Tolong buka minda – Fazley Yaakob - Utusan Malaysia

Tolong buka minda – Fazley Yaakob

Fazley melebarkan sayap perniagaan dengan membuka restoran baharu, Minang Kapau yang menyajikan pelbagai menu Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERGELAR anak seni bukan satu tugas yang mudah untuk digalas. Populariti dan dunia glamor bukan satu matlamat untuk diraih semua. Niat dan cara seharusnya selari supaya kekal berlari.
Berbalik kepada niat. Dunia seni menuntut penggiatnya untuk berkongsi, mengajar dan memberi inspirasi kepada peminat.

Anak seni adalah wajah hadapan yang sedikit sebanyak membentuk masyarakat.

Mengakui bukan mudah untuk kekal relevan, penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob perlu menguatkan hati dan jiwa supaya tidak mudah berkecil hati. Kritikan dan kecaman silih berganti sememangnya sukar untuk ditangani.

Videonya di aplikasi TikTok juga menjadi buah mulut ramai. Dikecam kerana dianggap tidak sedar diri tua dan terlalu mencuba untuk kelihatan muda, adalah antara serangan pejuang papan kekunci.

Menganggap kecaman berunsur negatif hanyalah satu contoh busuk hati, Fazley meluahkan terasa kasihan terhadap mereka yang hanya tahu mengkritik tanpa berfikir. Seperti berkokok hebat namun sebiji telur pun tiada.

“Kasihan mereka, tidak terbuka minda. Di negara seperti Amerika Syarikat dan Korea Selatan, mempunyai aplikasi TikTok adalah perkara biasa. Malah, artis bertaraf A-List seperti Jason Derulo juga antara pemain TikTok tegar.

“Ada selebriti yang dibayar untuk memuat naik video di aplikasi tersebut. Kita terlibat juga dengan kempen dan promosi. Jadi itu adalah satu platform media sosial yang baik jika pandai mengawal penggunaannya.

“Kalau cakap saya terlalu mencuba untuk nampak muda, biarlah mereka berkata sebegitu. Saya tak rugi apa-apa.

“Bagi saya, komen sebegitu membuktikan ada segelintir netizen yang belum terbuka mindanya,” katanya.

Sempat menitipkan nasihat kepada pendatang baharu, penyanyi yang popular dengan gelaran ‘Abang Asmara’ ini mahu mereka sedar setiap apa yang kita lakukan, pasti sahaja ada yang suka dan benci.

“Jangan mudah terasa dengan kecaman negatif. Kritikan itu perlu tetapi biarlah yang membina, bukan menjatuhkan. Setiap orang ada hak melontarkan pendapat tetapi biarlah berhemah.

“Saya sendiri akan memadam atau menyekat mana-mana akaun yang memberi komen melampau. Apa yang mereka lontarkan itu tidak sihat. Mereka umpama duri dalam daging,” katanya yang popular dengan lagu Asmara Ini.

Fazley tukar  jenama

 

Pasti ramai yang terkejut apabila mendengar berita penutupan restoran milik bapa kepada empat anak ini. Mana tidaknya, jenama Suka Sucre sememangnya cukup sinonim dengan cef selebriti ini.

Seraya tersenyum kecil, Fazley menjelaskan penutupan restoran di Cheras itu adalah sebagai salah satu langkah perancangan bagi mengembangkan lagi jenama tersebut.

“Sebenarnya, kami berpindah ke lokasi yang lebih strategik dan luas. Jenama SukaSucre sudah memasuki tahun ketujuh dan kami perlu melebarkan sayap lebih tinggi.

“Sedih, banyak kenangan saya di sini. Saya juga belajar selok-belok perniagaan dan ilmu memasak. Anggaplah ini satu permulaan baharu kami,” katanya.

Enggan mendedahkan lokasi restoran SukaSucre baharu, bapa kepada empat orang anak ini mengharapkan peminat terus memberi sokongan kepada perniagaannya.

“Kita mahu SukaSucre terus berkembang menjadi sebuah jenama besar. Semua itu hanya akan dapat dikecapi dengan sokongan anda semua,” kata Fazley yang sudah 25 tahun dalam industri seni.

Berbicara soal nyanyian, Juara Masterchef Selebriti 2012 ini berkata, dia bakal berkolaborasi dengan syarikat rakaman di Indonesia untuk menghasilkan single baharunya.

“Nak cerita lebih, kita tidak tahu sampai bila pandemik Covid-19 ini akan berpanjangan. Lagipun ini usaha sama syarikat dua negara, jadi saya perlu menunggu waktu sesuai. Saya harap keadaan akan segera kembali pulih,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN