Saya pula yang kuat makan sepanjang PKP. Mula-mula saya tak perasan tetapi bila timbang, alamak berat sudah naik!,” selorohnya.

Dalam pada itu, ditanya bagaimana mereka suami isteri tahu tentang kehamilan itu, Fattah mengimbas kejadian ketika mereka menjalani penggambaran di Thailand. Emosi Fazura yang sedikit berbeza ketika itu membuatkan mereka pergi membuat pemeriksaan doktor.

“Alhamdulillah, setakat ini kesihatan kedua-dua ibu dan anak sangat baik. Malah, saya juga sering berdoa agar proses kelahiran bayi tercinta kami juga dipermudahkan,” katanya.

Fattah Amin menyusun kerjaya

Pelakon lelaki ini pernah menggegarkan industri hiburan dengan populariti yang bukan calang-calang. Malah, ketika itu juga dia melancarkan buku tulisannya sendiri sehingga laris seperti pisang goreng panas.

Sebut sahaja nama Fattah Amin, ramai peminat wanita khususnya memang ‘menggilai’ pelakon itu. Walaupun statusnya kini suami orang dan bakal bergelar bapa, namun sokongan peminat tidak sekali luntur.

Melancarkan single baharu, Bebas ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penyanyi ini sedar ada impak yang harus ditanggung. Malah, masih ada dalam kalangan peminat yang tidak tahu lagu itu sudah dilancarkan.

Bahkan, muzik video Bebas juga sudah dilancarkan dan mendapat tontonan 146,000 setakat ini. Video yang memaparkan kisah seorang budak yang bangkit selepas dibuli mendapat reaksi positif daripada peminat.

“Memang dari segi promosi, langkah kami tersekat. Kami hanya melancarkan lagu tersebut menerusi platform digital dan sukar untuk kita adakan promosi bergerak. Malah, peminat juga ketika itu gusar tentang pandemik yang berlaku.

“Namun, sebab itu saya tetap mahu melancarkan Bebas kerana lagu ini sebenarnya bertujuan meniup semangat dan memberi motivasi kepada pendengar. Sesuai untuk kita ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Saya tak rasa ini satu langkah kurang menjadi tetapi inilah cara untuk saya menyumbang bakat dengan cara berganding bahu memberi semangat. Selepas ini, saya dan pihak edaran akan mula mempromosikan lagu ini secara menyeluruh,” kata lelaki berusia 30 tahun ini.

Bakal melancarkan mini album tidak lama lagi, Fattah mahu mempelbagaikan genre lagunya dan tidak hanya mahu selesa berdiri dalam satu ruang sahaja. Oleh sebab itu, dia memilih untuk bekerjasama dengan komposer

terkenal, Hafiz Hamidun.

Hanya tinggal sebulan sebelum menghitung detik melancarkan single baharu itu, Fattah gementar namun dalam masa yang sama, mahu membuktikan kehadirannya dalam industri seni sejak 2013 bukan sesuatu yang sia-sia.

“Saya serius dalam kerjaya sebagai seorang penyanyi. Apa sahaja komen sama ada positif atau negatif, saya terima secara terbuka.

“Sebab itu saya hadir dengan mini album kerana mahu ada buah tangan sebagai bukti bakat,” katanya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya