Muntah biawak jadi petunjuk alam sekitar - Utusan Malaysia

Muntah biawak jadi petunjuk alam sekitar

Isi perut biawak dikeluarkan untuk kajian
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai yang mungkin biasa atau terjumpa haiwan reptilia ini, biawak (water monitor lizards) atau nama saintifiknya Varanus salvator,

Reptilia ini biasanya ditemukan di kawasan paya dan tasik yang menjadi habitatnya.

Biawak adalah haiwan pemangsa yang memakan haiwan lain dan ia merupakan sebaha­gian daripada rantaian makanan dalam ekologi di kawasan habitatnya.

Kebanyakan kita mengetahui biawak hanyalah haiwan liar yang melata mencari makanan, terutama ayam dalam reban atau makan telur spesies lain.

Namun bagi sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), biawak boleh dijadikan petunjuk kepada suatu keadaan persekitaran.

Penyelidikan tersebut yang bertajuk Kajian Pemakanan Biawak di dalam Kampus UMT mula dijalankan pada 2018. Tujuan utamanya adalah melihat perubahan atau kebergantungan pemakanan biawak kepada habitat asal atau bergantung pada sisa makanan manusia.

Persoalannya adakah pembangunan di kawasan pesisiran pantai seperti kampus UMT mengganggu pemakanan biawak serta kelakuan biawak.? Adakah pemakanan biawak bergantung kepada sisa makanan daripada manusia?

Berkongsi lebih lanjut, ketua penyelidiknya, Dr. Mohd. Uzair Rusli berkata, kajian tersebut penting bagi mengetahui jenis dan sumber makanan biawak sekali gus membuka satu jalan penyelesaian jika perubahan kelakuan spesies berkenaan disebabkan oleh manusia.

“Matlamat akhir adalah membantu membuat keputusan dalam pengurusan haiwan liar.

“Sebagai contoh, sekiranya populasi terlalu banyak, kemungkinan usaha memindahkannya perlu dilakukan atau dibunuh.

“Walau bagaimanapun bagi mengelakkan dibunuh, perkara yang perlu difahami adalah tingkah laku biawak bermula daripada sekarang dan cuba mengawal populasi mereka,” ujarnya.

“Kita tidak mahu tiba-tiba populasi (biawak) meningkat sebab kesilapan (memberi) banyak sangat makanan yang bernutrisi tinggi dan membiak secara tidak terkawal.

“Biar biawak ini makan daripada habitat semula jadi sebab spesies ini bertindak sebagai agen kawalan semula jadi,” ujarnya.

Sebagai contoh, kata beliau, jika biawak tidak makan telur ular, populasi ular akan meningkat dan mengancam manusia.

Oleh itu katanya, biawak tersebut tidak boleh dibiarkan memakan makanan manusia, sebaliknya mencari makanan semula jadi.

Dr. Mohd Uzair berkata, menerusi penyelidikan itu, pasukan tersebut melakukan beberapa tugasan dan eksperimen seperti memuntahkan isi perut biawak untuk memahami diet pemakanannya.

Mereka juga mengambil sampel darah untuk kajian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi menilai populasi genetiknya.

Menurut Dr. Mohd Uzair lagi, pasukan penyelidiknya juga memasang alat penjejak aktiviti pada pangkal ekor biawak.

Ini bertujuan membantu saintis mengesan lokasi, waktu aktif biawak bergerak dan suhu badannya.

“Maklumat ini penting bagi pengurusan haiwan liar ini yang menjadi pemangsa utama kepada sarang penyu di santuari penyu kami,” ujarnya yang juga Pengarah Unit Penyelidikan Penyu Laut (SEATRU), UMT.

Cabaran dalam penyelidikan

 

DR. Mohd. Uzair Rosli (kanan) bersama rakan penyelidik                  menunjukkan seekor biawak yang dijadikan sampel dalam penyelidikan.

 

Penyelidikan itu dijalankan oleh Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) dan turut disokong oleh Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM), UMT.

Menurut Dr. Mohd. Uzair Rusli, banyak cabaran terpaksa ditempuh sepanjang kajian, antaranya sangkar selalu rosak disebabkan keganasan biawak dalam proses penangkapan dan penentuan jenis umpan yang digunakan untuk menarik perhatian haiwan berkenaan.

Penyelidikan tersebut dijalankan pada mulanya di Stesen Penyu UMT pada 2018 sebelum beralih ke kampus utama setahun kemudian tanpa memerlukan dana yang besar.

Menurutnya, kerja-kerja di Stesen Santuari Penyu memerlukan pasukan penyelidik meletakkan peranti penjejak Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) bertujuan memahami pergerakan dan tingkah laku, bagi mengesan masa haiwan tersebut aktif dan lokasinya sekali gus dapat mengawal sarang–sarang penyu.

“Walau bagaimanapun, di kampus UMT kita tangkap biawak dan muntahkan sahaja, untuk mengenal pasti makanan di dalam perutnya .

“Insya-Allah kita teruskan lagi sebab banyak lagi perkara yang boleh dipelajari sebab (penyelidikan) tidak perlukan kos tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata, setakat ini antara dapatan kajian jenis makanan yang dijumpai dalam perut biawak adalah ketam, ikan, siput, serangga (daripada habitat paya bakau) dan sisa makanan manusia serta plastik.

Didapati peratusan ketam paling tinggi dalam pemakanan biawak. Pada habitatnya akan dipastikan makanan jenis itu mencukupi untuk menampung keperluan sebelum haiwan tersebut mula menyelongkar sampah dan mengancam manusia.

Penyelidikan tersebut tidak dibiayai geran penyelidikan khas, sebaliknya hanya menggunakan geran dalaman dan bantuan rakan penyelidik daripada Australia dan China sahaja.

Anggota penyelidik lain adalah Dr. Juan Lei dan Prof. David Booth dari University of Queensland dan Dr. Maizah Abdullah dari FSSM.

Penyelidikan tersebut turut dibantu beberapa pelajar tahun akhir iaitu Muhamad Ikram Zuraini, Jayaganesh Mariappan, Rohaizat Azman dan Akalili Zanudin

Kesimpulannya, biawak yang ditangkap di kampus UMT masih bergantung kepada sumber makanan daripada habitat asal. Walau bagaimanapun, peratusan sisa makanan manusia adalah kedua tertinggi dalam kajian ini iaitu kira-kira 25 peratus.

“Kita khuatir jika biawak sudah terbiasa makan makanan manusia yang tinggi nilai nutrisi dan tenaga, daya reproduksinya akan meningkat dan populasi bertambah yang akhirnya mengancam kehidupan manusia.

“Masyarakat haruslah mengamalkan sistem pengurusan sisa sampah yang betul bagi mengelakkan kedatangan biawak yang boleh memberikan kesan kepada kebersihan serta mengancam keselamatan terutama kepada kanak-kanak,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya