Cabaran meramal cuaca negara - Utusan Malaysia

Cabaran meramal cuaca negara

Jailan Simon menunjukkan data data cuaca yang dipapar pada monitor di Jabatan Meteorologi di Petaling Jaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Benarkah cuaca kita sudah banyak berubah? Ramai dalam kalangan kita mengadu cuaca sudah semakin panas. Sememangnya suhu Bumi kita sudah meningkat dan ini disahkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Menurut Ketua Pengarahnya, Jailan Simon kenaikan suhu (dalam tempoh 100 tahun) berlaku masing-masing di Semenanjung Malaysia (1.6 darjah Celsius), Sabah (1.4 darjah Celsius) dan Sarawak (1.3 darjah Celsius).

Menurut Jailan, apabila suhu meningkat ada kemungkinan berlaku peningkatan cuaca ekstrem, tetapi keadaan ini hanya boleh ditentukan berdasarkan parameter cuaca seperti gelombang haba, peningkatan kejadian hujan dan ribut petir.

Sekiranya perubahan parameter tidak konsisten, apa yang berlaku hanyalah disebabkan oleh keragaman iklim yang biasa dan pernah berlaku sebelum ini.

Sebagai contoh kata beliau pada tahun 1916, negara kita pernah mengalami penurunan suhu mendadak kepada dua darjah Celsius dan ais atau fros telah direkodkan terdapat pada daun-daun pokok di sekitar Cameron Highlands, Pahang.

Fenomena ini katanya, dikaitkan dengan keragaman iklim yang boleh berlaku dari semasa ke semasa. Menyentuh perkara yang sama beliau berkata, seperti sekarang musim Monsun Barat Daya yang kebiasaannya berlaku

dari Mei hingga September setiap tahun membawa cuaca lebih kering akibat tiupan angin dari arah Barat Daya yang kering dari Sumatera dan Kalimantan ke negara kita.

Oleh kerana itu, Monsun Barat Daya pada tahun ini adalah agak lemah dan menyebabkan tiupan angin dan kurang konsisten berbanding biasa.

Ini menyebabkan keadaan cuaca yang lebih lembap berbanding biasa di rantau ini termasuk di negara kita dan Indonesia (Sumatera dan Kalimantan) terutamanya semasa Jun dan Julai.

Akibatnya, berkemungkinan besar kejadian jerebu tidak berlaku atau kurang pada tahun ini kerana keadaan yang lebih lembap dan arah tiupan angin Barat Daya yang tidak konsisten.

Walau bagaimanapun, Monsun Barat Daya dijangka kembali normal mulai pertengahan Ogos sehingga hujung September. Oleh itu, sekiranya pembakaran terbuka tidak dikawal, kejadian jerebu masih boleh berlaku semasa tempoh tersebut.

Dalam masa sama, kebiasaannya kebakaran atau titik-titik panas dikesan antara bulan Julai hingga September. Namun, kata beliau, berdasarkan data daripada Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC), bilangan titik panas yang dikesan pada tahun ini adalah jauh lebih rendah berbanding tahun lalu.

Sebagai contoh, pada 25 Ogos lalu, terdapat 70 titik panas di Kalimantan dan cuma dua di Sumatera.

Jabatan tersebut juga menjangka La Nina akan melanda dunia mulai September. Keadaan ini dijangka tidak mempengaruhi corak cuaca negara dengan ketara, Ini bermakna semasa musim Monsun Timur Laut, adalah dijangkakan banjir yang berlaku adalah pada tahap sederhana sahaja dan bukannya banjir besar.

“Ini kerana La Nina yang lemah biasanya tidak memberi kesan yang signifikan kepada corak cuaca negara kita,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, kata Jailan, keadaan cuaca boleh berubah dari semasa ke semasa. Justeru jabatan tersebut akan sentiasa menjalankan pemantauan dan mengeluarkan nasihat atau amaran sekiranya sesuatu keadaan cuaca ekstrem.

Jabatan tersebut juga akan memberikan amaran awal kepada pihak berkaitan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak lain yang terlibat selewat-lewatnya tiga hari sebelum bencana bagi kerja-kerja kesiapsiagaan.

Maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh melalui laman web rasmi dan laman media sosial jabatan tersebut, aplikasi myCuaca dan melalui nombor hotline jabatan 1-300-22-1638.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, cuaca di kawasan Tropika sebenarnya agak sukar diramal kerana salah satu faktornya adalah kajian mengenainya di kawasan Tropika sangat kurang berbanding di kawasan lain.

Terdapat beberapa cabaran untuk meramalkan cuaca di kawasan Tropika antaranya untuk jumlah hujan (mm) yang akan diterima. Ini kerana beberapa sebab, iaitu kejadian perolakan dan ribut petir yang kerap berlaku dan berubah ubah iaitu pembentukan cuaca ini bersifat berskala kecil dan mempunyai jangka hayat yang pendek.

Bagi membuat ramalan yang tepat, kita memerlukan super computer yang kosnya agak tinggi. Cabaran ini bukan sahaja dialami oleh Malaysia, tetapi juga oleh kebanyakan negara-negara beriklim tropika yang lain.

Walau bagaimanapun, jabatan tersebut mampu mencapai sehingga 85 peratus ketepatan untuk tempoh tiga hari. Ia melibatkan ketepatan ramalan dan amaran cuaca awam dan lautan manakala untuk sektor penerbangan mencecah sehingga 90 peratus ketepatan.

Ketepatan tersebut amat penting khususnya bagi sektor penerbangan dalam memastikan tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Sektor penerbangan memerlukan data-data berkaitan cuaca seperti arah dan

kelajuan angin serta ramalan cuaca yang tepat bagi menjamin keselamatan pesawat yang melakukan penerbangan ke pelbagai destinasi.

Apa yang penting kata beliau adalah tahap ketepatan ramalan dan amaran cuaca di jabatan tersebut setanding dengan peratus ketepatan yang dicapai oleh agensi meteorologi antarabangsa dan negara-negara maju.

Stesen pencerapan ditambah baik

Data gempa bumi dan tsunami diapar pada monitor di Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik NasionalMenurut Jailan Simon setakat ini, Jabatan Meteorologi  memiliki 386 stesen pencerapan cuaca dan jumlahnya masih belum mencukupi. Stesen-stesen tersebut kata beliau, penting untuk mencerap data-data cuaca yang akan digunakan untuk meramalkan cuaca seperti hujan dan bencana lain.

Bagi tujuan yang sama, data-data tersebut turut dikongsi dengan agensi-agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kini kami mempunyai 18 stesen radar cuaca dan menerusi Projek Peningkatan Kecekapan Sistem Rangkaian Radar Cuaca, jabatan sedang menaik taraf tiga stesen radar sedia ada serta menambah lapan lagi stesen radar.

Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022,” ujarnya.

Kata beliau, jabatan tersebut juga sedang dalam proses mengautomasikan semua stesen pencerapan meteorologi secara berfasai. Ini membolehkan stesen tersebut dapat beroperasi lebih cekap dan membuat pencerapan lebih kerap bagi memastikan pemantauan yang lebih menyeluruh.

Setakat ini 203 daripada 386 stesen tersebut beroperasi secara automatik.

Selain sistem ramalan dan penyampaian cuaca, jabatan tersebut juga menyasarkan untuk mengukuhkan sistem pemantauan gempa bumi dan amaran tsunami di negara ini dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Mengulas mengenai tahap kesedaran rakyat Malaysia berkaitan cuaca, beliau berkata, ia masih perlu dipertingkatkan memandangkan tidak ramai yang ingin mengambil tahu pentingnya ramalan dan maklumat cuaca dalam melancarkan kerja seharian mereka.

Ini berbeza jika dibandingkan dengan negara-negara maju yang mengambil tahu tentang ramalan dan keadaan cuaca sebelum merancang melakukan sesuatu.

Biasanya ramalan dan amaran cuaca lebih mendapat perhatian dari agensi- agensi kerajaan seperti pihak pengurusan bencana dan syarikat-syarikat swasta.

 

INFO Satelit luar yang digunakan Jabatan Meteorologi

» Satelit Himawari (Geostationary) milik Jepun dan menghantar data setiap 10 minit untuk pemantauan cuaca.
» Satelit Feng Yun (Geostationary) milik China yang menghantar data setiap jam untuk pemantauan cuaca.
» NOAA (polar orbiting) untuk pemantauan titik panas dan jerebu.

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya