Akidah Rasulullah SAW akidah Ash'ariyy? - Utusan Malaysia

Akidah Rasulullah SAW akidah Ash’ariyy?

Umat Islam di Malaysia berpegang kepada akidah Ash'ariyy dalam bab tauhid. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIRI 1

Golongan Asha’irah adalah mereka yang menisbahkan diri mereka kepada al-Imam Abu al-Hasan al-Ash’ariyy dari sudut mazhab akidah. Sebelum kita mengetahui dengan lebih lanjut tentang mazhab Ash’ariyy, mari kita mengenali terlebih dahulu dengan Abu al-Hasan al-Ash’ariyy.

Abu Al-Hasan Al-Ash’ariyy

Beliau adalah al-Imam Abu al-Hasan: Aliyy bin Ismail bin Abu Bisyr Ishaq bin Salim bin Ismail bin Abdullah bin Musa bin Bilal bin Abu Burdah yang merupakan putera sahabat Rasulullah SAW yang dikenali dengan panggilan Abu Musa al-Ash’ariyy.

Al-Imam Abu al-Hasan al-Ash’ariyy lahir pada tahun 260 Hijrah di Basrah. Ada pendapat mengatakan bahawa beliau sebenarnya lahir pada tahun 270 Hijrah.

Berlaku perbezaan pendapat terhadap tahun kewafatan beliau. Ada pandangan mengatakan bahawa beliau wafat pada tahun 333 Hijrah. Ada mengatakan: tahun 324 Hijriah dan ada juga yang berpandangan: tahun 330 Hijrah. Beliau meninggal dunia di Baghdad.

Al-Imam Abu al-Hasan al-Ash’ariyy adalah seorang yang bermazhab Ahlus Sunnah sejak awal lagi dan dibesarkan di dalam keluarga yang berpegang dengan mazhab Ahlus Sunnah. Namun beliau mempelajari mazhab Mu’tazilah daripada Abu Aliyy al-Jubba-iyy yang membawa kepada penukaran mazhab beliau daripada Ahlus Sunnah ke mazhab Mu’tazilah.

Namun akhirnya beliau bertaubat daripada akidah Mu’tazilah dan beliau telah mengiklankan taubatnya kepada orang ramai. Ia berlaku pada hari Jumaat di Masjid Jami’ di Basrah.

Berikut adalah ucapannya yang masyhur: “Sesiapa yang telah mengenali saya, maka dia telah mengenali saya. Sesiapa yang tidak mengenali saya, maka saya akan memperkenalkan diri saya. Saya adalah fulan bin fulan.

“Saya satu ketika dahulu telah berpendapat bahawa al-Quran adalah makhluk, Allah tidak akan dapat dilihat oleh deria penglihatan dan saya juga berpegang bahawa perbuatan-perbuatan jahat, saya yang melakukannya. [Namun sekarang] saya adalah orang yang bertaubat, orang yang meninggalkan [pandangan-pandangan tersebut], orang yang berkeyakinan untuk menolak Mu’tazilah dan orang yang menjelaskan kesilapan-kesilapan mereka serta keaiban-keaiban [pandangan] mereka”.

Al-Faqih Abu Bakr al-Soyrofiyy berkata: “Satu ketika dahulu Mu’tazilah telah mendongak kepala mereka sehinggalah al-As’ariyy muncul. Lalu beliau telah menahan mereka di penapis-penapis bijan”.

Al-Qodhi ‘Iyadh al-Malikiyy telah berkata tentang al-Imam Abu al-Hasan al-Ash’ariyy: “Beliau telah menulis untuk Ahlus Sunnah pelbagai karya. Beliau telah membuktikan kebenaran mazhab Ahlus Sunnah dan beliau membuktikan kesalahan pelaku bidaah yang telah menafikan sifat-sifat Allah dan yang menafikan bahawa Allah akan dilihat (di akhirat). Beliau telah membuktikan (kebenaran) Qidam kalam Allah, kekuasaan-Nya dan perkara-perkara bersifat Sam’iyyah yang telah disebut oleh syarak”.

Al-Qodhi ‘Iyadh al-Malikiyy menyambung: “Golongan Ahlus Sunnah telah menyukai kitab-kitab karangan beliau. Mereka telah belajar daripada beliau dan mendalami cara pembawakan beliau. Maka semakin ramailah pelajar dan pengikut beliau.

“Maka nama beliau telah menjulang naik sehingga para pengikut dan pelajar beliau [akhirnya] dikenali dengan panggilan Asha’irah (iaitu mereka yang mengikuti al-Ash’ariyy) yang sebelum ini mereka dikenali dengan panggilan al-Muthbitah (iaitu orang yang mensabitkan) kerana mereka telah mensabitkan apa yang telah dinafikan oleh Mu’tazilah sedangkan sunnah dan syariat menyatakan kewujudan perkara yang ditolak oleh golongan Mu’tazilah tersebut.”

Menurut Al-Qodhi ‘Iyadh al-Malikiyy lagi: “Maka Ahlus Sunnah daripada penduduk timur dan barat telah berhujah dengan hujah-hujah beliau dan mereka berpegang dengan manhaj beliau. Tidak sedikit orang yang memuji beliau. Mereka memuji mazhab beliau dan jalan beliau”. (Lihat Tadrib al-Madarik).

Al-Imam al-Isnawiyy pula berkata mengenai al-Imam Abu al-Hasan al-Ash’ariyy: “Beliau adalah orang yang berdiri [teguh] dalam memenangkan Ahlus Sunnah dan beliau adalah orang yang telah menyekat Mu’tazilah dan selain mereka yang merupakan golongan yang berpegang dengan bidaah menerusi lidah beliau dan pena beliau. Beliau adalah tuan punya kitab-kitab yang banyak. Kemasyhuran beliau menyebabkan kita sudah tidak perlu lagi berbicara panjang tentang beliau”. (Lihat al-Idrok Fi al-Funun).

Sementara itu, Al-Qodhi Ibnu Farhun al-Malikiyy pula menulis tentang al-Imam Abu al-Hasan al-Ash’ariyy: “Beliau adalah bermazhab Maliki. Beliau menulis untuk Ahlus Sunnah kitab-kitab yang banyak. Beliau telah mendirikan hujah-hujah yang mensabitkan sunnah-sunnah dan (beliau juga telah mensabitkan kewujudan) apa yang telah dinafikan oleh mereka yang mengamalkan bidaah”.

Kemudian beliau berkata lagi: “Beliau telah mendirikan bukti-bukti yang jelas daripada al-Kitab, al-Sunnah dan dalil-dalil akal yang jelas. Beliau telah menolak pandangan-pandangan al-Mu’tazilah dan mereka yang datang selepas Mu’tazilah (yang terdiri daripada golongan Mulhid”).
(Lihat al-Dibaj al-Mudzhab)

Tulisan Asal: Bekas Mufti Kerajaan Mesir, Al-Syeikh Prof. Dr. Ali Jum’ah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.