ATM 87 tahun, nadi kedaulatan negara - Utusan Malaysia

ATM 87 tahun, nadi kedaulatan negara

Warga ATM sentiasa bersiapsiaga menghadapi sebarang kemungkinan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) kini berusia 87 tahun. Banyak cabaran dan kejayaan dilalui sepanjang tempoh tersebut. Semua usaha tersebut dibuat bagi memperoleh keamanan dan keharmonian sebagai mana yang sedang dinikmati seluruh rakyat di negara ini.

Jika diimbas, ini termasuk peranan ATM semasa zaman darurat pada 1968 hingga 1989 bagi mengekang peluasan kuasa pihak komunis.

Ramai perwira dan perajurit negara terkorban dan ada juga yang mengalami kecacatan anggota fizikal demi memastikan negara yang dicintai bebas daripada sebarang ancaman walaupun terpaksa mengorbankan nyawa sendiri.

Inisiatif Keselamatan dan Pembangunan (Kesban) serta Pertahanan Menyeluruh (Hanruh) yang telah diperkenalkan pada waktu tersebut banyak membantu bagi membendung dominasi anasir komunis di dalam negara.

Dalam masa yang sama, usaha ini telah menyatukan rakyat berbilang kaum untuk membantu membangunkan kestabilan dan ekonomi negara.

Pada abad ini, ancaman keselamatan terhadap negara adalah dipengaruhi oleh persekitaran geostrategik dan lanskap keselamatan antarabangsa serta serantau yang kompleks serta tidak menentu.

Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan dan ATM dipertanggungjawab untuk menentukan bahawa kedaulatan, keutuhan wilayah dan keselamatan negara sentiasa dilindungi dan terus terpelihara.

Oleh yang demikian, ATM perlu bersifat dinamik dan kekal relevan dalam melaksanakan amanah mengikut aspirasi nasional yang memerlukan perkhidmatan ini sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab dalam spektrum tugas yang luas.

Sebagai contoh, menerusi pendekatan seluruh kerajaaan (Whole of Government – WoG) dan seluruh masyarakat (Whole of Society-WoS).

Genap setahun Kertas Putih Pertahanan (KPP) berdiri teguh, ia telah membuktikan komitmen negara secara kolektif terhadap hasrat nasional bagi menjadikan Malaysia selamat, daulat dan makmur.

Ini merupakan tanda komitmen kerajaan dalam memastikan dasar pertahanan negara dapat direalisasikan dalam menuju ke arah Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Sebagai sebuah dokumen pelan jangka panjang pertahanan negara yang komprehensif, KPP juga mengandungi pernyataan hasrat dan usaha kerajaan demi memastikan integriti, kedaulatan serta keselamatan negara sentiasa kukuh.

Dengan adanya KPP, Malaysia akan dilihat sebagai negara yang mempunyai proses tadbir urus yang baik kerana mengamalkan ketelusan, keterbukaan dan inklusif dalam merancang pertahanan negara.

Ringkasnya ada tiga manfaat utama KPP kepada ATM.

Pertama, Pelan Pembangunan Keupayaan ATM secara holistik, kedua, memastikan bajet mencukupi disediakan bagi pembangunan ATM bagi mengekalkan kesiagaan ATM dan yang ketiga, memperkasakan ATM dalam menghadapi pelbagai ancaman masa hadapan sekali gus menyumbang kepada pertahanan menyeluruh melalui pendekatan secara WoG dan WoS.

Secara rumusannya, KPP menepati hasrat ATM dan aspirasi kerajaan serta selari dengan slogan ATM iaitu  Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama.

Dalam memperkukuhkan KPP, ATM sebagai instrumen polisi nasional dalam usaha pelaksanaan kajian semula Strategi Ketenteraan Negara (SKN) yang telah dihasilkan pada 2007.

SKN 2.0, adalah dokumen rentetan yang menyokong aspirasi yang telah dinyatakan oleh KPP.

Ia adalah sebuah dokumen strategik yang bersifat menyusuri konteks keselamatan dan pertahanan semasa, berpaksikan kepentingan nasional serta sejagat. Dokumen ini akan memberikan opsyen ketenteraan berjulat luas (broad range military options) serta menjadi asas pembangunan ATM sebagai elemen keutuhan nasional (national power).

Prinsip utama SKN 2.0 adalah berpandukan falsafah Daulat-Selamat-Makmur yang telah digariskan secara jelas oleh KPP. Pendekatan penambahbaikan yang telah diambil merangkumi konsep Angkatan Masa Hadapan berdasarkan teras reka bentuk (design), pembangunan (development) dan aplikasi (application) angkatan. Aspirasi keupayaan ATM adalah untuk mempunyai ketumbukan berkeupayaan beroperasi dalam persekitaran operasi pelbagai domain.

Dunia telah dikejutkan dengan pandemik Covid-19 sejak awal 2020 tempoh hari. Negara tidak terkecuali daripada mengalami nasib yang sama.

Pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh banyak pihak dalam memastikan penularan pandemik Covid-19 ini dihentikan.

ATM melalui konsep yang dibawa oleh KPP iaitu WoG dan WoS telah mengatur gerak asetnya sejak 22 Mac 2020 dalam membantu pihak PDRM melalui pelaksanaan Operasi Penawar (Op Penawar) untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Melalui Op Penawar ini, ATM membantu melaksanakan sekatan jalan raya dan rondaan bersama melalui Mobile Patrol Vehicle (MPV) bagi memastikan rakyat tidak sewenang-wenangnya bebas bergerak tanpa sebarang tujuan yang kukuh.

Selain membantu PDRM, ATM turut membantu Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi lain dalam pelaksanaan PKP.

Seterusnya, peranan ATM diperluaskan dengan dipertanggungjawab untuk mengetuai National Task Force (NTF) bagi pelaksanaan Operasi Benteng (Op Benteng).

Operasi yang dibantu oleh PDRM, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan agensi keselamatan lain ini dikhususkan bagi mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin (Pati) untuk mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19 yang dikhuatiri dibawa oleh Pati berkenaan.

Melalui Op Benteng, selain Pati, anasir-anasir tempatan juga turut dikenal pasti terlibat di dalam aktiviti ini termasuk ejen, pengusaha pengangkutan, tekong, dalang, petualang dan mereka ini juga tidak akan terlepas jika ditangkap.

Malaysia dilihat menjadi tarikan kerana pergerakan pemulihan ekonomi negara dilihat lebih stabil dan jauh lebih baik berbanding negara-negara jiran serantau.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua masyarakat, warganet dan peringkat rakyat Malaysia untuk sama-sama menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada warga ATM di atas pengorbanan yang dicurahkan.

Tidak dilupakan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberi sokongan dan kerjasama, semoga ia akan berterusan dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negara yang kita cintai ini sentiasa terpelihara.

AFFENDI Buang menunjukkan potret kepada veteran ATM, Prebet (B), Ujang Mormin berusia 99 tahun.

 

Dalam pada itu, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pengukuhan modal insan bukan hanya tertakluk kepada pembinaan keupayaan warga ATM, tetapi turut memberi fokus kepada warga veteran agar kehidupan mereka tidak terabai sebaik tamat perkhidmatan.

“Kita memperkasakan peranan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) yang menjadi pusat sehenti untuk menjaga kebajikan mereka termasuk memastikan kehidupan selesa sebagai pengiktirafan semasa dalam ATM.

“JHEV sendiri telah mengurus faedah persaraan dan membayar pencen kepada pesara tentera. Di samping itu JHEV merancang dan menyediakan Skim Bantuan Kebajikan serta Pendidikan ATM serta beberapa kemudahan lain supaya pesara dapat kehidupan lebih terjamin apabila tamat perkhidmatan nanti,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.