
Poklip sebenarnya cukup senang dengan sikap penyanyi, Ariff Bahran. Walaupun pernah ada cerita kononnya dia mempunyai masalah disiplin namun, bila bekerja dengan Poklip, Ariff sangat menghormati dan tidak seperti yang diperkatakan.
Tetapi baru-baru ini, ada rakan Poklip mengadu kononnya Ariff buat perangai lagi. Dia didakwa sentap dan merajuk apabila tidak berjaya merangkul gelaran juara dalam satu program nyanyian yang sedang hangat ditayangkan.
Malah, dakwa si polan itu, Ariff juga dikatakan terus meninggalkan set rakaman selepas dia tewas dalam pusingan penentuan. Aduh, biar betul? Adat bertandinglah dik, ada menang dan ada kalah.
Kalau semua menang itu bukan pertandingan tau, tetapi majlis penyampaian sumbangan kebajikan. Jadi kalau kalah bertanding, jangan sentap. Terus profesional dan memperbaiki kelemahan diri.
Tapi Poklip tak tahu pula betul ke Ariff buat hal macam itu. Rasanya Ariff bukan penyanyi kuat sentap. Malah, dia juga jenis pemuda yang tak masuk campur hal orang lain. Dia dalam hidupnya sendiri sahaja.
Ariff juga seorang yang mempunyai visi dan misi sendiri dalam dunia muzik. Sebab itu, Poklip agak ragu-ragu bila si polan itu mendakwa sedemikian. Boleh jadi itu hanyalah khabar angin tidak berasas kan.
Apa pun kita tunggu penjelasan Ariff ya. Lagipun dia rasanya sedang sibuk menghasilkan single baharu Sarah Suhairi. Makin terbang tinggi ya Ariff! Tahniah.










