MEASLES atau demam campak sebenarnya penyakit yang boleh membawa maut. Data 2018 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan lebih 140,000 orang mati akibat penyakit ini.
Menurut laporan bertajuk More Than 140,000 Die From Measles As Cases Surge Worldwide itu, kebanyakan kematian direkodkan berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.
Bagi mendapatkan penjelasan mengenai penyakit ini, Mingguan Malaysia baru-baru ini mendapatkan pandangan Pakar Penyakit Berjangkit, Hospital Canselor Tunku Mukhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Petrick Periyasamy.
Beliau memberitahu, wabak campak ini mula dikesan seawal kurun ke-9 apabila doktor Farsi merekodkan dapatan mengenainya dalam jurnal perubatan bertulis.
Kemudian pada 1757, pakar perubatan Scotland Francis Home mula menemukan bahawa campak ini diakibatkan agen pembawa penyakit yang terkandung dalam darah manusia.
“Campak tergolong dalam kategori paramyxovirus iaitu satu daripada virus dari jenis RNA,” jelasnya.

BAGAIMANA VIRUS CAMPAK MENYERANG?
Katanya, fasa inkubasi bagi penyakit campak adalah sekitar enam hingga 21 hari. Ia bermula apabila virus masuk ke dalam sistem tubuh melalui pernafasan.
“Susulan pendedahan kepada virus, 90 peratus individu yang terdedah akan menunjukkan gejala serangan penyakit campak.
“Pesakit biasanya akan mula dijangkiti seawal empat hari sebelum munculnya bintik-bintik di tubuh,” katanya.
STATISTIK
Kementerian Kesihatan dalam infografik bertajuk Statistik Demam Campak di Malaysia melaporkan, statistik kes itu meningkat pada kadar sangat drastik sejak 2013.
Menurut laporan itu, data 2013 menunjukkan kes demam campak sebanyak 195 manakala pada 2018, kes mencanak naik sebanyak 1,934 kes, iaitu peningkatan 891.8 peratus.
Petrick berkata, kes membabitkan individu yang tidak diimunisasi meningkat daripada 125 kes pada 2013 kepada 1,467 kes pada 2018.
“Dari 2016 sehingga 2018, data WHO menunjukkan bahawa daripada satu juta populasi Malaysia, kira-kira 60 orang mengalami demam campak,” katanya.
AKIBAT TAK IMUNISASI
Pada 2018, katanya, Kementerian Kesihatan merekodkan enam kes kematian demam campak yang mana semua kes tiada imunisasi.
“Pada masa sama, lima kematian akibat difteria direkodkan yang mana empat kes tiada imunisasi manakala 22 kematian batuk kokol (pertussis), yang mana 19 kes tiada imunisasi.
“Pemberian imunisasi boleh mencegah penyakit-penyakit ini, sekali gus dan mengurangkan komplikasi yang boleh membawa kematian,” katanya.
SIMPTOM CAMPAK
Kementerian Kesihatan dalam rencana bertajuk Demam Campak menjelaskan beberapa simptom yang berlaku kira-kira 12 hari selepas dijangkiti seperti berikut:
Demam tinggi.
Batuk, selsema dan sakit tekak.
Mata berair dan sensitif kepada cahaya.
Sakit otot.
Dua atau tiga hari selepas itu, timbul ruam-ruam, bermula di bahagian muka dan kepala kemudian merebak ke bahagian badan, tangan dan kaki.
Kemudian, ruam akan kekal selama empat hingga tujuh hari. Semasa ruam timbul, suhu badan biasanya sangat tinggi.
Demam campak boleh menjangkiti orang lain dalam masa seminggu sebelum timbul ruam sehingga empat hari selepasnya.
KESAN KE ATAS KANAK-KANAK
Dalam rencana Demam Campak, Kementerian Kesihatan menjelaskan kebanyakan kanak-kanak yang menghidapi demam campak akan sembuh dengan sempurna.
Bagaimanapun, kadang-kala boleh terjadi komplikasi yang serius terutama golongan yang menghidapi kekurangan zat makanan serta mempunyai imun sistem kekebalan rendah. – MINGGUAN MALAYSIA










