'Next To Neelofa' pikat peminat - Utusan Malaysia

‘Next To Neelofa’ pikat peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengenali pengacara dan pelakon popular ini, dia sememangnya penuh dengan idea bernas dan kreatif. Bak kata orang, sentiasa mahu ke hadapan melangkaui batas fikiran kita.

Bersua bicara dengan Neelofa, banyak cerita yang dikongsi. Muncul dengan program baharu, Next To Neelofa, pelakon filem Pilot Cafe ini membuka cerita.

Gusar dengan penerimaan peminat, dia kini mampu menarik nafas lega apabila dua episod awal program tersebut berjaya menarik minat. Malah, trending di media sosial.

“Memang program ini merupakan idea saya yang dibincangkan bersama kru produksi. Saya tidak mahu program sedia ada. Saya mahu sesuatu berbeza, yang tidak pernah ada.

“Alhamdulillah, penerima penonton sangat positif. Komen-komen murni sahaja diterima. Saya dan kru produksi sangat gembira,” katanya.

Ditanya adakah program tersebut bakal disambung ke musim kedua, seraya tersenyum manja, Neelofa melirik mata memberi tanda seolah-olah itu bakal menjadi kenyataan.

Apatah lagi, melihatkan barisan panel jemputan antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Hans Isaac dan Ella, pastinya rugi andai Next To Neelofa tidak disambung ke musim kedua.

“Kita mahu memberikan cerita-cerita inspirasi dan motivasi kepada penonton hasil perkongsian panel jemputan. Ada juga yang sukar untuk kita teroka ke dalam hati.

“Alhamdulillah, kebanyakan tetamu sangat selesa untuk berkongsi cerita. Memang ada yang kekok namun, saya berjaya juga menyelami kisah mereka,” katanya.

Disogok soalan, bagaimana penerimaan rakan pengacara, Nabil apabila dia kini tampil dengan program sendiri, Neelofa menjawab pelakon itu cukup bangga dengan pencapaiannya.

“Nabil ada menghubungi saya beberapa hari sebelum episod pertama ditayangkan. Dia rindu dengan saya (seloroh). Kami sudah mengacara MeleTop sudah hampir sedekad.

“Dia bangga dengan pencapaian saya dan berharap agar program ini dapat diteruskan. Komen positif begini yang kita mahukan,” katanya.

Menjadi wajah pertama yang diangkat sebagai duta Asia Tenggara jenama produk kecantikan antarabangsa, Lancome, Neelofa membuktikan langkahnya dalam industri seni negara sedekad lalu bukan sesuatu yang sia-sia. Satu sejarah tercipta.

 

 

Benar katanya tatkala bersua bicara beberapa purnama sebelum, kita harus terbang tinggi. Berani mencuba dan sentiasa yakin, rezeki tuhan itu tidak pernah salah alamat. Usaha dan tawakal, itu kunci utama.

Dia buktikan kata-katanya dengan kejayaan itu. Siapa sangka wajah anak Malaysia, berhijab bakal diangkat sebagai wajah produk kecantikan di peringkat antarabangsa mendahului jutaan individu di seluruh Asia Tenggara.

“Masa mula-mula ditawarkan, saya tak percaya. Masakan dalam ribuan selebriti di seluruh Asia Tenggara, saya dipilih menjadi duta Lancome. Apatah lagi, wanita Muslim berhijab. Tetapi rezeki dan perancangan tuhan itu Maha Hebat.

“Saya sudah menjadi duta Lancome sejak 2017 dan dalam tempoh itu, saya berjaya membawa diri dan jenama merentasi dunia. Alhamdulillah, mereka nampak dan percaya dengan kredibiliti saya. Bukan perkara mudah tetapi, alhamdulillah semuanya sudah diatur cantik.

“Semestinya saya bangga dengan pencapaian diri sendiri. Keluarga dan rakan-rakan juga turut tersenyum dan menitiskan air mata tatkala saya beri tahu berita itu,” katanya yang ditemui ketika majlis pengumuman lantikan tersebut di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

Neelofa dalam majlis tersebut turut menitiskan air mata tatkala menonton video selingan yang cukup mengharukan hati sesiapa yang melihat. Perasaan bangga, terharu dan bersyukur diadun bersama dalam hati si cantik itu.

Dalam pada itu, pelakon Suri Hati Mr. Pilot ini juga memberitahu, dia bakal tampil dengan iklan Hari Raya Aidilfitri Lancome yang pertama kali ditayangkan. Itu adalah antara idea bernas yang dikemuka pemilik empayar hijab, Naelofar itu.

“Sebelum ini, produk daripada Perancis itu sering tampil dengan iklan-iklan perayaan lain. Kali ini, mereka bersetuju untuk tampil dengan iklan Hari Raya Aidilfitri dan akan ditayangkan di seluruh negara Asia Tenggara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya