Al-Quran dan kejadian manusia - Utusan Malaysia

Al-Quran dan kejadian manusia

Hanya Mahkamah Syariah boleh memutuskan sama ada seseorang itu telah kafir atau sebaliknya. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

oleh Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad

Pemahaman terhadap ayat berkaitan ciptaan manusia amat penting kerana Allah SWT menggunakan beberapa kalimah yang berbeza menyebabkan sebahagian orientalis cuba mengelirukan maksud dan tafsiran ayat tersebut. Ayat yang menyebut kejadian manusia adalah seperti berikut:

1. Surah Fatir ayat 11: Dan Allah menciptakan kamu daripada tanah, kemudian daripada (setitis) air benih, kemudian ia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan).

2. Surah Sajadah ayat 7: Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu Dengan sebaik-baiknya, dan dimulakan-Nya kejadian manusia berasal daripada tanah.

3. Surah Mukminun ayat 12: Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada pati (yang berasal) daripada tanah.

4. Surah Soffat ayat 11: (setelah nyata kekuasaan kami) maka Bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada mereka (yang engkarkan hidupnya semula orang-orang mati): Adakah diri mereka lebih sukar hendak diciptakan, atau makhluk-makhluk lain Yang Kami telah ciptakan? Sesungguhnya Kami telah mencipta mereka daripada  tanah liat (yang senang diubah dan diciptakan semula).

5. Surah al-Hijr ayat 26: Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, Yang berasal daripada tanah kental yang berubah warna dan baunya.

6. Surah al-Rahman ayat 14: ia menciptakan manusia (lembaga Adam) daripada tanah liat kering seperti tembikar.

Semua ayat yang berkaitan ciptaan manusia perlu dibahagi kepada dua iaitu kejadian Adam a.s dan kejadian manusia selepas Adam a.s. Jika dilihat kalimah yang digunakan ialah turab, tin, sulalah Min Tin, Tin Lazib, salsal min hamain masnun dan salsal ka al-Fakkhar.

Tujuh kalimah tersebut membawa maksud tanah tetapi mempunyai perbezaan antara satu keadaan dengan keadaan yang lain. Dan kumpulan ayat di atas adalah proses kejadian Adam a.s.

Menurut Sheikh Sy’arawi, tiada pertentangan dalam ayat-ayat kejadian manusia kerana ia adalah proses kejadian. Seumpama baju yang kamu pakai, kamu boleh kata baju ini dibuat daripada kapas, baju ini dibuat daripada bulu rusa atau baju ini dibuat daripada tenunan.

Ia semua adalah proses yang dilalui dalam terbentuknya manusia. Sama juga dengan peralihan bentuk tubuh manusia bermula dengan bayi, kanak kanak, pemuda, dewasa dan tua. Semuanya itu adalah peralihan satu tahap ke tahap manusia.

Susunan ciptaan Adam a.s bermula dengan tanah yang dipanggil turab. Kemudian dicampur dengan air maka jadilah ialah tanah liat yang dipanggil tin.

Dan tanah liat apabila kering bertukar warnanya kehitaman dipanggil hamain masnun. Akhirnya ia bertukar menjadi tanah liat yang kering seperti tembikar. Kemudian Allah SWT tiupkan ruh maka jadilah ia manusia iaitu Adam a.s.

Allah SWT mencipta malaikat daripada cahaya, kejadian syaitan daripada api dan Adam dicipta daripada tanah. Daripada sini dapat difahami bahawa semua mereka mempunyai watak yang berbeza mengikut asal kejadian.

Malaikat adalah makhluk yang suka beribadat, bertasbih dan taat adalah amat sesuai dengan kejadiannya daripada cahaya. Syaitan yang suka melakukan tipu daya, fitnah dan was-waskan orang lain amat sesuai dengan kejadiannya daripada api.

Manusia yang bersifat memakmurkan bumi, ringan tulang, mudah berkira dan ada juga yang susah berinteraksi dengan mereka, pengasar dan pelaku kejahatan adalah amat sesuai dengan kejadiannya daripada tanah.

Cahaya adalah sejenis sahaja sama seperti api yang hanya sejenis sahaja. Tetapi tanah berbeza antara tempat dengan tempat yang lain dan itulah keadaan manusia. Rasulullah SAW menegaskan bahawa: Sesungguhnya Allah mencipta Adam a.s daripada satu genggaman tanah dari seluruh bumi. Maka jadilah manusia daripada mengikut bumi tersebut.

Ada yang berwarna merah, putih, hitam dan yang lain. Begitu juga ada yang bersopan dan baik (muslim), ada yang bengis dan pengasar (bukan Islam). (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Hikmah

Hikmah yang terbesar mengapa berlaku proses penciptaan manusia dengan dalam beberapa peringkat kejadian sedangkan Allah boleh berkata kun maka jadilah Adam a.s. Hikmahnya, Allah SWT hendak membezakan kejadian semua makhluknya dengan Adam a.s yang dicipta melaluinya sendiri. Malaikat dicipta daripada tiada begitu juga jin.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Hai lblis! apa yang menghalangmu daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaanKu? Adakah engkau berlaku sombong takbur, ataupun engkau dari golongan yang tertinggi?” (Sod: 75)

Selain itu ia juga memberi isyarat kepada mereka yang mendakwa Isa adalah tuhan sedangkan Allah SWT telah menyebut dalam surah Ali-‘Imran ayat 59: Sesungguhnya perbandingan kejadian Isa di sisi Allah adalah sama seperti kejadian Nabi Adam tanpa ayah dan ibu. Allah telah menciptakan Adam daripada tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau” maka menjadilah ia.

Hakikat kejadian manusia daripada tanah ini juga boleh memberi kesedaran dan keinsafan bagi yang ingkar dan kufur kepada Allah SWT. Peringatan ini diberikan oleh sahabat kepada pemilik kebun yang ingkar kepada Allah SWT.

Ia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Berkatalah rakannya kepadanya: Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau daripada tanah kemudian daripada air benih kemudian ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang manusia? (al-Kahfi: 37)

Kesimpulannya perbezaan penggunaan kalimah dalam kejadian manusia yang ada dalam al-Quran tidak bercanggah bahkan ia melengkapkan proses kejadian manusia.

Penulis ialah  Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, USIM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya